Ikuti Blog Ini

Friday, January 31, 2014

Syeikhul Hadith Maulana Wajid Ali Husain rah Dalam Kenangan

Kehilangan beliau pasti di tangisi dan di rasai oleh murid-muridnya.Di bawah ini saya sertakan satu komentar daripada muridnya sendiri iaitu dari Mufti Aasim Rashid

Saya mendengar berita kematian Syeikhul Hadith Maulana Wajid Ali Husain daripada Mufti Yaser Nadeem (Presiden Darul Uloom Online) melalui e-mailnya yang di kirimkan kepada saya baru-baru ini.Maulana Wajid Ali Husain adalah antara murid-murid terakhir Syeikhul Islam Maulana Sayyid Ahmad Madani rah (1879 -1957 M) dan juga merupakan khalifahnya.

Sedih mendengar berita pemergian guru saya Syeikhul Hadith Maulana Wajid Ali rah, guru hadith dan tafsir di Jamia Talim Ul Din,Dabhel,Gujarat India.Semoga Allah meninggikan darjat yang tinggi dalam Jannah.Mukanya selalu tersenyum penuh dengan "nur", sikapnya yang lemah-lembut terhadap kami.

Beliau mempunyai sifat yang luar biasa dan beradab apabila beliau mengajar. Apabila beliau duduk untuk mengajar, beliau tidak akan beralih atau menukar kedudukannya. Beliau akan duduk dalam keadaan sangat senyap-senyap tetapi bibirnya masih bergerak kelihatan menuturkan sesuatu sebagai untuk menghormati hadith-hadith Nabi saw.

Beliau yang selalu tenang itu akan berubah sekali dalam setahun apabila mengajar tafsir Surah An-Nur kepada kami.Ketika menjelaskan kisah 'ifk (fitnah) kepada Saidatina Aishah r.ha daripada orang-orang Munafik.Apabila beliau  bercakap mengenai kesusahan dan penderitaan yang di tanggung oleh Saidatina Aishah r.ha pasti beliau akan hiba dan menangis seperti seorang kanak-kanak menangis di sebabkan kelaparan susu dari ibunya.Semoga Allah merahmatinya dan memberinya pahala yang besar bagi pihak beliau yang mendapat manfaat daripadanya.

Yang mengharapkan maghfirah dariMu
Mufti Aasim Rashid

Beliau mengajar Hadith selama 40 tahun.Semoga Allah swt merahmati beliau

Menurut Mufti Yasir Nadeem mengenai mimpinya

Kematian Syeikhul Hadith Maulana Muhammad Wajid Husain rah baru beberapa hari.Tetapi menurut cucunya Mufti Yasir Nadeem (Presiden Darul Uloom Online) bahawanya beliau telah bermimpi melihat datuknya dalam keadaan usia wajah usia muda kira-kira 20-an.Kata beliau,semasa hayat datuknya,datuknya kuat mempertahankan para Sahabat r.hum ajmain.


P/s:Jika kita mati,adakah orang akan bermimpikan kita dalam keadaan mimpi "mubasyarah" sebegini.

Friday, January 24, 2014

Akhak Para Akabir Deoband

Pusara Hakimul Ummah Maulana Asyraf Ali Thanwi rah (1863-1943 M) dan isterinya di Thana Bhawan,UP,India.

Ahmad Reza Khan Brelwi (1856-1921 M) di kenali di benua hind sebagai pengasas firqah Brelwi dan antara yang paling mencuri tumpuan mengenai dirinya adalah satu fatwa daripada beliau mengenai kafirnya para akabir Deoband seperti Maulana Muhammad Qasim Nanotwi rah (1833-1880 M),Maulana Rasyid Ahmad Gangohi rah (1829-1905 M),Maulana Asyraf Ali Thanwi rah dan ramai lagi.Tetapi apakah sikap dan akhak para Akabir Deobandi ini terhadap Ahmad Reza Khan.Di bawah ini saya letakan beberapa contoh tauladan  daripada para Akabir Deoband kepada orang pernah mentakfirkan mereka.

