Ikuti Blog Ini

Monday, December 7, 2015

Keadaan Kematian Maulānā Sayyid Husain Ahmad al-Madanī رحمه الله تعالى

Antara wajah-wajah terakhir Maulānā Sayyid Husain Ahmad al-Madanī  رحمه الله تعالى
Ketika jenazah beliau (Maulānā Sayyid Husain Ahmad al-Madanī  رحمه الله تعالى) dimandikan, orang yang memandikan jenazah beliau terkejut kerana mereka telah mendapati bahawasanya tubuh badan beliau sangat lembut, seolah-olah seperti seorang yang masih hidup. Apabila mereka membersihkan tangannya, kedengaran jari-jemari disentap dapat didengari.
Kebiasaannya, bagi setiap kematian, mata dan rahang (mulut) akan separuh terbuka dan ternganga, hidung dan kesegaran wajah akan berubah, tetapi perkara ini tidak berlaku kepada Maulānā Sayyid Husain Ahmad al-Madanī  رحمه الله تعالى yang menyebabkan orang yang memandikan jenazah beliau menjadi kehairanan. Seolah-olah beliau sedang tidur.
Kesegaran dari tubuh badan beliau menampak seri nur di wajahnya. Kematiannya itu tidak sedikit pun menganggu sifat fizikal seorang yang syahid. Setiap janggut-janggut beliau berkeadaan kemas mengikut sunnah seakan-akan diraut dengan tangannya sendiri. Kelihatan ketenangan dan keamanan terserlah diwajahnya. Perkara ini tidak pernah terjadi sejak dari kematian Maulānā Sayyid Muhammad Anwar Shah al-Kashmirī رحمه الله تعالى. [1]
Rujukan
[1]. Maulana Abu Talha Muhammed Izhar ul Hasan, Ishq e Rasool aur Ulema e Deoband, cetakan Maktabah al-Hasan, Lahore, hlm 164.

Friday, November 27, 2015

Mimpi Maulānā Ilyas al-Kāndhalawī dan kaitannya dengan Usaha Dakwah

Masjid Bangla-Walī, Nizamuddin di mana seluruh dunia datang untuk mempelajari usaha dakwah ini.

Maulānā Zakariyya al-Kāndhalawī رحمه الله تعالى menceritakan," Beberapa hari yang lepas, aku teringat akan satu peristiwa yang terjadi kepada bapa saudara aku (Maulānā Ilyas al-Kandhalawī  رحمه الله تعالى ). Peristiwa ini berlaku di Madinah al-Munawarah.  Maulānā Ilyas al-Kāndhalawī رحمه الله تعالى telah datang Madinah al-Munawarah adalah untuk menziarahi pusara Nabi صلى الله عليه وسلم,kemudiannya beliau terus masuk ke Raudah al-Mubarak. Ketika beliau sedang beribadat di situ, beliau kelihatan kepenatan lalu telah tertidur. Apabila beliau tertidur, beliau telah bermimpi bahawasanya beliau telah mendengar satu suara datang dari arah pusara Nabi صلى الله عليه وسلم. Suara itu berkata, “kembalilah ke India, bahawasanya Allah سبحانه وتعالى akan mengambil kerja (dakwah ) daripada kamu”. Setelah itu, suara itu pun hilang. 

Apabila terjaga dari tidur, Maulānā Ilyas al-Kāndhalawī رحمه الله تعالى ketakutan memikirkan kejadian tersebut. Beliau telah meminta pandangan beberapa orang sahabat-sahabatnya. Lalu Maulānā Zakariyya al-Kāndhalawī رحمه الله تعالى berkata bahawasanya Allah سبحانه وتعالى  akan mengambil kerja (dakwah) ini melalui kerisauan kamu”, maka Maulāna Ilyas al-Kāndhalawī رحمه الله تعالى menjawab,” bagaimana aku hendak melakukannya sedangkan aku tidak boleh bercakap dengan lancar, ianya kerja (dakwah) ini akan menjadi lemah melalui aku”?

