Ikuti Blog Ini

Thursday, December 25, 2014

Al-Allamah Maulana Sayyid Muhamad Yusuf Banuri رحمه الله تعالى Dan Kehidupannya

Al-Allamah Maulana Sayyid Muhamad Yusuf Banuri رحمه الله تعالى telah mewarisi limpahan ilmu dari gurunya iaitu Maulana Muhammad Anwar Shah Kashmiri رحمه الله تعالى.

Al-‘Allamah al-Muhaqqiq al-Faqih al-Muhadith al-as'r Maulana Sayyid Muhammad Yusuf Banuri رحمه الله تعالى  [1] dilahirkan pada tanggal 6 Rabiul akhir 1326 / 1908 M di Kampung ' Mahabatabad ' berhampiran stesen kereta api di Rashkay dalam daerah Mardan, barat Pakistan.Keturunannya bersambung dengan seorang ulamak terkenal "Naqsybandiyyah" iaitu, Sayyid Adam Banuri رحمه الله تعالى, seperti salasilah berikut. Maulana Sayyid Muhammad Yusuf bin Maulana Sayyid Muhammad Zakaria bin Mir Muzzammil Shah bin Mir Ahmed Shah bin Mir Musa bin Ghulam Habib bin Rehmatullah bin Abdul Ahad bin Syeikh Muhammad Awliya bin Syeikh Muhammad Adam Banuri رحمة الله تعالى عليهم أجمعين. Salasillah keturunan ini kemudiannya sampai kepada Sayyidina Hussain bin Ali  رضي الله عنه dan disebabkan salasillah keturunan ini, beliau telah dikenali sebagai “ Al-Hussaini ”. [1]

Beliau menerima pendidikan awal dan belajar membaca al-quran di rumah ( Ghari Meer Ahmad Shah رحمه الله تعالى, Peshawar,Pakistan) juga daripada bapa saudaranya Maulana Fadhl Hamdan Banuri رحمه الله تعالى. Beliau  mempelajari asas-asas bahasa Arab seperti Nahu, Saraf dan Mantiq daripada Maulana Abdullah Peshawari رحمه الله تعالى. Beliau kemudiannya pergi ke Kabul,Afghanistan untuk mendalami ilmu Fiqh, Usul Fiqh, Mantiq, Ma'ani dan lain-lainnya daripada Maulana  Abdul Qadeer رحمه الله تعالى, Maulana Saieli Qaleeghawi رحمه الله تعالى dan lain-lain ulama. [1]

Beliau kemudiannya melanjutkan pengajiannya di Darul Uloom Deoband pada tahun 1345 H / 1926 M dan menamatkan pengajian di sana selama dua tahun. Kemudiannya, beliau pergi ke Dhabel, Gujerat dan belajar Daurah Hadith di sana. Di Dhabel, beliau belajar dengan ulamak-ulamak terkemuka seperti Maulana Muhammad Anwar Shah Kashmiri رحمه الله تعالى, Maulana Shabbir Ahmad Uthmani رحمه الله تعالى dan lain-lain ulamak. [2]

Selepas tamat pengajian di Jamiah Islamiyyah, Dhabel, beliau tinggal selama beberapa tahun di Dhabel dan sempat berkhidmat dengan guru beliau iaitu Maulana Muhammad Anwar Kashmiri رحمه الله تعالى. Sepanjang bersama dengan guru beliau, beliau mendapat faedah besar daripada guru beliau. Pada masa itu juga disebabkan oleh desakan dan keinginan bapanya untuk melihat anaknya memasuki universiti, lalu Maulana Sayyid Muhammad Yusuf Banuri رحمه الله تعالى memasuki Universiti Punjab dan menduduki peperiksaan di universiti tersebut. Di sana, beliau telah menunjukan kepintaran beliau apabila mendapat tempat pertama di peperiksaan universiti tersebut walaupun beliau tidak menyukai peperiksaan tersebut.[3]

Selepas itu, beliau tinggal di kampungnya Peshawar beberapa tahun dengan memulakan kerjaya beliau sebagai pengajar di Madrasah Rafiul Islam,Baanah Maar’i (di mana mudir madrasah tersebut  adalah bapa saudara beliau sendiri iaitu Maulana Fadhl Hamdan Banuri رحمه الله تعالى . Maulana Sayyid Muhammad Yusuf Banuri رحمه الله تعالى berkata bahawa beliau memasuki pengajian Daurah Hadith di Darul Uloom Deoband pada 1352 H (1934 M) apabila Maulana Muhammad Anwar Shah Kashmiri رحمه الله تعالى meninggal dunia, Maulana Sayyid Muhammad Yusuf Banuri رحمه الله تعالى datang sekadar untuk memberi penghormatan terakhir kepada guru beliau tetapi beliau telah dipujuk untuk terus tinggal di Dhabel. Setelah tinggal beberapa hari di Dhabel, beliau telah didatangi oleh pihak pentadbir Jamiah Islamiyyah, Dabhel untuk menawarkan kepada beliau tugasan sebagai pengajar di sana, kemudian beliau menerima tawaran sebagai pengajar. Mulai hari itu, bermulalah kehidupan beliau sebagai pengajar di Jamiah Islamiyyah,  Dhabel.[2]

Beliau telah dilantik menjadi guru hadith di Jamiah Islamiyyah, Dhabel. Beliau menerima tawaran sebagai guru hadith setelah menerima permintaan daripada para pelajar beliau berdasarkan satu peristiwa. Ketika itu, telah menjadi perdebatan, siapakah yang sepatutnya dilantik menjadi guru yang mengajar kitab hadith Sunan Tirmizi. Pada waktu itu, ada calon yang dicadangkan untuk mengisi jawatan itu. Antara tiga calonya itu ialah :

