Ikuti Blog Ini

Thursday, September 25, 2014

Syeikh Miyanji Abdul Rahman رحمه الله تعالى Dalam Kenangan

Pada petang 17 September 2014, saya mendapat satu kiriman whatsapp dari seorang sahabat saya yang berada di Markaz Masjid Banglawali, Nizamuddin, Delhi,India yang memberitahu saya bahawa seorang buzruq (orang lama) dalam Dakwah/Tabligh di India telah pergi menemui Allah سبحانه وتعالى . Buzruq (orang lama) yang dimaksudkan ialah Syeikh Miyanji Abdur Rahman رحمه الله تعالى . Beliau meninggal dunia ketika berumur 95 tahun.

Kematian beliau merupakan kehilangan besar kepada umat Islam di India dan juga merupakan kehilangan besar kepada pergerakan Dakwah/Tabligh apatah lagi seorang masyaikh dalam pergerakan Dakwah/Tabligh iaitu Maulana Zubair Ul Hasan Kandhalawi رحمه الله تعالى baru sahaja meninggal dunia kira-kira 6 bulan lepas. Baca kisah kematian Maulana Zubair Ul Hasan Kandhalawi رحمه الله تعالى di sini


Sebelum kewafatannya, khadim khas beliau (Hafiz Alimuddin حفظه الله) ada menceritakan beberapa kisah mengenai beliau kepada sahabat saya, antaranya ialah : [1]

1. Hafiz Alimuddin حفظه الله  
Hafiz Alimuddin حفظه الله memberitahu saya bahawa keadaannya tidak baik sejak beberapa hari yang lepas, tetapi keuzuran beliau meningkatkan sedikit sejak dua hari yang lepas. Kemudian pada malam ke-17, beliau tidak sedarkan diri, namun bibirnya masih lagi kelihatan bergerak seperti biasa dalam keadaan berzikir kepada Allah سبحانه وتعالى . Kemudian Allah سبحانه وتعالى mengambil nyawa beliau pada jam 10:30 malam (waktu India) إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ .

Menurut Hafiz Alimuddin حفظه الله muka beliau seperti keadaan orang yang berzikir kepada Allah سبحانه وتعالى .Pada pukul 3 petang (waktu India) jenazah beliau telah disolatkan oleh Maulana Yaakub Saharanpuri حفظه الله (iaitu masyaikh utama di Markaz Banglawali Masjid.


Siapakah Syeikh Miyanji Abdur Rahman رحمه الله تعالى 

Beliau berasal dari perkampungan Mewat,berumur 95 tahun. Beliau telah diberikan kebenaran untuk berkhidmat di Markaz Banglawali Masjid sejak dari zaman Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi رحمه الله تعالى lagi di mana beliau turut berbi'at ditangan Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi رحمه الله تعالى sendiri. Kemudian beliau berbi'at pula kepada Maulana Muhammad Yusof Kandhalawi رحمه الله تعالى dan kemudian berbi'at kepada Maulana Muhammad Inam Ul Hasan Kandhalawi رحمه الله تعالى. Beliau kemudiannya mula menerima bi'at daripada pelbagai ulamak sehingga jumlahnya mencapai 27 orang masyaikh. Antara daripada Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمه الله تعالى, Maulana Sayyid Husain Ahmad Madani رحمه الله تعالى, Maulana Ahmad Ali Lahori رحمه الله تعالى dan Maulana Ahamd Partapgarhi رحمه الله تعالى. Syeikh Miyanji Abdur Rahman رحمه الله تعالى telah diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan (Jemaah Tasykil) urusan  pengurusan dan penghantaran jemaah dakwah ke seluruh India. Sesiapa yang mengenali beliau akan terasa seolah-olah peta negara India berada otaknya kerana beliau mengetahui selok-belok ehwal keadaan sesuatu tempat di India.

Alhamdulillah, walaupun hanya beberapa kali saya mengunjungi markaz Banglawali masjid sepanjang hayat saya ini, tetapi antara pengalaman saya ialah saya sempat duduk dalam majlis beliau.