Saudara kami yang mulia iaitu Syaikh al-Islam Maulānā Sayyid Ahmad al-Madanī رحمه الله تعالى  telah berkata, “ Apa yang kamu hendak risaukan mengenai kerja (dakwah) ini, sedangkan kamu bukan diberikan arahan untuk melakukan kerja (dakwah) ini akan tetapi kamu telah diberitahu bahawasanya Allah سبحانه وتعالى akan mengambil kerja (dakwah) ini melalui kamu, dan aku yakin kamu adalah orang yang berkelayakan atas tanggungjawab dan amanah ini”.

Setelah mendengar kata-kata dari Syaikh al-Islam Maulānā Sayyid Husain Ahmad al-Madanī  رحمه الله تعالى itu, maka Maulānā Ilyas al-Kāndhalawī  رحمه الله تعالى mulai rasa tenteram. Setelah itu, beliau telah pulang ke India, dan memulakan kerja dakwah yang Mubarak ini. Masyallah, melalui usaha beliaulah, perubahan datang kepada masyarakat Islam dan usaha dakwah telah tersebar dengan meluas sekali melalui pengorban yang dilakukan oleh beliau.[1]

Rujukan 

[1]. Hazrat Sufi Muhammad Iqbal, Akabir ka Sulok, Maktabah as-Syaikh, Karachi, hlm. 11

Monday, November 16, 2015

Kesan 4 Ulama yang juga Auliyya bagi Maulānā Muhammad Ilyas al-Kāndhalawī

Selain daripada Qutub Irsyad Maulānā Rashid Ahmad Gangohī , ada beberapa lagi ulama yang juga Auliyya yang telah memberikan faedah ilmu dan rohani kepada Maulānā Muhammad Ilyas al-Kāndhalawī. Antaranya ialah Maulānā Abd Rahim ar-Raipurī , Maulāna Asyraf Ali al-Thanwī dan Maulānā Mahmūd Hasan ad-Deobandī. Sebagaimana kata-kata Maulānā Muhammad Ilyas al-Kāndhalawī bahawasanya 4 orang individu inilah yang memainkan peranan penting dalam membentuk rohani beliau.[1]

Gambar sekadar hiasan

Dalam pada itu, Maulānā Abul Hasan Ali an-Nadwī berkata, “ selepas kematian Maulānā Rashid Ahmad al-Gangohī, beliau (Maulānā Muhammad Ilyas al-Kāndhalawī) berterusan tinggal di Gangoh dan menikmati kehidupan bersama para masyāikh di sana. Pada masa itu, beliau berusia 20-25 tahun.[2]

Selepas kematian Maulānā Rashid Ahmad al-Gangohī, Maulānā Muhammad Ilyas al-Kāndhalawī telah memohon kepada guru Syāikh al-Hind Maulānā Mahmud Hasan ad-Deobandī untuk tujuan berbai’ah. Namun permintaan beliau ini ditolak oleh guru beliau lalu guru beliau menyuruh beliau untuk pergi berbai’ah kepada Maulana Khalil Ahmad as-Sahāranfurī . Dengan bantuan Maulānā Khalil Ahmad Sahāranfurī, Maulānā Muhammad Ilyas al-Kāndhalawī telah mencapai tahap kesufian sebagaimana ehwal yang telah disebut diatas.[3]

Rujukan

[1]. Hazrat Mawlānā Muḥammad Ilyās Awr Un Ki Dīnī Da‘Wat, m/s 49)
[2]. Ibid,m/s 48.
[3]. Tasawwuf aur Tablighi , m/s 36.

Friday, November 6, 2015

Kesan Suhbah Maulānā Ilyas al-Kāndhalawī di Gangoh

Maulānā Muhammad Ilyas al-Kāndhalawī telah banyak menghabiskan zaman kanak-kanak beliau di Gangoh. Hal ini telah diterangkan oleh Maulānā Abūl Hasan Ali an-Nadwī di dalam kitab Hazrat Mawlānā Muḥammad Ilyās Awr Un Ki Dīnī Da‘Wat, m/s 53.

Masjid Pertama Jemaah Dakwah & Tabligh (Jemaah 3 hari ) di keluar iaitu di perkampungan Mewat. 