Ahmad Reza Khan di dapati tersilap mengeluar fatwa kafir atas para Akabir Deoband kerana kecintaan yang berlebihan terhadap Rasulullah Saw.Maulana Qari Muhammad Tayyib Qasmi rah (1897-1983 M),cucu kepada pengasas Darul Uloom Deoband juga merupakan bekas Mohtamim Darul Uloom Deoband lebih seabad menceritakan bahawa sekali seseorang telah menyebut  nama Ahmad Reza Khan dalam keadaan tidak hormat di hadapan Hakimul Ummah Maulana Asyraf Ali Thanwi rah dan beliau berkata bahawa “Ahmad Reza Khan telah berkata itu dan ini kepada tuan “Hakimul Ummah dengan tegas dan marah telah memarahi orang tersebut lalu berkata “Walaupun ada perbezaan pandangan di antara kami berdua ,tetapi beliau (Ahmad Reza Khan) tetap orang yang kamu perlu hormati dan dia adalah seorang yang alim (ulamak),kamu sepatutnya memanggilnya sebagai “Maulana” sebelum namanya. [Malfuzat Hakimul Islam,Maulana Qari Muhammad Tayyib,Jilid 7].

Di sini selalu Hakimul Ummah menyampaikan syarahanya

Mufti A’zam Mufti Shafi’ Uthmani rah (1897-1976 M) seorang daripada murid Hakimul Ummah menceritakan bahawa “Apabila Ahmad Reza Khan meninggal dunia,seseorang telah datang kepada Hakimul Ummah  dan memberitahunya.Hakimul Ummah ketika dalam majlisnya telah memendekan syarahanya lalu mengangkat tangan seraya berdoa untuk keampunan Ahmad Reza Khan.Setelah selesai berdoa,seorang telah bertanya kepada beliau,si mati dalam kehidupannya telah mentakfirkan tuan tetapi tuan telah mendoakan keampunan untuknya”.Lalu Hakimul Ummah menjawab “Ahmad Reza Khan mendakwa dalam Fatwa Kafirnya menentang kami kerana beliau tersilap memahami daripada segala penulisan-penulisan kami dan kepercayaan kami bahawa kami telah menghina kemulian Rasulullah saw.Jika beliau memahami dengan baik segala penulisan-penulisan dan kepercayaan kami,kami pasti bahawa beliau tidak akan mentakfirkan kami bahkan beliau akan bersama dengan kami.Insyallah beliau akan di ampunkan dan Allah swt akan mengampuninya.[Maslak Aitedal,halaman 87].

Hakimul Ummah juga telah berkata bahawa “ Dalam hati aku,aku sangat menghormati Ahmad Reza Khan.Beliau telah memanggil kami sebagai kafir,tetapi beliau berkata demikian kerana tidak lain dan tidak bukan kerana kecintaannya kepada Rasulullah saw dan tidak sanggup untuk melihat Rasulullah saw di hina.[Maslak Aitedal,halaman 88].

Mufti Muhammad Hasan rah (1880-1961 M) menceritakan bahawa beliau mendengar bahawa Hakimul Ummah berkata “Jika aku di beri peluang untuk solat di belakang Ahmad Reza Khan ,aku pasti akan solat di belakangnya. [Hayaat Imdad,Halaman 38].

Syeikhul Islam Maulana Shabir Ahmad Uthmani rah (1886-1949 M) pengarang kitab Fathul Mulhim Syarh Sahih Muslim juga seorang ulamak yang memainkan peranan penting ketika kemerdekaan Pakistan.Bahkan bendera Pakistan pertama di naikan oleh beliau.

Syeikhul Islam Maulana Shabir Ahmad Uthmani rah mengatakan  bahawa “ Untuk menghakimi Ahmad Reza Khan atas fatwanya ke atas para akabir Deoband adalah sesuatu yang tidak adil,kerana beliau adalah seorang yang sangat alim.Kematian beliau adalah satu kehilangan kepada dunia Islam.[Safaid O Siyah,halaman 116].