1.         Maulana Abdurahman Amrohi رحمه الله تعالى.
2.         Maulana Muhammad Badri Aalam Miruti رحمه الله تعالى
3.         Maulana Yusuf Banuri رحمه الله تعالى

Apabila undian telah dibuat kalangan pelajar, Maulana Sayyid Muhammad Yusuf Banuri رحمه الله تعالى mendapat 27 undian, manakalah undian bagi dua orang calon lagi masing-masing dengan 7 dan 3 undian. Kemudian, Maulana Sayyid Muhammad Yusuf Banuri رحمه الله تعالى telah berkhidmat di Jamiah Islamiyyah, Dhabel sehinggalah beliau dilantik menjadi Syeikhul Hadith di sana. Beliau berkhidmat di Jamiah Islamiyyah, Dhabel sehingga tahun permisahan Pakistan daripada India. [1]

Selepas permisahan Pakistan dari India, beliau telah memilih untuk mengikut sebahagian ulamak untuk berpindah ke Pakistan. Antara ulamak daripada India yang telah memilih untuk berpindah dan tinggal di Pakistan ialah Maulana Shabbir Ahmad Uthmani رحمه الله تعالى , Maulana Idris Kandhalawi رحمه الله تعالى , Maulana Mufti Shafi’ Uthmani رحمه الله تعالى. Kebanyakan ulamak-ulamak ini merupakan tokoh-tokoh perjuangan kemerdekaan bagi negara Pakistan. Antara ulamak-ulamak ini, Maulana Shabbir Ahmad Uthmani رحمه الله تعالى telah diberikan penghormatan untuk menaikan bendera negara Pakistan ketika perisytiharan kemerdekaan negara itu.[4]

Maulana Sayyid Muhammad Yusuf Banuri رحمه الله تعالى telah memilih Karachi sebagai tempat tinggal beliau. Setelah tinggal di sana selama beberapa tahun, beliau telah bertekad untuk membangunkan satu institusi pengajian Ilmu Islam yang dikenali sebagai Jamiah Al-Islamiyyah Arabiyyah ,Newtown,Karachi atau lebih dikenali sebagai Jamia-tul-Uloom-il-Islaamia, Banori Town.

Semasa Maulana Sayyid Muhammad Yusuf Banuri رحمه الله تعالى mengerjakan haji pertama bagi dirinya, beliau ( ketika itu beliau telah pergi ke Mesir untuk menyelia pencetakan kitab Faydhul Bari ' dan ' Nasbur Raayah '). Kemudian beliau mengambil bi’ah di tangan Maulana Shafi'uddin Naginwi Makki رحمه الله تعالى ( yang merupakan khalifah kepada Haji Imdadullah Muhajir Makki رحمه الله تعالى ).Maulana Shafi'uddin Naginwi رحمه الله تعالى  berkata bahawa terdapat dua orang ulamak besar di India, di mana kamu juga boleh mengambil manfaat daripada mereka. Dua orang tersebut ialah :

1.         Hakimul Ummah Maulana Asyraf Ali Thanwi رحمه الله تعالى
2.         Syeikhul Islam Maulana Sayyid Husain Ahmad Madani رحمه الله تعالى.

Maulana Muhammad Yusuf Banuri رحمه الله تعالى telah tinggal selama sepuluh bulan di Kaherah,Mesir. Semasa tinggal di sana, dia telah menulis banyak artikel mengenai aliran Deoband dan para ulamak-ulamak aliran Deoband yang diterbitkan dalam Journal dan majalah di Mesir.

Pada ketika itu juga, Ulamak terkenal di Mesir,Allamah Imam Zahid Al- Kawthari رحمه الله تعالى juga ada di sana. Maulana Sayyid Muhammad Yusuf Banuri  رحمه الله تعالى telah mengambil faedah besar daripada keilmuan dan kealiman beliau. Beliau juga berperanan penting dalam memperkenalkan para akabir Deoband dan kaedah pengajian yang dipraktikkan di institusi pengajian Islam di Deoband. Selepas daripada itu, Imam Zahid Al-Kawthari رحمه الله تعالى telah meminta untuk diijazahkan sanad hadith daripada beliau. [2]

Setelah Maulana Sayyid Muhammad Yusuf Banuri رحمه الله تعالى kembali dari bumi Mesir, beliau terus pergi menziarahi Hakimul Ummah Maulana Asyraf Ali Thanwi رحمه الله تعالى. Beliau juga telah mengambil manfaat daripada Maulana Asyraf Ali Thanwi رحمه الله تعالى.

Ini adalah sebahagian daripada kerja-kerja ilmiah beliau :

1. Ma'arifus Sunan, syarah kepada Sunan Tirmizi sebanyak 6 jilid. (Beliau telah mensyarahkan kitab Sunan Tirmizi sehingga ke Kiitabul Haj).
2. Awaariful Minan, pengenalan kepada Ma'arifus Sunan (tidak dicetak).
3. Bughiyatul Arib fi Ahka’mul Qiblah wal Maha’rib. (Perbahasan mengenai masalah Kiblat dan Mehrab)
4. Nafhatul Ambar fi Hayatus Shaykh Anwar (Kehidupan Maulana Anwar Shah Kashmiri رحمه الله تعالى )
5. Yati’matul Bayan fi Shay'im min Ulumil Qur'an iaitu pengenalan kepada kitab Musykilat Al-Quran oleh Maulana Anwar Shah Kashmiri رحمه الله تعالى.