Gangoh adalah tempat berkumpulnya alim ulama dan para auliyya Allah. Pada masa itu, Maulānā Ilyas al-Kāndhalawī telah mendapat faedah besar apabila berpeluang tinggal di tempat ini. Siang dan malam masanya dihabiskan berdamping dengan para alim ulama dan para auliyya Allah ini. Antara alim ulama dan auliyya Allah yang didekati olehnya ialah Qūtb Irsyad Maulānā Rashid Ahmad al-Gangohī. Keadaan yang berlaku di Gangoh telah banyak mempengaruhi diri Maulānā Muhammad Ilyas al-Kāndhalawī.

Maulānā Muhammad Ilyas al-Kāndhalawī telah datang untuk tinggal di Gangoh ketika berumur 10 tahun selepas kematian ayahnya iaitu Maulānā Muhammad Ismail al-Jhingjahawī. Sepanjang beliau berada di Gangoh, beliau telah dijaga oleh abangnya iaitu Maulānā Muhammad Yāhya al-Kāndhalawī. Kira-kira 10 tahun berdamping dengan Maulānā Rashid Ahmad Gangohī sehingga akhir hayatnya pada ketika Maulānā Ilyas al-Kāndhalawī berusia 20 tahun pada tahun 1323 H /1905 M.

P/s : Apabila seseorang mendapat peluang mendekati Maulānā Rashid Ahmad al-Gangohī dan duduk bersama di dalam majlis beliau. Hal ini merupakan satu nikmat yang sangat dicemburui oleh teman-teman yang lain. Peningkatan rohani Maulānā Muhammad Ilyas al-Kāndhalawī banyak dibentuk ketika beliau berada di Gangoh ini.

Thursday, October 29, 2015

Syarah kitab Misykāt al-Masābīh iaitu Al-Taqrir al-Rafī Li Misykāt al-Masābīh oleh Maulana Zakariyya al-Kandhalawī

3 Jilid 

cetakan kemas dan tersusun

Kitab ini adalah kitab syarahan ringkas kepada kitab Misykāt al-Masābīh karangan Maulānā Muhammad Zakariyyā al-Kāndhalawī رحمه الله تعالى sebanyak 3 jilid yang baru diterbitkan.
Maulānā Muhammad Zakariyyā al-Kāndhalawī رحمه الله تعالى telah memulakan usaha-usaha menghasilkan syarah kepada kitab ini ketika beliau masih bergelar pelajar lagi dan ketika itu beliau mempelajari kitab Misykāt al-Masābīh di bawah bimbingan ayah beliau iaitu Maulana Muhammad Yahyā al-Kāndhalawī رحمه الله تعالى.

Beliau kemudiannya memasukkan nota-nota syarahan ketika beliau mengajar kitab ini dari tahun 1341 H/1922 M sehingga 1344 H/1925 M, selepas pada tahun 1344 H/1925 M, Maulānā Muhammad Zakariyyā al-Kāndhalawī رحمه الله تعالى telah mengajar kelas Daurah al-Hadīth di madrasah yang sama.

Menurut Maulānā Muhammad Zakariyyā al-Kandhalawī رحمه الله تعالى telah mengatakan bahawasanya, “ sepanjang aku mengajar kitab Misykāt al-Masābīh buat pertama kalinya, aku akan meletakan kitab ini di sebelah aku dan ianya membantu aku memahami kandungan hadīth di dalam kitab ini.

Sunday, October 4, 2015

Surat daripada Maulānā Husain Ahmad al-Madanī رحمه الله تعالى kepada guru-guru Madrasah Mazahirūl Ūlum Saharanfūr.





Terjemah surat adalah seperti berikut : 

Surat kepada Maulānā Ri‘ayat-ūllah Sahib رحمه الله تعالى .

Kepada yang Mulia lagi dihormati Maulānā Ri’ayat-ūllah رحمه الله تعالى  - Assalāmualaikum wa rahmatullāhi wabarākatuh

Surat Tuan Maulānā yang mulia telah menyebabkan kemuliaan (pengutusan surat) ini. Telah datang kegembiraan setelah mengetahui (keadaan) Maulana Sadiq رحمه الله تعالى  yang berada dalam kebaikan dan kesejahteraan serta para pendokong Madrasah Mazahir al-Ulum dan tradisi kecemerlangan madrasah.