Syeikh Miyanji Abdur Rahman رحمه الله تعالى sangat kurang bercakap, tetapi beliau sangat dihormati oleh para masyaikh lain di Markaz Banglawali Masjid. Khabarnya sejak beberapa bulan lepas, kesihatan beliau sedikit merosot disebab keuzuran kerana usia beliau.

Beliau secara lazimnya akan memberikan rawangi ki adab (adab perjalanan) di Markaz Banglawali Masjid kepada jemaah-jemaah yang akan khuruj di sekitar India. Beliau juga akan memberikan bayan/syarahan beliau selepas ta'lim zuhur. Kebiasaannya beliau akan datang ke tempat jemaah luar negara. Beliau sangat sedikit bercakap. Kebiasaanya beliau bercakap dengan menekan kepentingan dakwah, amalan rohani kepada jemaah. Beliau juga akan memberikan amalan beliau kepada jemaah di mana beliau berkata bahawa amalan ini beliau mengambilnya daripada Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمه الله تعالى[2]


Binaan asal sebuah masjid di kawasan Mewat. Di masjid inilah, pengeluaran jemaah 3 hari pertama yang dilakukan oleh Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi رحمه الله تعالى. Dalam jemaah tersebut ada Syeikh Miyanji Abdur Rahman رحمه الله تعالى.

Pengamatan saya 

Daripada pengamatan saya, saya melihat bahawa sejak kebelakangan ini, banyak para masyaikh yang telah pergi meniggalkan kita semua. Pemergian mereka merupakan satu kehilangan yang besar buat umat. Mereka sangat penting buat kita. Mereka merupakan kekuatan rohani kita. Mereka merupakan sumber inspirasi kita dalam melakukan kebaikan. Kehilangan mereka tidak mampu ditampung sampai ke hari kiamat.

Dari Sayyidina Abu Darda رضي الله عنه berkata aku mendengar Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. bersabda: Kematian seorang ulamak adalah merupakan satu musibah (bencana bagi umat), ia tidak dapat diganti dan boleh memecahbelahkan umat (selisih pendapat dalam berbagai macam amalan) yang susah untuk diluruskan dan ia adalah bagai bintang yang dihapuskan cahayanya. [3]


Saya juga mempelajari satu doa daripada guru saya supaya selalu melazimi mendoakan keafiatan para ulamak agar para ulamak ini dapat lagi memimpin kita ke arah kebaikan ataupun setidak-tidaknya agar Allah سبحانه وتعالى mengantikan ulamak yang benar yang mampu memimpin umat ke arah kebaikan yang diredhai oleh Allah سبحانه وتعالى.

"oh Allah ummat ko hadhrath ka nemul Badal ataa farmaa".

 Yaa Allah, berkatilah umat ini dengan penggantian ulamak. 

Semoga Allah سبحانه وتعالى mengantikan ulamak seperti mana dalam doa di atas.

Apabila saya berada di Markaz Banglawali masjid, saya telah berkesempatan menziarahi beliau di bilik beliau. Beliau sangat kuat beribadat kepada Allah سبحانه وتعالى. Sewaktu bercakap dengan saya, mulut beliau masih lagi terkumat-kamit berzikir kepada Allah سبحانه وتعالى. Sebelum pulang ke Malaysia, saya sempat meminta beliau untuk mendoakan saya al-Faqir Ila Rabbih Ta'ala ini, kami berpelukan dan saya sempat mengucup dahi beliau.

Nota Kaki 
__________________

1. Kisah ini diceritakan oleh khadim khas beliau kepada sahabat saya, lalu sahabat saya menceritakan kepada saya.
2. Hal ini berdasarkan pengamatan dan pengalaman saya.
3. Hadith Riwayat Imam Baihaqi juga dipetik dari kitab Muntakhab Ahadith, Bab Ilmu dan Zikir, ms 306,keluaran Maktabah Ilmiah Musp 2014.

Thursday, September 18, 2014

Nasihat Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi rah kepada Maulana Muhammad Zubair Ul Hasan Kandhalawi rah

Buku Tazkirah Maulana Muhammad Zubair Ul Hasan Kandhalawi رحمة الله عليه oleh khalifahnya Maulana Mahmud An-Nadwi حفظه الله. 