Selain daripada itu, beliau juga menulis beberapa pengenalan kepada kitab-kitab berikut iaitu Faydul Baari, Awjaz-il-Masalik, Laami'uid-Dura’ri, Nasbur Ra’yah, Abaqat, Aqidatul Islam, Maqalaat Kawthari dan lain-lainnya.Maulana Sayyid Muhammad Yusuf Banuri رحمه الله تعالى seorang yang sangat tegas mengatakan yang haq. Beliau kelihatan tegas dalam sesuatu perkara. Beliau memberikan pandangan dengan lantang tanpa rasa takut atau teragak-agak kepada setiap pemerintah Pakistan bahawa dengan mengatakan satu-satunya yang harus ditakuti ialah kepada Allah  سبحانه و تعالى . 

Kitab Ma'arifus Sunan merupakan syarah kepada Sunan Tirimizi merupakan limpahan ilmu daripada Allamah Al-Muhadith Maulana Sayyid Muhammad Yusuf Banuri رحمه الله تعالى yang dianggap mewarisi limpahan ilmu daripada guru beliau iaitu Al-Muhadith Al-as'r Maulana Muhammad Anwar Shah Kashmiri رحمه الله تعالى. Namun beliau hanya mampu mensyarahkan sehingga ke kitab Al-Haj kerana beliau telah meninggal dunia. Satu perbahasan yang menarik merangkumi hadith dan fiqh khusus fiqh mazhab Hanafi.

Kitab Takmalah  Ma'arifus Sunan adalah dikatakan  sambungan dan penyempurnaan kepada kitab  Ma'arifus Sunan yang dihasilkan oleh Syeikhul Hadith Jamiah Islamiyyah Imdadia,Faisalabad,Pakistan iaitu Maulana Muhammad Zahid حفظه الله. Mufti Muhammad Taqi Uthmani حفظه الله telah menulis taqriz untuk kitab ini. Setakat yang sampai ke pengetahuan saya, ini merupakan jilid pertama yang telah merangkumi keseluruhan kitab Al-Janaiz. Sebenarnya, pada pendapat peribadi saya, adalah terlebih baik jika yang menyempurnakan keseluruhan kitab Ma'arifus Sunan ini adalah tokoh hadith seperti Maulana Muhammad Yunus Jounpuri حفظه الله atau Mufti Muhammad Taqi Uthmani حفظه الله sendiri. (Ini sekadar pandangan peribadi saya).

Pada tanggal 1 Zulkaedah 1397 H bersamma 11 Oktober, 1977 M, walaupun beliau terlalu uzur dan lemah untuk melakukan perjalanan, beliau mengambil keputusan untuk menghadiri perjumpaan penting di Islamabad. Kesihatannya agak merosot ketika berada di perhimpunan tersebut, beliau telah dimasukan ke dalam CMH Hospital. Selepas dua hari dimasukkan ke dalam hospital, beliau telah dijemput menemui pencipta beliau, iaitu Allah سبحانه و تعالى pada petang Isnin. Sebelum meninggal dunia, beliau telah membaca kalimah Tayyibah لاَ إِلَهَ إِلَّاالله berulang-ulang kali kepada orang ramai yang menziarahi beliau. Beliau juga sempat mengucapkan السلام عليكم kepada tetamu yang menziarahi beliau kemudian mengalihkan badan beliau kearah kiblat kemudian beliau pergi buat selama-lamanya meninggalkan para pengikutnya. [5]

Jenazah beliau telah dibawa balik ke Karachi. Al-arif billah Maulana Dr Abdul Hai Al-arifi رحمه الله تعالى (khalifah Hakimul Ummah Maulana Asyraf Ali Thanwi رحمه الله تعالى) mengetuai upacara solat jenazah di perkarangan Jamiah beliau bersama dengan ribuan Ulama, murid-murid beliau dan masyarakat awam. Beliau telah dimaqamkan di perkarangan Jamiah beliau. [5]

Kubur Allamah Maulana Sayyid Muhammad Yusuf Banuri  رحمه الله تعالى di perkarangan Jamiah beliau. Turut dikebumi di sini ialah Mufti Abdur Rahman Banuri  رحمه الله تعالى dan Maulana Dr Habibullah Mukhtar Banuri  رحمه الله تعالى.


______________________ 


[1]. al-ʿAnaqīd al-Ghaliyah min al-Asanīd al-ʿAliyah,m/s 17-25
[1]. http://www.banuri.edu.pk/en/muhaddith-ul-asr
[2]. http://ulamadeoband.wordpress.com/2013/05/02/allamah-sayyid-muhammad-yusuf-binnori/
[3]. http://www.darulihsan.com/index.php/downloads/articles/articles-2/general3/item/3282-some-great-scholars-ulama-of-pakistan
[4]. http://zikkir.net/words/Allama_Sayyid_Yusuf_Jan_Banoori

[5]. Nuqoosh-e-raftagan oleh Mufti Taqi Uthmani, m/s 20.

Thursday, December 18, 2014

Zikir Harian Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمة الله عليه

Khabar gembira bahawa Muhadith al-as'r yang kita sayangi Maulana Yunos Jaunpuri حفظه الله kembali mengajar Sahih Al-Bukhari dari biliknya. Ini merupakan pengajian pertama beliau sejak kembali dari hospital.

Mari kita semua berdoa supaya Muhadith al-as'r ini cepat pulih supaya umat Islam dapat ambil manfaat dari beliau dan dipercepatkan urusan penulisan syarah sahih al-bukhari dari beliau dan beliau juga merupakan khalifah kepada guru beliau iaitu Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi  رحمة الله عليه .

Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمة الله عليه  saban tahun, menjadi amalannya selepas selesai pengajarannya di madrasah, beliau akan menyibukan diri dalam bidang penulisan kitab bermula daripada pukul 11 malam hingga 7 pagi  di dalam biliknya di tingkat atas bangunan madrasahnya. Di halaman luar biliknya, tikar besar telah dihamparkan bagi persediaan menerima tetamu yang datang dari pelbagai tempat samaada untuk menziarahinya atau menyempurnakan zikir [1].