Tuan Maulānā yang mulia, kita mesti selalu melihat bagaimana para Masyāikh kita di dalam nasihat mereka, sebagaimana nasihat oleh Maulana Muhammad Qasīm al-Nanautwī رحمه الله تعالى yang merupakan orang terpenting kepada (institusi ) Darul Ulum Deoband telah mengatakan bahawa kemestian bagi mereka yang terlibat dalam struktur perjalanan (institusi) madrasah ini adalah sama dan selari (seperti yang termaktub) di dalam agama. Para Masyaīkh kami  adalah pengikut mazhab,  mereka mengikuti mazhab Hanafi (dalam disiplin feqah), Sunni dan Maturidīyyāh – Asyaīrah (dalam disiplin aqidah). Mereka adalah pengamal tariqah – mereka adalah Sufī (pengamal tariqah dan tasawwūf) Chistiyyāh, Naqshabandīyyah, Qadrīyyah dan Suhrawardīyyah, mereka tidak menyukai amalan baharu (bid’ah). Manhaj ini merupakan manhaj para Masyaīkh kita dan para masyaīkh sebelum mereka. Mereka yang menyelisihi manhaj ini, kita tidak memanggil mereka sebagai Kafīr, dan tidak pula kita memanggil mereka semua sebagai Fasīq dan tidak juga kita mempunyai permusuhan terhadap mereka semua. Walau bagaimanapun, ya, jika seseorang itu telah melakukan sesuatu amalan yang merupakan satu amalan kufur, maka seseorang itu akan ditangani mengikut kadar yang sesuai dengannya.

Kewujudan individu yang tidak berada di atas manhaj kita, kemudiannya kita telah menganggap bahawa individu tersebut akan memalitkan (fitnah) kepada madrasah (kita) dan untuk manfaat yang lebih besar, maka individu tersebut perlu dibendung. Hal ini adalah kerana pengalaman kami (ketika berhadapan dengan masalah ini). Tidak boleh di madrasah (kita) berhimpun di dalamnya mereka yang menyelisihi manhaj para masyaīkh kita.

Kehadiran orang yang menolak taqlid (Ghaīr Muqallīd) atau ahli bid’ah di dalam pentadbiran madrasah, terutamanya dalam pengajaran dan menyampaikan ilmu, ianya akan menjadi satu perkara yang merbahaya dan (boleh) membawa kepada kerosakan (madrasah tersebut), walaupun pandangan kelompok (Ghair Muqallid) ini tidak melepasi garisan takfir. Mengapa sedemikian (yakni dikatakan membawa kerosakan di dalam pentadbiran madrasah)? Hal ini adalah kerana kesan daripada kelompok seperti Qadianī, Shiāh dan kelompok pelampau lain seperti mereka (telah diketahui bahawasanya kelompok ini telah membawa kerosakan di dalam pentadbiran madrasah)? Para Masyāikh kita senantiasa tidak menyukai untuk tidak bertaqlid dan mereka telah bertaqlid kepada Mazhab Hanafi, ini juga adalah sebagaimana yang mereka namakan sebagai salah satu usaha pembersihan hati (tasawwūf). Mereka juga menjadi pendokong dan pengamal kepada tariqah dan tasawwūf. 

(Fitnah daripada pemikiran) al-Maudūdī رحمه الله تعالى adalah keji dan lebih menyimpang daripada kelompok yang menolak Taqlid. Lihat sahajalah di lembaran kitab-kitab yang dikarang oleh al-Maudūdī رحمه الله تعالى. Beliau bukan sahaja menggalakan ketidaksukaan kepada Imam al-Azam Abu Hanīfah رحمه الله تعالى, bahkan menolak juga para imam Mujtahid yang lain. Beliau juga menunjukan pemikiran yang menghina kedudukan para Sahabat رضي الله عنهم dan khalifah ar-Rasyidin. Racun (pemikiran songsang) turut dilemparkan terhadap para imam Hadīth dan para imam Mujtahid. Jika seorang guru berpandangan seperti ini, maka racun (pemikiran songsang) jenis apakah yang akan beliau ajarkan kepada para muridnya – Tuan Maulānā yang mulia boleh memikirkannya sendiri. Seseorang yang berkata mengenai sesuatu (dalam bentuk penghinaan) terhadap Imam Abu al-Hasan al-Asy’arī رحمه الله تعالى, Hujjah al-Islam Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى , Mujaddid Alf-i-Thanī Imam Shahid Ahmad Sirhindi رحمه الله تعالى , Musnid al-Hind Imam al-Muhaddīth Shah Waliyullah Muhaddīth Dehlawī رحمه الله تعالى , Khawaja Mu’in al-Din Chisti رحمه الله تعالى dan lain-lain lagi., kemudiannya guru ini akan mendakwa bahawa beliau berada di jalan yang benar, maka apakah jenis kesesatan dan kesalahan beliau yang akan menyebabkan (rosaknya pemikiran) para pelajar- Tuan Maulānā yang mulia boleh memikirkannya sendiri. 