Nasihat Syeikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمة الله عليه kepada cucu beliau iaitu Maulana Muhammad Zubair Ul Hasan Kandhalawi رحمة الله عليه ketika beliau memberikan khalifah (khalifah dalam istilah Tariqat Chistiyyah) yang membawa makna bahawa thoriq kerohanian Maulana Muhammad Zubair Ul Hasan رحمة الله عليه bersambung dalam thoriq Maulana Zakariyya Kandhalawi رحمة الله عليه sehingga muttasil ke Sayyiduna Nabi Muhammad صلی اللہ علیہ وسلم. Berikut adalah nasihat-nasihat oleh Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمة الله عليه. Semoga Allah سبحانه وتعالى membuat kita semua mencintai auliya Allah sebagai cara pengampunan dan penerimaan kita.Amin,

Beberapa perkara yang saya ingin nasihatkan kepada kamu [1] : 


1. Sewaktu Maulana Muhammad Inam ul Hasan Kandhalawi رحمة الله عليه masih hidup, jangan mengambil bi'at daripada sesiapa di Mewat ataupun di Nizamuddin. Walau bagaimanapun, jika kamu (Maulana Zubair Ul Hasan رحمة الله عليه )  berada dalam perjalanan tanpa bapamu (Maulana Muhammad Inam ul Hasan رحمة الله عليه) di mana-mana tempat selain daripada di Mewat dan apabila diminta oleh sesiapa sahaja, maka kamu boleh mengambil bi'at daripada sesiapa sahaja.


2. Tawajuh dan istiqomah dalam melakukan sesuatu amal ( rutin adhkar) adalah tangga kepada kemajuan dalam aspek kerohanian .Kualiti kemajuan (dalam kerohanian) kamu bergantung kepada istiqomah yang ditunjukan. إن شاء الله . Saya telah diberitahu bahawa kalangan masyaikh kita  seperti Qutub Irsyad Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمة الله عليه, Syeikhul Islam Maulana Sayyid Husain Ahmad Madani رحمة الله عليه dan bapa saudaraku yang dikasihi Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi رحمة الله عليه mengambil berat akan berzikir dengan kuat (zikr bil Jahr) sehingga ke akhir hayat hidup mereka. Ketiga-tiga mereka berhenti daripada berzikir dengan kuat (zikr bil jahr) ketika dipuncak kesakitan mereka (kematian). Manakala Maulana Shah Abdul Rahim Raipuri رحمة الله عليه telah dilihat berada di dalam kesakitan yang berpanjangan, jadi saya tidak melihat beliau berzikir dengan kuat (zikr bil Jahr) ketika hayatnya.

Manakala Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمة الله عليه akan menutup pintu selepas solat Subuh selama dua jam dan selepas Zuhur selama satu jam untuk berzikir dengan kuat (zikr bil jahr). Juga menjadi kebiasaan Maulana Shah Abdul Qadir Raipuri رحمة الله عليه yang akan menutup pintu daripada waktu Zuhur hingga ke lewat Asar. Pada waktu itu, kenalan yang paling istimewa pun tidak dibenarkan masuk.

Jika kerana  keuzuran disebabkan berzikir dengan kuat (zikr bil Jahr) tidak dapat dapat disempurnakan, manakala berzikir dengan senyap (zikr bil sirr) adalah yang terpenting untuk disempurnakan.

3.Kitab-kitab pengajaran tasawuf seperti kitab Irshad Al Mulook oleh  Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمة الله عليه, kitab Ikmalush Shiyam oleh Ibnu Athoillah As Sekandari رحمة الله عليه, dan kitab Akabir ka Sulook oleh Sufi Iqbal رحمة الله عليه adalah sukar bagi kamu untuk membacanya kerana kekangan masa. Tetapi jika ada seseorang yang membacanya mempunyai perkaitan dengan suluk, hendaklah kamu tetapkan masa untuk mendengarnya walaupun sekadar 10 hingga 15 minit. Dan jika Maulana Ubaidullah Balyawi رحمة الله عليه  (Khalifah Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمة الله عليه berada di markaz Nizamuddin, dapatkan beliau untuk membacanya.