Manakala pada setiap hari Jumaat, selepas asar, majlis zikir berlangsung dengan para hadirin akan berzikir dengan kuat di dalam masjid bersama dengan Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمة الله عليه dan keadaan ini berterusan sepanjang tahun. Ramai para ulama dan para mufti dilaporkan menyertai majlis ini dan tiada satupun yang membantah amalan ini pada masa itu.

Kemudian pada setiap hari Jumaat, antara Asar hingga Maghrib, menjadi kebiasaan amalan Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمة الله عليه  untuk beriktikaf  di Masjidnya. Pada masa itu, banyak kenalan-kenalan dan murid-murid beliau akan menyertainya beriktikaf sekali dengan beliau. 

Kebanyakan daripada mereka (kenalan dan murid-muridnya) akan melibatkan diri dalam amalan berzikir dengan kuat dan pada masa itu, akibat kesan daripada zikir mereka itu seluruh masjid bergema dengan suara zikir mereka. Menjadi kebiasaan bahawa Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمة الله عليه  akan menghabiskan masanya di masjid setiap minggu dan ramai orang dari seluruh tempat akan menyertainya.

Maulana-maulana dari Institusi pengajian terunggul di India iaitu Darul Uloom Deoband juga akan datang dan Ketua Mufti Darul Uloom Deoband sendiri iaitu Mufti Mahmud Hasan Ganggohi رحمة الله عليه  akan menghadiri majlis ini bersama dengan Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi  رحمة الله عليه  sendiri. Bahkan Mufti Mahmod Hasan Gangohi  رحمة الله عليه seorang yang dikenali sebagai orang yang sangat menjaga masa pun akan datang awal untuk menyertai majlis zikir bersama dengan Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمة الله عليه .

Masa yang telah ditetapkan untuk amalan berzikir dengan kuat  dalam tempoh berikitikaf bersama dengan Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمة الله عليه setiap kali bulan ramadhan. Setiap program telah ditelah disusun atur oleh Khanqa Maulana Zakariyya sendiri iaitu antara waktu Zohor dan Asar.Para ulama, para Mufti, para Masyaikh dan tokoh-tokoh terkenal dalam kalangan masyarakat juga mengambil bahagian dalam perhimpunan ini dan mereka juga sama-sama telah melakukan amalan berzikir dengan kuat di dalam Masjid. 

Pada Ramadhan tahun 1979 M, kami telah menghabiskan masa beriktikaf di Masjid Mufti Zainol Abidin رحمة الله عليه  [2] di Faisalabad, Pakistan. Pada waktu itu, ramai tokoh-tokoh ulama yang datang menyertai majlis ini seperti Mufti Mahmood Hasan Gangohi رحمة الله عليه  [3], Mufti Wali Hasan Tonki رحمة الله عليه  [4] dan tokoh-tokoh besar yang lain bukan sahaja hadir tetapi mereka turut mengambil bahagian sekali dalam amalan berzikir dengan kuat di dalam majlis itu.

Pada tahun 1968 M, Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمة الله عليه  telah berhenti dari pengajarannya di madrasah dan memulakan perjalanan beliau pada tahun selepas itu sehingga beliau pergi menemui Allah سبحانه وتعالى pada 1 Syaban 1403 H ( 24 Mei 1982 M). 

Dalam tempoh itu, keseluruhanan keinginan dan cita-cita beliau adalah untuk mengajak umat kembali kepada amalan berzikir dan di setiap tempat mesti diadakan perhimpunan-perhimpunan zikir supaya umat yang jauh dari perintah Allah سبحانه وتعالى dapat dikembalikan kepada perintah Allah سبحانه وتعالى. Menurut keinginan dan cita-cita Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمة الله عليه  bahawa bukan sahaja orang awam tetapi para golongan elit dalam masyarakat juga perlu disedarkan tentang betapa manfaatnya perhimpunan zikir ini.

Malah menurut Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمة الله عليه  bahawa bukan sahaja menganggap amalan ini menjadi sangat bermanfaat untuk golongan awam (orang ramai), tetapi beliau juga beranggapan bahawa sangat penting bagi golongan ternama dalam kalangan masyarakat  dan Madaris (pihak-pihak madrasah) melibatkan diri dalam perhimpunan zikir ini. Ulama bukan sahaja menjadi seorang yang alim besar dan Mudarris (guru)  di madrasah, tetapi mereka juga harus menjadi salah seorang penaung dalam menghidupkan perhimpunan zikir ini di tempat mereka dan melalui amalan ini diharapkan dapat menarik perhatian para penguasa pada zamannnya ke arah agama. [5]


_________________


1. Amalan menyempurnakan zikir ini bermaksud bahawa para khalifahnya akan datang berzikir sambil di pantau oleh Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمة الله عليه sendiri. Kelazatan berzikir di bawah pantauan murobbi ini akan dapat dirasai oleh setiap individu tersebut.

2. Mufti Zainol Abidin رحمة الله عليه  adalah khalifah kepada kepada Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمة الله عليه. Seorang ulama yang banyak menghabiskan umurnya dalam kerja-kerja dakwah dan tabligh. Antara ulama yang disegani di Pakistan. Menantu beliau ialah Munazir terkenal Pakistan iaitu Maulana Ilyas Ghuman حفظه الله .

3. Mufti Mahmood Hasan Gangohi رحمة الله عليه merupakan khalifah dan murid kepada Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمة الله عليه. Beliau pernah dilantik menjadi Ketua Para Mufti Di Darul Uloom Deoband.