Demikianlah bentuk-bentuk akhlak para Akabir Deoband di mana seluruh kehidupan mereka di wakafkan untuk agama Allah swt.Perasaan kasih sayang mengalir dalam tubuh mereka sehingga perasaan itu wujud dan bersemi sesama saudara mereka yang lain melebihi daripada kecintaan terhadap diri mereka sendiri.Mereka telah memenuhi kehidupan mereka dengan sunah Nabi saw sehinggakan Allah swt telah mengambil khidmat mereka dalam memperkukuh dan menyebarkan agamanya.Ya Allah luas dan terangkan pusara  mereka dengan cahaya yang sempurna,tingkat darjat mereka di sisimu.Amin ya Allah.

Tuesday, January 14, 2014

Syeikhul Hadith Maulana Yunus Jaunpuri (Muhaddith al 'asr)

Muhaddith al 'asr yang juga Syeikhul Hadith Maulana Yunus Jaunpuri al-Mazahiri hafidzahullah adalah Syeikhul Hadith di Mazahirul Uloom,Saharanpur,UP,India.Beliau merupakan anak murid kesayangan kepada Syeikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi rah (1898-1982 M).

Maulana Yunus Jaunpuri senantiasa di kerumuni oleh pencinta ilmu bagi mengambil istifadah daripada beliau.Majlisnya penuh dengan pelajar-pelajar yang ingin mendengar butir bicara daripadanya.Syarahan hadithnya memang berbeza menyerlahkan lagi keupayaan beliau sebagai seorang Syeikhul Hadith di Mazahirul Uloom yang dahulunya pernah melahirkan muhaddith hebat seperti  Maulana Khalil Ahmad Saharanpuri rah (1852-1927 M) dan guru beliau sendiri iaitu Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi rah.

Beliau tidak berkahwin kerana mengalami masalah kesihatan tetapi murid-muridnya memberitahu saya bahawa beliau telah berkahwin dengan hadith-hadith Nabi saw.Beliau mengajar hadith secara (tadris) selama 50 tahun dan mengajar Sahih Al-Bukhari selama 46 tahun.Hal ini bererti bahawa beliau sudah mengkhatamkan Sahih Al-Bukhari sebanyak 46 kali,kerana sukatan madrasah perlu menghabiskan Bukhari dalam tempoh hampir satu tahun.
Sanad Hadith kepada para pelajar yang telah tamat belajar di Mazahirul Uloom,Saharanpur akan di berikan gelaran Mazahiri.Alhamdulillah,guru saya juga seorang Al-Mazahiri.


Meskipun tidak mempunyai anak,tetapi beliau di kurniakan oleh Allah swt dengan anak murid yang ramai yang datang dari pelbagai pelusuk dunia bagi mengambil faedah daripada beliau.
Guru saya pernah memberitahu bahawa Maulana Jaunpuri apabila ingin mengajar Sahih Al-Bukhari,untuk setiap satu hadith,beliau akan membaca lebih daripada 30 buah kitab syarah Sahih Al-Bukhari.Cara beliau mengajar kitab Sahih al-Bukhari ini sememangnya menampakan kewibawaan beliau sebagai seorang muhaddith yang hebat.

Berikut adalah halaman dalam menerangkan butiran terperinci mengenai Syeikhul Hadith Maulana Yunus Jaunpuri hafidzahullah mengenai kitab Misykat.Ianya mempunyai butir terperinci mengenai berapa ramai guru-guru yang mengajarnya dan berapa kali beliau telah belajar kitab Misykat ini.

Taman kecil di Mazahirul Uloom.Tingkat atas kanan bilik Syeikhul Hadith Maulana Yunus Jaunpuri hafidzahullah.

Berikut adalah contoh dari hasil kerja yang belum diterbitkan lagi oleh Maulana Yunus Jounpuri iaitu Al-Hadith Al-Muntaqadah Tirmizi sepertimana gambar di atas.

Gambar ini menunjukan rujukan kecil mengambarkan ketelitian kerja-kerja Maulana Yunus Jounpuri dalam ilmu hadith. 

Maulana Yunos Jaunpuri ketika mengendali majlis anjuran Maulana Dr Mohd Akram Nadwi di London.Ketika hayat Maulana Abul Hasan Ali An Nadwi rah (1913-1999 M),beliau juga menerima jemputan dari Nadwah untuk program Khatam Bukhari. Hubungan yg baik antara Nadwiyin dengan Maulana Yunus Jaunpuri, Syeikhul Hadith Mazahirul Uloom.Murid Maulana Muhammad Zakariyya Kandahlawi memanjang merentasi benua.