Di sebabkan inilah, kami mengatakan bahawa mereka yang mengikuti manhaj ini sepatutnya tidak berada di madrasah ini. Para pelajar dan para guru sepatutnya tidak melihat (membaca) kitab-kitab karangan al-Maudidī رحمه الله تعالى – Tuan Maulānā yang mulia boleh menilainya sendiri. Kami telah memerhatikan bahawa jika seseorang itu, walaupun berada di atas manhaj yang sama, samada kekurangan dalam beramal atas jalan kebaikan atau melakukan perkara keburukan, maka individu tersebut akan memalitkan kesan kepada pentadbiran (madrasah).

Saya telah menganggap bahawa tindakan Haji Qa’im al-Din رحمه الله تعالى  adalah betul. Jika Maulānā Abd Halim رحمه الله تعالى berpendapat sama seperti pandangan al-Maududī رحمه الله تعالى dan beliau bertindak menyokong gerakan ini, dan beliau telah mengasaskan pandangan ini setelah membaca buku-buku (karangan al-Maududī), maka beliau tidak sama sekali (mewakili institusi) madrasah ini. Apa yang akan terjadi di masa akan datang adalah terletak di tangan Tuan Maulānā yang mulia. Kami telah menjelaskan kedudukan kami dalam isu al-Maudūdī رحمه الله تعالى atas apa yang telah terjadi dengan (pemikiran dan kefahaman) selepas penilaian diambil berdasarkan kitab-kitab karangan beliau dan kesan daripada tindakan (pemikiran dan kefahaman) beliau itu secara jelas sangat memberikan kesan (yang membahaya). Banyak lagi kefahaman al-Maudūdī رحمه الله تعالى yang belum ditulis dan diterbitkan. Kitab-kitab karangan beliau penuh dengan penyimpangan, jadi berhati-hatilah, wassālam.

Yang Hina 

(Maulānā) Husain Ahmad al-Madanī رحمه الله تعالى 
Deoband


Rujukan 


[1]. Maktubat bi-Silsilah Mawdudi Jama'at, surat 14, muka surat 101,

Thursday, September 17, 2015

Kenakalan‬ Maulana Yusuf Kandhalawi ketika kecil dan visi Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi

Bilik yang digunakan oleh Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi رحمه الله تعالى sewaktu menuntut di Madrasah Mazahirul Ulum, Saharanpur.

Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi رحمه الله تعالى menceritakan ketika beliau berumur 5-6 tahun,

" ibuku selalu membangunkan aku dari tidur untuk bersolat subuh, kemudian aku pun bangun, setelah aku bangun, aku lihat ibuku pergi, aku pun kembali meneruskan tidur.
Kebiasaannya, begitulah kehidupan di waktu kecilku, ibuku akan datang ke bilik tidur untuk membangunkan aku untuk solat subuh tetapi apabila aku bangun dari tidur, kemudian aku melihat ibuku pergi, aku pun kembali meneruskan tidurku".

"Disebabkan aku tidur kembali tanpa pengetahuan ibuku kerana ibuku apabila berada di atas tikar sejadah, pasti ibu tidak akan mengenali sesiapa lagi ( begitu tawajuh ibu Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi رحمه الله تعالى ketika melakukan sesuatu amalan ). Aku selalu menunaikan solat subuh lewat waktu dan kadang-kadang aku terpaksa men'qoda / mengganti solat subuh kerana tertidur".

