Ikuti Blog Ini

Saturday, July 16, 2011

Perang Badar dan nusrah ghaib Allah Swt

                                      Medan pentempuran Badar al-Kubro

 PADA 17 Ramadan berlaku peristiwa yang bersejarah dalam sirah Rasulullah s.a.w iaitu Perang Badar pada tahun 2 Hijrah di Kota Badar. Pertembungan itu adalah antara hak dan bathil iaitu Rasulullah Saw dan sahabat-sahabatnya seramai 313 orang dengan bala tentera Abu Jahal (musuh Allah) dari Mekah seramai 1,000 orang.

Kemenangan berpihak kepada Rasulullah s.a.w. kerana pertolongan Allah s.w.t.. Benarlah firman Allah dalam surah Al-Imran, ayat 123, yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah memberi kemenangan kepada kamu dalam Peperangan Badar, sedangkan kamu berada dalam kelemahan. Oleh itu bertakwalah kepada Allah supaya kamu bersyukur.”.

Yakni Allah memberi kemenangan kepada mereka. Dia memberi kemenangan kepada mereka, kerana satu nikmat yang dijelaskan dalam kumpulan ayat-ayat ini. Tiada siapa yang dapat menolong mereka sama ada daripada kalangan diri mereka atau kalangan yang lain daripada mereka (melainkan kehendak Allah s.w.t).

Inilah sentuhan pertama ketika mereka diperingatkan dengan kemenangan dalam Perang Badar. Ayat yang berikut menayangkan pemandangan peperangan itu dan menghidupkan gambarannya dalam perasaan mereka seolah-olah mereka berada dalam peperangan itu pada saat ini. Firman Allah yang bermaksud: “(Kenangilah) ketika engkau berkata kepada orang-orang Mukmin: Apakah tidak cukup Tuhan kamu membantu kamu dengan tiga ribu malaikat yang diturun (dari langit?)” (Al-Imran: 124)

Seterusnya firman Allah lagi, “Ya sebenarnya cukup! Jika kamu bersabar dan bertakwa dan tiba-tiba mereka menyerang kamu pada masa mereka ini juga nescaya Tuhan kamu membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang memakai tanda”.(Al-Imran: 125)

Inilah kata-kata Rasulullah Saw pada hari Perang Badar kepada sekumpulan kecil sahabat-sahabat r.hum yang keluar bersama baginda Saw. Mereka melihat angkatan perang kaum Musyrikin yang ramai, sedangkan tujuan mereka keluar adalah untuk menghadapi kumpulan unta yang membawa dagangan-dagangan bukan untuk menghadapi kumpulan angkatan perang yang lengkap dengan alat-alat senjata.Baginda Saw memberitahu mereka syarat pertolongan itu iaitu sabar dan takwa, kerana keduanya adalah wasilah untuk menarik bantuan daripada Allah Swt.

Firman Allah, “Ya sebenarnya cukup! Jika kamu bersabar dan bertakwa dan tiba-tiba mereka menyerang kamu pada masa mereka ini juga nescaya Tuhan kamu membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang memakai tanda.” (Al-Imran: 125)

Keputusan daripada Allah Swt

Firman Allah Swt: “Dan Allah tidak menjadikan bantuan itu melainkan sebagai berita gembira kepada kamu dan supaya hati kamu menjadi tenteram dengannya dan tidak kemenangan melainkan daripada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Al-Imran: 126)

Allah berkuasa,Makhluk tiada kuasa.

Demikianlah ayat al-Quran ini memberi perhatian yang berat mengembalikan segala urusan kepada Allah supaya tidak terlekat dalam kefahaman seorang Muslim sesuatu tanggapan yang boleh menodai dasar ini. Ia adalah dasar mengembalikan segala urusan kepada kehendak masyi’ah Allah yang mutlak dan kepada iradat-Nya yang langsung.
                                         Hayatus Sahabah versi arab

Di samping itu, ia mengetepikan sebab-sebab dan wasilah-wasilah itu hanya merupakan alat yang digerakkan oleh kehendak masyi’ah Allah atau sebagai alat untuk mewujudkan sesuatu yang dikehendaki oleh-Nya.

Jumlah kaum Musyrikin kira-kira 1,000 orang. Mereka keluar untuk berjuang menyahut seruan Abu Suffian yang meminta pertolongan untuk melindungi kafilah perniagaan yang ada bersamanya. Mereka (keluar) lengkap dengan alat-alat senjata dan dengan penuh semangat untuk mempertahankan harta kekayaan mereka dan perasan fanatik untuk mempertahankan maruah dan kehormatan mereka.

Jumlah kaum Muslimin pula hanya kira-kira 313 orang. Mereka keluar bukanlah untuk memerangi kumpulan Musyrikin yang kuat ini, malah keluar kerana satu tujuan yang mudah, iaitu menghadapi dan menyekat kafilah perdagangan Quraisy yang tidak bersenjata itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Telah Link Blog Ini