Maulana Yunos Jaunpuri ketika mengerjakan Ibadat Haji pada tahun lepas 2013 M/1434 H)
A-Yawaqit al-Ghaliyah fi Tahqiq wa Takhrij al-Ahadith al-'Aliyah oleh Syeikhul Hadith Maulana Yunus Jounpuri.Yang baru di terbitkan ialah Jilid 1-4.

Kitab ini ada kandungan jawapan daripada Syeikh Hadith Maulana Yunus Jounpuri untuk pertanyaan permasalahan hadith-hadith yang telah di buku dan diterbitkan oleh muridnya Syeikhul Hadith Maulana Muhammad Ayyub Surti Syeikh Hadith Darul 'Uloom Leicester, UK.Antara persoalan-persoalan yang dijawab telah dikemukakan kepada dirinya oleh gurunya sendiri iaitu Syeikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi rah.Naskah ini adalah naskah yang bagus dan menarik untuk para pencinta ilmu hadith untuk mengkajinya dan memahaminya.

P/s: Antara muridnya (yang saya kenali) di Malaysia adalah seperti Maulana Razif al-Mazahiri (MUSP) dan Maulana Muhammad Hazim Husain Al-Mazahiri (MUSP).

Juga boleh baca kisah mengenai Maulana Yunus Jaunpuri di sini.

Monday, January 6, 2014

Ulamak-ulamak di Sebalik Penghasilan Kitab Fadhilat A'mal

Fadhilat A'mal versi baru lengkap dengan dalil serta syarah hadith merupakan.Fadhilat A'mal dalam Bahasa Arab yang diterbitkan oleh Maulana Muhammad Talha Kandhalawi di bawah Maktabah Yahyawi, Saharanpur, UP India.Kerja-kerja penyelidikan dalam hadith yang dilakukan oleh Maulana Abdur Rasheed Nadwi dan kata pengantar oleh Maulana Muhammad Rabe Hasani Nadwi.Kitab ini telah di hadiahkan oleh Maulana Muhammad Razif Mazahiri kepada Ust Dr Fathul Bari ketika beliau menziarahi MUSP tempoh hari.

Kitab Fadhilat A'mal versi terjemahan Bahasa Melayu oleh Maulana Muhammad Razif Mazahiri ini adalah istifadah daripada Maulana Abdur Rasheed Nadwi

1).kitab Fadhilat Al-Quran dan Fadhilat Selawat.Maulana Muhammad Zakariyya rah (1898-1982 M) telah di minta oleh Maulana Shah Muhammad Yasin Naginawi rah (khalifah Maulana Rasyid Ahmad Gangohi rah (1829-1905 M ) untuk menulisnya.


2).Kitab Fadhilat Tabligh,Fadhilat Solat,Fadhilat Ramadhan,Fadhilat Zikir,Fadhilat Sedeqah dan Fadhilat Perniagaan.Beliau rah telah di minta oleh Maulana Muhammad Ilyas rah (1885-1943 M) untuk menulisnya.


Antara kitab yang paling banyak di terjemahkan ke dalam pelbagai bahasa iaitu Kitab Fadhilat A'mal karya Syeikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi rah (1898-1982 M) dan kitab Muntakhab Ahadith karya milik Maulana Muhammad Yusof Kandhalawi rah (1917–1965 M).

2).Hikayatush Sahabah 
Beliau rah telah di minta oleh Maulana Shah 'Abd al-Qadir Raipuri rah ( 1878-1962 M) untuk menulisnya.

3).Fadhilat Haji.Beliau rah telah di desak oleh Maulana Muhammad Yusof Kandhalawi rah (1917–1965 M) untuk menulisnya.

Rujukan :
Aqidah Pengarang Kitab Fadhilat A'mal : Satu Analisis,Halaman 22.
Maulana Abdullah Ma’arofi,Guru Takhasus Hadith di Darul Uloom Deoband.

Wednesday, January 1, 2014

Ketelitian Syeikhul Hadith Dalam Meriwayatkan Hadith

Semoga Allah merahmati Syeikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi atas khidmatnya untuk agama Allah swt.