Sekali ibuku tidak tahan lagi dengan perangai kenakalanku, lalu ibu memberitahu kepada ayahku (Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi رحمه الله تعالى) tentang kenakalanku ". Lalu ayah berkata kepada ibuku, " jangan bimbang dengan perangai kenakalan Yusuf (Maulana Yusuf Kandhalawi رحمه الله تعالى) kerana pada satu hari nanti ,insyallah Yusuf (Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi رحمه الله تعالى) akan membangunkan umat ini untuk menunaikan solat subuh dan beliau tidak akan kenal erti penat/ putus asa apabila melakukan perkara ini ". [1]

P/s: apa yang diperkatakan oleh ayah Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi رحمه الله تعالى iaitu Maulana Muhammad Ilyas kandhalawi رحمه الله تعالى itu benar-benar terjadi, Maulana Muhammad Yusof Kandhalawi  رحمه الله تعالى dan usaha dakwahnya yang telah tersebar di seluruh dunia telah berjaya mengembalikan umat manusia khususnya Islam untuk kembali kepada perintah Allah سبحانه وتعالى . Beliau berterusan dalam pekerjaan ini sehingga di saat kematian beliau pun, beliau masih berada di atas jalan dakwah ini. Melalui kegigihan beliaulah, usaha Dakwah / Tabligh telah sampai ke seantero benua. [2]

Nota - Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi رحمه الله تعالى menghafal al-quran ketika berusia 10 tahun di tangan Maulana Khalil Ahmad Saharanpuri رحمه الله تعالى (pengarang kitab Bazjul Majhud syarh Sunan Abi Daud).

Rujukan 
[1]. Sawanih Maulana Muhamaad Yusuf Kandhalawi, m/s 54-55
[2]. Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi wamanhajuhu fi dakwah, m/s 34

Tuesday, May 19, 2015

Asal gelaran Maulānā dan Pengajian Daurah al-Hadīth


Ada orang bertanya kepada saya, apakah itu pengajian Daurah al-Hadīth dan apakah kelayakan seseorang itu mendapat gelaran "Maulānā" sebagaimana yang begitu masyhur di benua Hindustan (India & Pakistan).

Maka saya menjawab, bahawasanya saya juga pernah bertanya kepada Ust Hazim al-Mazahirī mengenai persoalan di atas? Dibawah ini adalah jawapan yang saya dapat daripada beliau.[1]

Daurah al-Hadīth ialah pengajian kitab-kitab Hadīth utama yang wajib dipelajari secara Riwayah dan Dirayah terutamanya Sahih Sittah dan lainnya termasuk Muwatta Imam Malik riwayat Yahya bin Yahya dan Imam Muhammad bin Hasan al-Syaibani, Syamail Tirmizi, Misykat al-Masabih dan lain-lain lagi kepada para pelajar tahun akhir pengajian. Sukatan pengajian kitab-kitab berkenaan menjadi syarat utama bagi para pelajar pengajian Hadīth yang berteraskan metodologi Dars Nizami (pengajian di India & Pakistan). Seseorang tidak diperakui menjadi ulama sehingga mempelajari keseluruhan kitab-kitab berkenaan.

Pengajian dengan sistem begini boleh didapati terutamanya di India dan Pakistan di mana terdapat banyak sekali pusat-pusat pengajian Hadīth yang ditubuhkan yang menjalankan sistem pengajian sebegini. Di bawah ini saya terangkan serba sedikit mengenai kaedah pengajian ini.

1.Kebiasanya seorang Syaikh /guru akan mengajar dua buah kitab. Maka senang untuk memberi hak pada sesuatu hadith untuk disyarahkan sama ada panjang atau pendek kerana perulangan Hadīth pasti akan berlaku.

2. Pengajian Daurah al-Hadīth adalah selepas penguasaan pelbagai ilmu alat dan ilmu islam yang lain (Tahun 1-6). Maka pelajar tidak perlu lagi untuk diperkenalkan dengan pelbagai istilah dan permasalah fiqh yang pelbagai. Di sini, masa tidak akan terbuang. Kebanyakan fawaid Hadīth telah diterangkan semasa di dalam kelas Misykat al-Masabih iaitu pengajian tahun 6. Oleh itu, pengajian Daurah al-Hadīth hanya bermula pada tahun ke 7 -8 (2 tahun). Kebanyakan madrasah yang besar-besar) pengajian Daurah al-Hadīth mereka hanya mengambil masa setahun sahaja seperti mana yang dipraktis oleh Darul Ulum Deoband, Mazahir al-Ulum, Saharanfur dan sebagainya.