4. Mufti Wali Hasan Tonki رحمة الله عليه ialah khalifah kepada Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمة الله عليه dan bekas mufti di Jamia Binoori Town, Karachi, Pakistan.

5. Rujukan buku Majalis-Zikr,halaman 15-16 oleh Maulana Abdul Hafeez Makki حفظه الله . Maulana Abdul Hafeez Makki حفظه الله  adalah khalifah kepada Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمة الله عليه . Beliau menamatkan pengajian di Madrasah Mazahirul Uloom, Saharanpur di bawah bimbingan Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمة الله عليه sendiri. Sekarang beliau merupakan salah seorang guru hadith di Madrasah Sawlatiyyah, Mekkah. 

Sunday, December 7, 2014

Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمة الله عليه dan berzikir dengan kuat (zikir bil jahr).

Syeikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمة الله عليه berkata [1].

"Kebanyakan pengikut Qutb Irsyad Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمة الله عليه yang buta huruf sangat kuat berpegang teguh dengan sunnah. Mereka sangat kuat mengerjakan solat tahajud. Saya tidak dapat mengira bilangan ahlullah dalam kalangan mereka. Bahkan lima puluh hingga ke enam puluh lelaki daripada pencuci baju yang selalu mencuci baju mereka di kolam sekitar Khanqa Maulana Rashid Ahmad Ganggohi رحمة الله عليه turut akan menyertai majlis zikir dengan mereka berzikir dengan suara yang kuat di bahagian akhir malam mereka.


Latihkan hati supaya hati tidak lalai dari mengingati Allah  سبحانه وتعالى

Terdapat banyak kenyataan daripada banyak orang yang telah berjumpa dengan bapa saudara saya iaitu Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi رحمة الله عليه di mana menjadi kebiasaan amalan di Masjid Banglawali ketika orang yang datang ke masjid ini akan bangun di tengah malam untuk mengerjakan solat tahajud dan kemudiannya melibatkan diri dalam amalan berzikir dengan kuat (zikr bil jahr) di dalam masjid ini  sehingga masuk waktu Subuh.

Pada tahun 1959 dan 1960, ketika hayat Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi رحمة الله عليه, saya (Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمة الله عليه) secara peribadi menyaksikan di masjid ini (Masjid Banglawali) bahawasanya ramai orang akan melibatkan diri dalam amalan berzikir dengan kuat (zikr bil jahr) ketika waktu sebelum Subuh di dalam dan di luar Masjid. Kawasan Masjid keseluruhannya akan merasai keheningan dengan kedengaran suara kuat daripada suara zikir mereka itu.


_________________________

[1]. Syariat Wa Tariqat Ka Talazum (m/s 4)

Tuesday, November 25, 2014

Maulana Jamshed Ali Khan رحمه الله تعالى Dalam Kenangan

Maulana Jamshed Ali Khan  رحمه الله تعالى meninggal dunia ketika berumur 85 tahun. Antara saki-baki murid Syeikhul Islam Maulana Sayyid Husain Ahmad Madani رحمه الله تعالى yang masih hidup sehingga maut datang menjemput beliau tanggal 3 November 2014.

إنا لله وإنا إليه راجعون ولا حول ولا قوه الا بالله العلي العظيم

Pada tanggal 3 November 2014 bersamaan hari Isnin, kita digemparkan dengan berita kematian Syeikhul Hadith Maulana Jamshed Ali Khan رحمه الله تعالى . Sebelum itu, telah tersebar khabar angin seminggu sebelum itu bahawasanya beliau telah meninggal dunia, tetapi berita itu telah dinafikan oleh putera sulung beliau iaitu Maulana Ubaidullah Kurshid  حفظه الله . Kemudian takdir Allah سبحانه وتعالى, beliau telah disahkan meninggal dunia pada malam 3 November 2014 di Jinnah Hospital, Lahore, Pakistan.Jenazah beliau telah disemadikan tapak Ijtima Raiwind di mana solat jenazah beliau telah dipimpin oleh puteranya sendiri.

Saya diminta oleh kawan-kawan untuk menulis sedikit biografi kehidupan beliau, namun kekangan masa yang ada pada saya ada telah membantut dan melambatkan usaha penulisan kisah megenai hayat beliau. Maulana Jamshed Ali Khan رحمه الله تعالى merupakan ulamak yang muhaqqiq yang saya tidak perlu perkenalkan lagi. Tapi bagi mereka yang belum ke Pakistan atau ke markaz Dakwah Tabligh Raiwind mungkin tidak mengenali beliau. 

Sebelum memulakan penulisan ini, saya juga berusaha untuk mencari buku-buku yang menceritakan tentang kehidupan Maulana Jamshed Ali Khan رحمه الله تعالى tetapi saya gagal menjumpainya. Penulisan kehidupan beliau ini hanyalah ditulis berdasarkan pengalaman berbual bersama dengan anak-anak murid Maulana di Malaysia. Maulana Jamshed mempunyai ratusan anak murid beliau dari Malaysia kerana kebanyakan orang Malaysia akan menyambung pelajaran agama di Madrasah Arabia Raiwind, Pakistan. 