Entri ini merupakan petikan sebahagian daripada penulisan ilmiah pelajar di bawah seliaan saya, A’ali Imran bin Jamal Mohamad, mengenai Syeikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi rah (1898-1982 M) dengan merujuk kepada kitab Aap Beeti autobiografi Maulana Muhammad Zakariyya sendiri. Saya kongsikan kerana nilai ilmu dan adab yang terkandung dalam petikan tersebut. Beberapa suntingan telah dibuat terhadapnya.

Sejak Maulana Muhammad Zakariyya rah mengajar hadith di dalam tahun 1340H (1922M), beliau dapati bahawa kesemua periwayatan sanad pengajaran hadith  dan keizinan talian para masyaikh adalah melalui Musnid al-Hind Hakimul Islam Shah Waliyyullah Dehlawi rah (1703-1762 M). Maka beliau telah mencatat seluruh rantaian-rantaian keizinan pengajaran hadith di India melalui hantaran surat-surat kepada semua madrasah, dengan tujuan; apakah terdapat sanad daripada Shah Waliyyullah  di dalam rantaian sanad mereka?

Akhirnya, beliau dapati tiada satu pun jawapan daripada madrasah-madrasah di India yang tidak mempunyai sanad Shah Waliyyullah. Kesemuanya mempunyai hubungan talian yang sampai kepada Shah Waliyyullah. Gurunya sendiri, iaitu Maulana Khalil Ahmad Saharanpuri rah (1852-1927 M) juga mempunyai sanad daripada keluarga Shah Waliyyullah dan para masyaikh di Mekah, sebagaimana diterangkan di dalam muqaddimah Bazl al-Majhud, Lami’ ad-Darari dan Awjaz al-Masalik. Dengan ini, Maulana Zakariyya selalu menamakan Shah Waliyyullah sebagai Musnid al-Hind. (Aap Beeti 5. hlm. 154-155.)

Antara tiga kitab hadith  yang dikarang oleh Shah Waliyyullah, iaitu;

       1.pertama kitab al-Fadlul Mubin fi al-Musalsal min Hadithin Nabiyyil Amin,
       2.yang kedua kitab ad-Durr at-Thamin fi Mubasysyaratin Nabiyyil Amin, dan
       3.yang ketiga kitab an-Nawadir fi Ahadith Saiyyidil Awa‘ili wal Awakhir.

Dua daripada tiga kitab Shah Waliyullah, iaitu kitab ad-Durr dan kitab an-Nawadir terdapat beberapa hadith yang diriwayatkan oleh sesetengah sahabat RA di dalamnya yang mana para ulama hadith mempunyai rasa keengganan yang berat menerima hadith-hadith yang dinukilkan. Keputusannya, Maulana Zakariyya mula ragu-ragu tentang keizinan untuk meriwayatkan hadith-hadith tersebut.

Justeru itu, di dalam tahun 1352H (1933M) Maulana Zakariyya telah menulis kira-kira 50 keping surat kepada kesemua para masyaikh, antaranya Syeikhul Islam Maulana Husain Ahmad Madani rah (1879 -1957 M),Hakim Jamiluddin Naginwi rah (anak murid kepada Imam Robbani Maulana Abdul Rasyid Ahmad Gangohi rah (1826-1905 M)),Mufti A’zam Kifayatullah Dehlawi rah (1875-1952 M), dan berbagai-bagai ulama yang lain bagi meminta pandangan mereka. Kebanyakan mereka menyatakan ketidak arifan mengenai kitab-kitab tersebut dan belum lagi bertemu pandangan-pandangan kritikal daripada kalangan muhadithin. Dalam hal ini, Maulana Zakariyya juga menulis surat kepada Hakimul Ummah Maulana Asyraf Ali Thanwi rah (1863 – 1943 M).