Maulana Ubaidullah Balyawi رحمة الله عليه zakirin utama Markaz Dakwah/Tabligh dari zaman Maulana Muhammad Yusof Kandhalawi رحمة الله عليه .

4 Pastikan diri kamu terpelihara daripada sifat Takabbur. Sifat Takabbur ini adalah racun maut di dalam jalan sulok. Bapa saya ( Maulana Muhammad Yahya Kandhalawi رحمة الله عليه) selalu mengingatkan saya akan perkara ini. Saya menasihati kamu dengan perkara di atas semua disebabkan, kamu adalah cucuku dan kini berjaya memperolehi Khalifah daripadaku juga, dengan sepenuh hati, fikir tentang diri kamu untuk menjadi orang yang paling rendah diri daripada semua perkara itu.

Kita memberikan pengajaran menggunakan bibir (lidah) dan penulisan kepada orang ramai, kita mengambarkan diri kita sebagai Haqir .. faqir dan sebagainya. Tetapi jantung kita sendiri tidak merasai dan menjiwai pengajaran kita. Oleh hal yang sedemikan, berhati-hatilah tentang perkara ini. 

5. Bapa saudaraku (Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi رحمة الله عليه) yang dihormati, 3 hari sebelum kematian beliau telah memberiku nasihat yang sangat penting iaitu gesaan supaya mengambil berat akan sunnah-sunnah. Saya memberikan perhatian khusus kepada sahabat-sahabat saya mengenai perkara ini. 

Saya rasa banyak perkara yang ingin saya tulis di sini tetapi kamu kena sedar akan keadaan diri saya, ingatan dan minda saya sudah lemah. Saya rasa saya berpuas hati dengan tulisan saya sampai di sini sahaja dan إن شاء الله  saya berharap dengan kebenaran dan kejujuran kamu, maka hendaklah teliti dalam mengambil kira apa juga yang saya telah tulis dan amal padanya. 

Daripada Syeikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمة الله عليه
3 Rabi’ul awwal, 1398, Madinah Munawwarah 

Nota Kaki
_________________

[1]. Dipetikan daripada buku Tazkirah Maulana Muhammad Zubair Ul Hasan Kandhalawi رحمة الله عليه oleh khalifahnya Maulana Mahmud An-Nadwi حفظه الله. 

Sunday, September 7, 2014

Karomah Al-Allamah Al-Faqeh Al-Muhadith Maulana Muhammad Musa Ruhani Al-Bazi رحمة الله عليه

Sebelum ini saya sudah menceritakan sedikit manaqib Al-Allamah Al-Faqeh Al-Muhadith Maulana Muhammad Musa Ruhani Al-Bazi رحمة الله عليه di artikel sebelum ini. Namun, itu belum cukup lagi untuk saya memperkenalkan beliau di mata masyarakat.Oleh itu, saya cuba untuk menceritakan lagi kisah-kisah beliau supaya para pencinta beliau dan khususnya para pencinta ulamak ASWJ lebih mengenali beliau. Beliau terkenal dengan keilmuan dan dengan dakwahnya. Usaha dakwah yang dilakukan oleh beliau telah dapat mengislamkan lebih daripada puluhan ribu orang kafir yang sebelumnya tidak sama sekali mengenal Islam bahkan beliau juga telah menghidupkan hati-hati orang Islam agar kembali kepada kehidupan yang lebih beragama.

Beliau adalah seorang Muhadith dan juga seorang ulama Sufi yang hebat. Banyak ulamak telah memujinya dan mengangkat darjatnya sejajar dengan ulamak-ulamak agung dunia dan para wali-wali qutub yang datang sebelum waktunya. Salah satu pengakuan yang sangat menyentuh hati adalah daripada beberapa surat pengutusan takziah rasmi kematian beliau daripada beberapa orang ulamak antarabangsa. [1]

Antara kisah yang diceritakan oleh beberapa orang murid beliau kepada saya ialah, dikatakan selama mereka sempat berdamping bersama dengan beliau, mereka selalu merasa bahagia/ketenangan, dan mendapatkan nur dan semangat dalam beribadah. Maka tidak terkejutlah kalau banyak yang mengalami pengalaman lebih dari itu. Oleh itu, beliau sebenar-benarnya seorang Auliyya Allah yang hebat. Seorang yang soleh,Istiqamah dalam beribadah. Mengutamakan nama Islam lebih daripada segalanya.[2]