3. Dalam pengajian Tahun 6 iaitu pengajian Misykat al-Masabih, ada 6 ribu lebih Hadīth dibahaskan dan dalil-dalil dari empat mazhab dan segala aqwal imam akan disentuh. Di sini, berlaku pentarjihan mazhab, jika di India & Pakistan, dalil mazhab Hanafi akan ditarjihkan. Jika di Malaysia, dalil-dalil mazhab Shafi'i akan ditarjihkan. Pengajian ini hanya mengambil tempoh masa selama setahun sahaja. Kebiasaanya dalam pengajian Misykat al-Masabih ini, ada Hadīth-Hadīth yang terkandung dalam Sahih Sittah, jadi Syaikh/guru yang mengajar Daurah al-Hadīth akan "skip" Hadīth -Hadīth yang telah dibahaskan di dalam pengajian Misykat al-Masabih (Tahun 6).

4. Biasanya, pelajar-pelajar yang berjaya lulus dalam peperiksaan kelas tahun 6 akan berjaya diterima masuk ke pengajian peringkat Daurah al-Hadīth.

5. Selepas berjaya menamatkan pengajian Daurah al-Hadīth, maka para pelajar ini boleh memilih untuk melanjutkan pembelajaran ke peringkat Takhasus dalam mana-mana disiplin ilmu yang mereka mahu seperti dalam bidang Fiqh,Hadīth ,Tafsir dan sebagainya.

6. Kebiasaanya, mana-mana individu yang menamatkan pengajian peringkat Daurah al-Hadīth akan diberikan gelaran " Maulānā" dan yang menamatkan pengajian diperingkat Takhasus dalam disiplin Fiqh akan diberikan gelaran "Muftī". Perlu diperingatkan bahawasanya gelaran "Muftī" ini hanya gelaran secara istilah akan tetapi gelaran " Muftī" yang sebenar ialah individu yang berkecimpung dalam bidang Fatwa dan seumpamanya.

P/s :
Mungkin ada kesilapan dalam catatan penulisan saya ini, jadi boleh diperbetulkan melalui ruang komen di bawah. Khair, Insyallah 

[1]. Catatan ini dicatat pada 12 April 2014 ketika saya menziarahi Ust Hazim al-Mazahirī di pejabat beliau di Madrasah Miftahul Ulum, Sri Petaling (MUSP). Manakala gambar ini diambil ketika saya hadir dalam pengajian Misykat al-Masabih (Tahun 6) di MUSP pada tahun 2014

Friday, May 8, 2015

Polemik Hadith 100 pahala Syahid

‪#‎Adakah‬ hadīth pahala seratus syahid bertentangan dengan hadīth yang sahīh sebagaimana dakwaan sesetengah pihak lalu bertindak menghukum hadīth ini (seratus (pahala) syahid) sebagai mungkar.



Jom kita baca apa pandangan Muhaddīth al-asr Syaikh Maulānā Yunus al-Joufurī berkaitan permasalahan ini.
من تمسك بسنتي عند فساد أمتي فله أجر مائة شهيد
“Barangsiapa yang berpegang teguh dengan sunnah aku dizaman kerosakan (umat) baginya (pahala) seratus syahid”



‪#‎Komentar‬ Maulānā Yunus al-Joufurī

1. (Hadīth) satu pahala syahid atau seratus pahala syahid itu boleh disampaikan, ianya tidak berlaku pertentangan antara satu sama lain. Boleh jadi sesetengah keadaan satu (pahala syahid) dan pada sesetengah keadaan lain seratus (pahala syahid). Ianya bergantung kepada tahap mujahadah dalam amalan sunnah itu sebagai contohnya.
2. Kadangkala apabila satu sunnah yang diamalkan seolah-olah amat berat di sisi nafsu maka ianya dikira berjihad sehingga pahalanya menyamai dengan pahala syahid.
3. Dan boleh juga seratus itu bukan bermaksud tahdidan iaitu spesifik bahkan ianya menunjukkan kepada takthiran iaitu mengambarkan banyak (sunnah).
4. Dan apabila semakin berat (sunnah) itu maka semakin besar pahalanya sehinggalah sampai kepada pahala seratus syahid.
5. Dan jika ianya digunakan untuk satu sunnah pun ianya bukannya satu perkara yang ba’id (jauh).