Berikut adalah ringkasan daripada kandungan surat Hadrat Syeikh kepada Hakimul Ummah :

“Kepada Hadrat Hakimul Ummah yang dihormati Maulana Thanwi,
(semoga Allah SWT menjadikan bayangan berkatmu tetap selalu)

Ketiga-tiga risalah oleh Mujadid India Shah Waliyyullah mengandungi banyak hadis yang mana menurut peraturan kaedah para muhadithin mengkritik menentanginya malah dianggap maudhu’, khususnya hadith yang diriwayatkan oleh Ratan Hindi dan Ibnu Abi Dunya. Bagi Ratan Hindi, tidak ada bukti putus bahawa beliau adalah seorang sahabi dan di dalam Isabah terdapat suatu kritikan yang panjang menentanginya. Di dalam Lisanul Mizan, Ibnu Abi Dunya telah menyebut kenyataan dan istilah yang tidak selari.

Periwayatan hadith-hadith ini berlaku secara meluas sejak dari zaman Shah Waliyyullah. Saya telah menerima keizinan daripada Maulana Saharanpuri untuk meriwayatkan hadith ini dan di atas desakan pelajar-pelajar, saya juga memberi keizinan terhadap banyak daripada hadith-hadith ini kepada mereka.

Dalam tahun ini, keraguan telah meningkat kepada saya bahawa menurut kaedah muhadithin, meriwayatkan hadith-hadith sedemikian adalah penerusan meriwayatkan hadis palsu. Tetapi di sebalik dan hakikatnya ialah hadith-hadith itu wujud di dalam karya Hadrat Shah Waliyullah. Sedangkan kajian-kajian muhaddithin di dalam ilmu asma’ ar-rijal melarang meriwayatkan hadith ini.

Sekarang soalannya ialah; kajian siapakah yang lebih dipilih untuk diterima dan dapat dipergantungi? Malahan di Hijaz, hadith-hadith ini secara umumnya diriwayatkan. Jikalau keizinan tidak diberikan kepada para pelajar untuk menyampaikannya dan memindahkannya, maka terdapat bahaya hadis ini menjadi hilang kesemuanya setelah ia hidup selama 1300 tahun.

Jikalau keizinan diberikan pula, berkemungkinan termasuk ke dalam medan penyebaran hadith palsu.”

Berikut adalah ringkasan daripada kandungan surat jawapan Hakimul Ummah Maulana Asyraf ‘Ali Thanwi kepada Syeikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariyya:

Saudara yang dihormati, assalamua’laikum.

Dengan pendekatanmu yang wara’ dan berhati-hati, kamu telah menjadikan perkara ini lebih mustahak daripadanya. Apapun, terdapat beberapa hadith, malahan di dalam Ibn Majah ada yang telah diisytiharkan palsu. Tetapi walaupun demikian, periwayatan hadith-hadith tersebut berterusan tanpa ada apa-apa bantahan.

Periwayatan hadith oleh saudara-saudara tua bukanlah bukti kesahihannya. Apa sahaja yang sampai kepada mereka, telah diriwayatkan oleh mereka. Meriwayatkan hadis merupakan satu perkara dan sama sekali berbeza dengan meletakkan tanda kesahihan dan betul terhadapnya. Walau bagaimanapun, meriwayatkan hadith yang sedemikian dengan menunjukkan penjelasan terhadap ketidak sahihannya yang samar adalah perlu. Dengan cara ini, periwayatan hadith-hadith palsu dibenarkan oleh pendapat sepakat para ulama.

Selain daripada ini, tidak ada apa-apa buat waktu ini di dalam fikiranku. Mungkinlah dengan merujuk perkara itu kepada ulama, banyaklah lagi kajian-kajian akan muncul mengenai perkara tersebut.

Wassalam,
Asyraf ‘Ali,
22 Rejab 1352 Hijri.

Begitulah serba sedikit perihal ketelitian dan kehalusan sifat yang ada pada Hadrat Syeikh sebelum dan sesudah meriwayatkan sesuatu hadith. Samada di dalam pengajian, kajian-kajian, mahupun karya-karyanya. Beliau sentiasa peka dan sangat memandang berat terhadap ketulenan ataupun kesahihan akan sesuatu perkara yang ingin disampaikan. Beliau tidak sekali-kali mengambil mudah di dalam setiap usaha-usahanya.

Rujukan : Ust Mohd. Khafidz Bin Soroni

P/s: Bagaimana pula orang-orang yang mengatakan bahawa Syeikhul Hadith memasukan riwayat-riwayat palsu dalam karya-karyanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Telah Link Blog Ini