Antara bentuk karomah yang dikurnian oleh Allah سبحانه و تعالى  kepada beliau telah diceritakan sendiri oleh beberapa orang pelajar-pelajar Malaysia yang telah belajar di Pakistan khususnya di Jami'ah beliau iaitu Jami'ah Ashrafiyah dan daripada Madrasah Arabia Raiwind. Antaranya yang telah diceritakan kepada saya ialah kisah bagaimana rakan sekelas Maulana Amir Hamzah حفظه الله yang berkesempatan menziarahi perkuburan beliau. Rakan sekelas beliau telah mengambil dan mencium tanah di perkuburan Maulana Muhammad Musa Ruhani Al-Bazi رحمة الله عليه

Kata Maulana Amir Hamzah حفظه الله, rakan sekelas beliau telah mengambil tanah daripada empat tempat yang berbeza, yang menghairankan itu ialah tanah daripada keempat-empat kawasan yang berbeza itu mengeluarkan bauan yang berbeza. Maka rakan sekelas beliau telah membawa pulang tanah tersebut dan telah menunjukan tanah tersebut kepada guru mereka iaitu Syeikhul Hadith Maulana Jamshed Ahmad حفظه الله maka Maulana Jamshed Ahmad حفظه الله telah mengarahkan kesemua pelajar di Madrasah Arabia Raiwind mencium bauan daripada tanah itu.[3]

Maulana Muhammad Musa Ruhani Al-Bazi رحمة الله عليه menutupi kepala beliau dengan kain serban

Beliau dikenali sebagai Syeikhul Hadith wal Tafsir di Jami'ah Ashrafiyah,Lahore (Pakistan). Kuliah pengajian beliau untuk Sunan Tirmizi dan Tafsir Baidawi sangat terkenal di Pakistan sehinggakan ramai pelajar-pelajar dari seluruh dunia akan datang ke majlis pengajian beliau.

Karya-karya beliau :

1. Al-Barakat al-Makkiyah fi 'l-selawat al-Nabawiyyah (menghimpunkan 805 nama-nama Sayyiduna Nabi Muhammad صلی اللہ علیہ وسلم.
2. Al-Qasidah al-Husna fi Asma al-Nabi al-'Uzma (Menghimpunkan lebih daripada 500 nama Nabi صلی اللہ علیہ وسلم
3. Al-Najm as-Sa’d fi Mabahith Amma Ba’d (أما بعد) (Penerangan (tawjihat) untuk kalimah amma Ba'd (أما بعد) sebanyak 1.3 juta penerangan.
4. Fath al-'Alim fi Halli Ishkali al-Tashbih al-'Azim fi Hadis 'ala Ibrahim' Kama Sallayta (lebih 190 penjelasan bagi keunggulan Sayyidina Ibrahim عليه السلام dalam Selawat Ibrahim.
5. Fath Allah fi Khasa'is al-ism Allah (satu kitab menerangkan keistimewaan nama-nama Allah  سبحانه و تعالى lebih daripada (2 jilid) lebih kurang 1500 mukasurat).
6. Beliau telah menulis dalam pelbagai jenis cabang ilmu Islam termasuklah Tafsir (syarah Tafsir Baidawi sebanyak 55 jilid dan Muqaddimah (pengenalan) kitab sahaja sudah diterbitkan secara berasingan dalam 2 jilid.
7. Hadith ( Riyad al-Sunan syarah kepada Sunan Tirmizi adalah yang paling meluas perbahasannya dan boleh dikatakan yang paling berwibawa kalangan ulama yang beraliran Deoband) yang hebat dalam ilmu hadith.
8. Usul al-Fiqh (satu syarah yang menakjubkan pada Syarh al-Tawdih wa 'l-Talwih, kesusasteraan Arab. Ada juga karya-karya beliau yang masih dalam bentuk makhtutat (manuskrip) dalam pelbagai lapangan ilmu, dakwah dan Islah yang tidak diterbitkan. 

