Ikuti Blog Ini

Monday, August 8, 2011

Ramadhan mereka


                        Tiada juadah ini ketika berpuasa di India tahun lepas,

Allah Swt telah memuliakan Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lain dengan memilihnya sebagai bulan diturunkannya al-Qur’an al-‘Azhim. Keistimewaan ini diberikan oleh Allah kepada bulan Ramadhan sebagaimana dinyatakan melalui firman-Nya:

“...Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan menjadi pembeza (di antara yang hak dengan yang bathil).” (Surah al-Baqarah, 2: 185)

Tadarus al-Qur'an

Bertepatan dengan turunnya al-Qur’an di bulan Ramadhan, para ulama turut menamakan bulan ini sebagai bulan al-Qur’an. Bulan di mana umat Islam disunnahkan supaya menyibukkan diri dengan al-Qur’an. Iaitu menyibukkan diri dengan bertadarus atau mentadabburinya.
Maksud tadarus di sini adalah merujuk kepada membaca, mengulangkaji, mengajar, atau menyemak bacaan al-Qur’an.

Abdullah B. ‘Abbas .huma berkata:

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah orang yang paling dermawan. Beliau lebih dermawan lagi pada bulan Ramadhan di ketika Jibril ‘alaihis Salam datang menemui beliau. Jibril ‘alaihis Salam selalu mendatangi beliau pada setiap malam bulan Ramadhan untuk membaca, mengajar, dan menyemak bacaan al-Qur’an bersama beliau. Ketika waktu tersebut, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam lebih dermawan dari hembusan angin.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 1/7, no.5)

Di antara faedah yang dapat diambil dari hadis ini adalah sebagaimana kata Imam an-Nawawi rah (Wafat: 676H):

Anjuran supaya memperbanyakkan bacaan al-Qur’an pada bulan Ramadhan. Kerana membaca al-Qur’an itu lebih utama dari zikir-zikir selainnya. Sekiranya zikir itu lebih utama atau sama nilai keutamaannya tentu Malaikat Jibril dan Rasulullah telah melakukannya (pada bulan Ramadhan).” (Fathul Bari, 1/31)

Para ulama dari kalangan Salaf ash-Sholeh lebih banyak membaca al-Qur’an sama ada dalam solat atau di luar solat ketika bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan selainnya. Ada di antara mereka yang mengkhatam al-Qur’an setiap dua malam sekali pada bulan Ramadhan seperti al-Aswad rah, ada yang mengkhatam setiap minggu seperti Imam Qotadah rah, dan ada pula yang mengkhatam setiap malam seperti Imam Mujahid rah. Malah menurut ar-Rabi’ B. Sulaiman rah,Imam asy-Syafi’i rah mengkhatamkan al-Qur’an sebanyak 60 kali pada bulan Ramadhan. (Siyar A’lam an-Nubala’, 10/36)

Tarawekh sampai subuh 

Ketika era pemerintahan ‘Umar al-Khaththab r.hu,Saa’ib B. Yazid rah menyatakan bahawa ‘Umar pernah memerintahkan ‘Ubai B. Ka’ab r.hu dan Tamim ad-Daari r.hu mengimami umat Islam solat tarawih dengan sebelas rakaat. Beliau menyatakan:

Pada ketika itu, seorang qari (imam) biasanya akan membaca ratusan ayat sehingga kami terpaksa bersandar kepada tongkat kami kerana terlalu lamanya berdiri. Kami bersurai (selesai solat) hanya ketika hampir-hampir masuk Subuh (fajar).” (Hadis Riwayat Malik, al-Muwaththa’, 1/341, no. 232. Dinilai sahih oleh al-Albani, Irwa’ al-Ghalil, 2/192)

Demikian juga ketika zaman Rasulullah Saw,sebagaimana diriwayatkan dalam Sunan at-Tirmidzi, Rasulullah Saw pernah mengimami solat tarawih di bulan Ramadhan dengan bacaan al-Qur’an yang cukup panjang (atau banyak). Ia berlangsung satu malam suntuk sehingga para sahabat risau tidak sempat untuk bersahur. Dalam riwayat yang lain dinyatakan Rasulullah pernah mengimami solat tarawih dalam satu malam dengan membacakan surah al-Baqarah, Ali ‘Imran, an-Nisaa’, al-Ma’idah, dan al-An’am. (Rujuk: al-Albani, Sholatut Tarawih, m/s. 12)

Hal ini semua menunjukkan bahawa memperbanyakkan membaca al-Qur’an di bulan Ramadhan adalah salah satu sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, para sahabat, dan para Salaf ash-Sholeh. Sunnah membaca ini bukan hanya sekadar membaca dan mengkhatamkan, tetapi perlu dengan penghayatan, kefahaman,serta mempelajarinya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman (dengan sempurna) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.” (Surah al-Anfaal, 8: 2)

Amalan kita macam mana bro?????

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Telah Link Blog Ini