Maulana Jamshed Ali dilahirkan pada tahun 1928 M di  Muzafnaggar dalam negeri Uttar Pradesh, India. Semasa kecil, beliau telah dipelihara dan menjadi anak angkat oleh Hakimul Ummah Maulana Ashraf Ali Thanwi رحمه الله تعالى . Hal ini merupakan satu kelebihan buat diri beliau berbanding dengan ulamak-ulamak yang lain. Para ulamak sezaman dengan beliau hanya sempat belajar, bersulok dan mendengar nasihat dari Hakimul Ummah رحمه الله تعالى sahaja tetapi beliau sendiri telah dipelihara di rumah oleh Hakimul Ummah رحمه الله تعالى dan isterinya. Hal ini sedikit sebanyak telah membentuk keperibadian beliau ketika di usia remaja. [1]

Maulana jamshed رحمه الله تعالى pernah menyebut bahawa kehidupan kecil beliau di rumah Hakimul Ummah رحمه الله تعالى sangat terdidik, Hakimul Ummah  رحمه الله تعالى mengasihi beliau seperti anaknya sendiri. Hakimul Ummah رحمه الله تعالى telah menerapkan ilmu agama kepada beliau sejak kecil lagi. Justuru itu, sedikit sebanyak beliau telah mewarisi limpahan ilmu,budi pekerti daripada bapa angkatnya. [2]

Beliau telah mewakafkan seluruh kehidupan beliau dalam 3 kerangka kerja nubuwwah iaitu dakwah,ta’lim dan Khanqa. Beliau telah menetap di Markaz Dakwah Tabligh Raiwind hampir 5 dekad iaitu sejak tahun 1964 M. Beliau merupakan tenaga pengajar hadith di Madrasah Arabia Raiwind yang berjawat jawatan Syeikhul Hadith di madrasah tersebut. Dalam khanqa sulok pula beliau merupakan khalifah kepada Maulana Masihullah Khan Jalalabadi رحمه الله تعالى  yang juga merupakan khalifah kepada Hakimul Ummah Maulana Ashraf Ali Thanwi  رحمه الله تعالى [3].

Beliau merupakan guru kepada ramai ulamak. Nama beliau tidak perlu diperkenalkan lagi di Pakistan. Ramai para ulamak di Pakistan yang menghormati dan menyanjungi beliau.  
Beliau merupakan salah seorang anak kelahiran Darul Uloom Deoband yang tamat belajar di institusi terulung itu pada tahun 1951 M. Beliau menamatkan pengajian Sahih Al-Bukhari beliau  di tangan Syeikhul Islam Maulana Sayyid Husain Ahmad Madani رحمه الله تعالى. Antara guru beliau yang lain ialah Maulana Al-Adeeb Izaaz Ali Amrohi رحمه الله تعالى ,  Maulana Ibrahim Balyawi رحمه الله تعالى ,Maulana Fakharuddin Al-Muradabi رحمه الله تعالى, Maulana Qari Muhammad Tayyib رحمه الله تعالى dan ramai lagi ulamak. [4].

Kesibukan dan keasyikan beliau dengan amalannya, menyebabkan beliau sudah tidak lagi menghiraukan kenikmatan dan keseronokan duniawi yang bersifat sementara sahaja. Baginya sudah tidak ada apa-apa benda yang menarik dan hebat di atas dunia ini. Percakapannya ringkas tapi memberikan seribu satu makna yang berkesan di hati para pendengar. Bagi mereka yang pernah mendampinginya, sangat banyak perkara yang beliau sampaikan sama ada berbentuk nafahat (limpahan ilham), futuhat (pembukaan ilmu), waridat (pembukaan tabir) mahupun mukasyafat (singkapan hijab). Ada yang ringan dan ada juga yang berat. Ia adalah limpahan hakikat dan makrifat yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya.

Pernah sekali beliau telah hadir dalam satu majlis zikir anjuran Maulana Sufi Muhammad Sarwar حفظه الله di Jamia Asharafia, Lahore,Pakistan di mana ketika berlangsungnya ucapan daripada Maulana Sufi Muhammad Sarwar حفظه الله yang sedang duduk memberikan nasihat di atas kerusi, tiba melihat kedatangan Maulana Jamshed رحمه الله تعالى, Maulana Sufi Muhammad Sarwar حفظه الله terus bangun dan meminta Maulana Jamshed Ali duduk diatas kerusi dan menyampaikan nasihat kepada mereka yang hadir dalam majlis itu. Hal ini merupakan satu penghormatan para ulamak lain terhadap Maulana Jamshed Ali Khan. [5]

Antara karomah beliau, beliau telah mewarisi kebolehan bercakap dengan jin daripada guru-guru beliau. Di ceritakan bahawa selalu majlis pengajian dan bayan beliau akan dihadiri oleh jin-jin yang ingin turut serta dalam majlis itu. 

Diceritakan bahawa saat-saat sebelum kematian beliau, ada seorang lelaki datang menemui beliau dan memberitahu beliau bahawa beliau (lelaki itu) telah bermimpikan Rasulullah صلی اللہ علیہ وسلم di dalam mimpinya. Perbualan mereka panjang, kata Maulana Hamzah, saya telah dengar dari mulut Maulana Jamshed رحمه الله تعالى sendiri bahawasanya, beliau (Maulana Jamshed رحمه الله تعالى)  berkata beliau telah berjumpa dengan Rasulullah رحمه الله تعالى secara sedar/yaqaza, sambil beliau mengisyaratkan bahawasanya Rasulullah رحمه الله تعالى datang di hadapan beliau dengan tangannya. [6]

Sejak kebelakangan ini, terlalu banyak ulamak yang pergi meninggalkan kita semua buat selamanya. Pemergian mereka tidak boleh di cari ganti. Merekalah pembimbing kita, merekalah qudwah kita. Para ulama seumpama bintang dilangit yang menjadi petunjuk kepada para pengembara, maka apabila mereka tiada, pengembara akan hilang pedoman dan langit menjadi suram tidak berseri.