Tawadhuk Maulana Muhammad Musa Ruhani Al-Bazi رحمة الله عليه.

Bahkan diceritakan bahawa sifat tawadhuk yang dimiliki oleh beliau sangat tinggi. Sekali ketika Mudir Madrasah Arabia, Raiwind iaitu Maulana Jamshed Ahmad حفظه الله datang ke Jami'ah beliau iaitu Jami'ah Ashrafiyah, Lahore. Beliau (Maulana Muhammad Musa Ruhani Al-Bazi رحمة الله عليه) akan membimbit kasut Maulana Jamshed حفظه الله kemana sahaja beliau akan pergi. [4]
Syeikhul Hadith Maulana Sufi Serwani حفظه الله merupakan Syeikhul Hadith di Jamia Ashrafia, Lahore, Pakistan.

Perkuburan Maulana mengeluarkan haruman wangi 

Disebabkan oleh beberapa aktiviti khurafat yang dilakukan oleh segelintir golongan yang tidak bertanggungjawab di sana,maka timbul kerisauan dalam kalangan ulamak-ulamak di sana. Maka setelah bermesyuarat, maka diputuskan bahawa Maulana Sufi Serwa حفظه الله mengetuai majlis bacaan doa supaya bauan harum ini dihilangkan oleh Allah سبحانه و تعالى , tetapi bauan ini tidak juga hilang, maka pada malamnya, Maulana Sufi Serwa حفظه الله telah bermimpi didatangi Maulana Muhammad Musa Ruhani Al-Bazi رحمة الله عليه, dalam mimpi tersebut, Maulana Muhammad Musa Ruhani Al-Bazi حفظه الله telah mengatakan bauan haruman ini tidak akan hilang kecuali jika anak-anakku yang berdoa supaya dihilangkannya. Kata Maulana Muhammad Zubair حفظه الله (anak sulong beliau) bauan haruman ini sebenarnya adalah untuk melepaskan kerinduan anak-anaknya  kepada bapa mereka iaitu Maulana Muhammad Musa Ruhani Al-Bazi رحمة الله عليه. Akhirnya Allah سبحانه و تعالى menerima doa yang dilakukan oleh Maulana Muhammad Zubair حفظه الله dan adik-beradiknya yang lain dengan dihilangkan bauan haruman dari kubur bapa mereka. [5]

Jami'ah Ashrafiyah,Lahore tempat Maulana Muhammad Musa Ruhani Al-Bazi رحمة الله عليه mencurahkan segala ilmu buat ummah

Bagi saya,beliau adalah salah satu dari wali besar umat ini, dan tergolong dari tokoh-tokoh muslim yang Allah سبحانه و تعالى menghidupkan agama ini melalui mereka pada kurun ke 20. Tersebarnya Islam di seluruh negara Barat dan Timur. Telah masuk Islam di tangannya beribu manusia, dan ia adalah asbab mendapatnya hidayah bagi ramai orang-orang Islam. 

Nota Kaki
_______________________

[1]. Boleh dilihat dipautan ini http://alqalamfoundation.org/views-of-scholars.html
[2]. Diceritakan oleh salah seorang murid beliau iaitu Maulana Hasnul Hizam Hamzah حفظه الله. Beliau turut menceritakan pengalaman peribadi beliau berdamping dengan Maulana Muhammad Musa Ruhani Al-Bazi رحمة الله عليه ketika majlis pelancaran kitab di masjid USJ 9 tempoh hari. Boleh dilihat di pautan ini http://www.youtube.com/watch?v=MNHPlCiAA-M
[3]. Kisah ini diceritakan oleh Maulana Amir Hamzah حفظه الله (Imam Besar Masjid Jami' Sri Petaling yang juga bekas pelajar di Madrasah Arabia Raiwind,Pakistan).
[4]. Kisah ini diceritakan oleh Maulana Muhammad Razif حفظه الله  secara peribadi kepada saya.
[5]. Kisah ini diceritakan oleh Maulana Muhammad Zubair حفظه الله secara peribadi kepada saya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Telah Link Blog Ini