الله يغفرله ويرحمه ويتجاوز عن سيئاته ويضاعف حسناته ويجعل مستقر روحه الفردوس الأعلى مع النبيين والصديقين و الشهداء والصالحين ويخلفه فينا وفي المسلمين أجمعين بالخلف الصالح. آمين


Nota Kaki 
__________________

[1]. Cerita daripada guru al-faqir Syeikh Muhammad Daniel.
[2]. Ibid
[3]. Ibid
[4]. Ibid
[5]. Cerita daripada Maulana Khalid Saifullah.
[6]. Cerita daripada Maulana Hamzah Talib.

Tuesday, October 28, 2014

Penghormatan Terhadap Guru Oleh Syeikhul Hind Maulana Mahmud Hasan Ad-Deobandi رحمه الله تعالى

Hasyiah Jami' Tirmizi oleh Akabir Deoband antaranya Maulana Anwar Shah Kashmiri رحمه الله تعالى, Syeikhul Hind Maulana Mahmud Hasan Deobandi رحمه الله تعالى, Hakimul Ummah Maulana Asyraf Ali Thanwi رحمه الله تعالى dan lain-lain.

Maulana Qari Mohammad Tayyib رحمه الله تعالى menceritakan apabila Syeikhul Hind Maulana Mahmud Hasan Ad-Deobandi رحمه الله تعالى meninggalkan Darul Uloom Deoband untuk memulakan perjalanan beliau ke Malta kerana di penjara oleh penjajah British di sana. Syeikhul Hind رحمه الله تعالى  telah datang ke rumah kami, pada masa itu nenek sebelah bapa saya (yakni isteri kepada Maulana Muhammad Qassim Nanotwi رحمه الله تعالى) masih lagi hidup. Beliau meletakan kerusi di hadapan pintu bilik di sebalik tirai, kemudian beliau duduk di situ. Beliau kemudiannya meminta kasut yang dipakai oleh isteri Maulana Muhammad Qassim Nanotwi رحمه الله تعالى lalu meletakan kasut tersebut di kepalanya seraya itu beliau menangis  dalam keadaan yang agak lama. Kemudian beliau berkata “ aku memohon maaf kerana tidak dapat menunaikan hak guruku iaitu (Maulana Muhammad Qassim Nanotwi رحمه الله تعالى) dan aku sangat menyesal akan keadaan ini. [1]

Lihatlah, bertapa tawadhuk dan kehebatan memuliakan gurunya yang ditunjuk oleh Syeikhul Hind رحمه الله تعالى. Tahukah kalian bahawa, siapakah anak murid kepada Syeikhul Hind رحمه الله تعالى. Di sini adalah senarai anak-anak murid beliau : Beliau meninggal dunia pada tahun 1920 M dan meninggalkan murid-murid beliau yang kemudiannya menjadi ulamak-ulamak hebat dan di segani di seluruh dunia. Antaranya ialah : [2]

1.Syeikhul Hadith Maulana Anwar Shah Kashmiri رحمه الله تعالى (1875-1933 M) 

2.Hakimul Ummah Maulana Asyraf Ali Thanwi    رحمه الله تعالى (1863-1943 M)
3.Maulana Shabir Ahmad Uthmani  رحمه الله تعالى (1886-1949 M)
4.Mufti A'azam Mufti Syafi' Uthmani  رحمه الله تعالى (1897-1976 M)
5.Syeikhul Islam Maulana Husain Ahmad Madani رحمه الله تعالى (1879-1957 M)
6.Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi رحمه الله تعالى (1885-1943 M)
7.Maulana Ubaidullah Sindhi رحمه الله تعالى (1872-1944 M)
8.Mufti A’zam Kifayatullah Dehlawi رحمه الله تعالى (1875-1952 M)

Nota Kaki 
__________________

[1]. Rujukan Malfuzat Faqihul Ummat Mufti Mahmud Hasan Gangohi , jilid 2, m/s 399
[2]. http://wirapendang.blogspot.com/2013/12/syeikhul-hind-maulana-mahmudul-hasan-ad.html

Thursday, October 16, 2014

Kepentingan Takbiratul Ula oleh Akabir Deoband

Kisah yang pertama :

Qutb Irsyad Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمه الله تعالى pernah menghadiri satu perhimpunan di Darul Uloom Deoband. Pada masa yang sama, majlis itu telah dihadiri oleh ramai orang sehingga telah menyebabkan sedikit kelewatan buat Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمه الله تعالى untuk pergi ke masjid bagi menunaikan solat. Apabila Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمه الله تعالى telah sampai ke masjid, iqamat pun telah dilaungkan. Selepas solat, Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمه الله تعالى  telah menangis dengan teresak-esak dan dengan penuh penyesalan beliau berkata bahawa, pada hari ini saya telah terlepas takbiratul ula yang saya jaganya selama lebih 20 tahun. [1] 

Kitab Bazlul Majhud fi Hall Abi Dawud, syarah kepada sunan Abu Daud sumbangan Maulana Khalil Ahmad Saharanpuri رحمه الله تعالى.

Kisah yang kedua : 

Maulana Zafar Ahmad Uthmani رحمه الله تعالى  berkata bahawa 'Saya telah tinggal selama enam tahun untuk berkhidmat kepada Maulana Khalil Ahmad Saharanpuri رحمه الله تعالى . 
Tidak pernah sesekali, aku melihat Maulana Khalil Ahmad Saharanpuri رحمه الله تعالى terlepas takbiratul ula. Walau bagaimanapun,satu ketika apabila mulut Maulana Khalil Ahmad Saharanpuri رحمه الله تعالى  mulai mengeluarkan darah secara berterusan dan dalam masa yang sama, beliau masih berterusan untuk mengambil wudhu untuk menunaikan solat Subuh. Maulana Khalil Ahmad Saharanpuri رحمه الله تعالى  kemudian menghantar isyarat kepada makmum yang lain bahawa jemaah solat itu tidak perlu ditangguhkan (untuk menunggu beliau). Kata Maulana Zafar Ahmad Uthmani رحمه الله تعالى , ketika itu baru aku melihat bahawasanya beliau (Maulana Khalil Ahmad Saharanpuri رحمه الله تعالى ) telah kehilangan takbiratul ula, walaupun bagaimanapun, pada solat subuh pagi itu, beliau berjaya mendapatkan rakaat pertama bersama jemaah. [2]
____________________________

[1]. Tazkiratul Rashid, jilid 2, m/s 16

[2]. Tazkirat-ul-Khaleel, p. 345

Thursday, October 9, 2014

Wawasan Dakwah Dan Madrasah oleh Maulana Muhammad Yusof Kandhalawi رحمه الله تعالى


Kitab Hayatush Sahabah, kitab perjalanan kehidupan para sahabat Nabi صلی اللہ علیہ وسلم. Sumbangan Maulana Muhammad Yusof Kandhalawi رحمة الله عليه kepada masyarakat Islam. Tahqiq dan Ta'liq oleh Maulana Ilyas Barabankavi حفظه الله dan Maulana Muhammad Inam Ul Hasan Kandhalawi رحمة الله عليه terbitan Idarastore.

Mufti Azizur Rahman Bijnori حفظه الله [1] menulis [2] :

Maulana Muhammad Yusof Kandhalawi رحمه الله تعالى [3] telah mula mengajar di Madrasah Mazahirul Uloom,Saharanpur,UP,India ketika masih bergelar pelajar lagi.Bahkan selepas beliau menamatkan pembelajarannya di madrasah tersebut,beliau masih lagi kekal dalam pekerjaan sebagai guru hadith di madrasah,menyelia pergerakan jemaah-jemaah Dakwah Tabligh,menulis kitab-kitab dan sebagainya lagi.

Bilik yang pernah digunakan oleh Maulana Muhammad Yusof Kandhalawi رحمه الله تعالى ketika belajar di Madrasah Mazahirul Uloom,Saharanpur,UP,India.

Sekali,apabila saya (Mufti Azizur Rahman Bijnori حفظه الله ) mengadu kepada Maulana Yusof رحمه الله تعالى bahawa saya sudah penat mengajar,dan saya berharap bahawa tugas pengajaran saya ini diserahkan kepada orang-orang yang lain yang lebih layak kerana saya mahu berada bersama mereka yang sedang berada di Jalan Allah سبحانه وتعالى dalam beberapa hari.

Maulana Yusof رحمه الله تعالى ketika mendengar rintihan saya terus berkata :

“Jangan sesekali ,sebelum kamu keluar di Jalan Allah سبحانه وتعالى ,kamu harus mengajar dan kemudiannya selepas balik dari keluar di Jalan Allah swt kamu juga perlu mengajar.Orang ramai akan berkata terhadap kita bahawasanya kita melakukan Usaha Dakwah/Tabligh,kita seakan-akan menentang perjalanan madrasah.Hal ini merupakan satu kesilapan daripada pihak mereka.Kami menganggap bahawa tugas pengajaran Islam adalah sebagai satu tugas yang asas.Penglibatan kami dalam pengajaran adalah sebagai membuktikan perkara ini.Kami berharap bahawa dengan penglibatan kami ini dalam pengajaran adalah satu bukti bahawasanya ianya boleh disatukan dengan Usaha Dakwah/Tabligh.

Rujukan :
____________________

[1]. Mufti Azizur Rahman Bijnori حفظه الله adalah ahli majlis Islamic Fatwa Academy (IFA)
[2]. Biografi Maulana Muhammad Yusof Kandhalawi رحمه الله تعالى- Amir Kedua Jemaah Dakwah Dan Tabligh,halaman 77,penerbitan Madrasah Altaf & Sons .
[3]. Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi رحمه الله تعالى dilahir pada 25 Jamiul Awwal 1335 H (20 Mac 1917M) di perkampungan Kandhala,UP, India. Beliau dilahirkan di dalam sebuah keluarga yang soleh dan taat. Ketika masih kecil,beliau telah didedahkan dengan persekitaran kesolehan ketika usia muda. Beliau menghafal Al-Quran pada usia sepuluh di tangan Maulana Khalil Ahmad Saharanpuri رحمه الله تعالى dan terus belajar hadith di tangan Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمه الله تعالى. Beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan para ulama besar zaman beliau seperti Maulana Sayyid Husain Ahmad Madani رحمه الله تعالى, Maulana Abdul Qadir Raipuri رحمه الله تعالى Maulana Sayyid Abu Hasan Ali An-nadwi رحمه الله تعالى dan lain-lain lagi dan beliau juga diiktiraf sebagai salah seorang ulama besar pada waktu itu. Selepas bapanya, Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi رحمه الله تعالى meninggal dunia. Beliau telah dilantik menjadi amir Jemaah Tabligh. Beliau telah menghabiskan banyak masa dan usaha dalam Islam dan juga di dalam penghasilan kitab-kitab ilmiah. Dua buah kitab hasil sumbangan beliau yang terkenal adalah Amani Al-Ahbar Fi Sharh Ma'ani Al-Athar sebanyak 4 jilid (hanya 4 jilid berjaya disiapkan kerana beliau meninggal dunia) , Yang merupakan syarah kepada karya utama oleh Imam Ahmad Al-Tahawi رحمه الله تعالى, dan Hayatush Sahabah sebanyak 3 jilid. Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi رحمه الله تعالى  meninggal dunia ketika usia 48 tahun di Lahore,Pakistan dan dikebumikan di perkarangan Masjid Banglawali Markaz,Nizamuddin,Delhi,India.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Telah Link Blog Ini