-Ditulis oleh Maulānā Abdullah Amir hasil faedah dari Maulānā Yunus al-Joufurī dalam al-Yawaqit al-Ghaliyah, Jilid 1, terbitan Majlis Dawat ul Haq, Britain, (2010), hlm 25-26.

Tuesday, April 21, 2015

Keluarga-keluarga Deoband

Kedudukan bandar Deoband di dalam daerah Saharanpur, dalam negeri Uttar Pradesh (UP) , India

Deoband terletak di tengah-tengah bandar yang berjarak 150 km dari Delhi. Ianya adalah satu bandar lama yang terhasil dari kombinasi dua perkataan iaitu “ Devi “ (Dewi Hindu) dan “ ban” (hutan) di mana ianya telah bertukar kepada “ Deviban” di suatu masa dahulu, kemudiannya apabila ianya kerap kali disebut, akhirnya ianya menjadi “ Deoband” ( kadang-kadang disebut Devband). Ianya terletak di daerah Saharanpur di mana ianya dipanggil “ Doaba” (disebut Do Aba) (kadang-kadang  ditulis sebagai Doab). Ianya berasal daripada perkataan Parsi yang bermaksud “ dua air atau dua sungai “ . Dalam perkara ini, ianya telah merujuk kepada kawasan antara Sungai Yamuna dan Sungai Ganges di dalam negeri Uttar Pradesh (UP), di utara Negara India. [1]


Kedudukan Gangoh, Deoband dan Saharanpur 


Kedudukan Sungai Yamuna dan Sungai Ganges

Ianya terletak di dalam negeri Uttar Pradesh (UP). Dalam negeri Uttar Pradesh (UP) mengandungi daerah-daerah seperti Saharanpur, Muzaffarnagar, Meerut dan Delhi. Daerah Saharanpur terletak di bahagian utara. Dalam daerah ini ( Saharanpur) terletak bandar-bandar seperti Deoband, Saharanpur, Nanauta , Gangoh dan Ambahta . Rupa bentuk kedudukan ini berbentuk segitiga dengan Saharanpur membentuk sudut utara, Deoband disudut tenggara dan Gangoh di sudut barat daya. Nanauta terletak di antara Deoband dan Gangoh, manakala Ambahta terletak antara kedudukan daerah Muzaffarngar.  Dalam daerah ini terletaknya Bandar Jhinjhana, Kairana, Thana Bhawan dan Kandhala. [2]

Dalam kawasan daerah Saharanpur ini, pada 15 Muharram 1283 H / 30 May 1866 M, satu institusi pengajian tinggi telah diasaskan di bandar Deoband di mana kemudiannya telah dinamakan sebagai Darul Uloom. Kemudian, enam bulan selepas itu, satu lagi institusi pengajian tinggi yang diberikan nama Mazahirul Uloom telah diasaskan di Saharanpur. Kedua-dua institusi pengajian ini kemudiannya membangun untuk menjadi pusat institusi pengajian terpenting di seluruh benua Hindustan. 


Menurut sejarah rasmi Darul Uloom Deoband yang telah disusun oleh Maulana Sayyib Mahbub Rizvi رحمه الله تعالى  atas arahan Maulana Qari Muhammad Tayyib رحمه الله تعالى  iaitu bekas Mohtamim (Naib Canselor / Rektor) Darul Uloom Deoband , selain Maulana Muhammad Qasim Nanotwi رحمه الله تعالى , pengasas lain kepada Darul Uloom Deoband ialah Maulana Zulfiqar Ali رحمه الله تعالى , Maulana Rafi Ud Din رحمه الله تعالى  , Maulana Fazl Ur Rahman Uthmani رحمه الله تعالى  , Haji Sayyid Muhammad Abid رحمه الله تعالى   dan Maulana Muhammad Ya’qub Nanotwi رحمه الله تعالى  . Semua mereka ini kecuali yang terakhir adalah berasal dan dilahirkan di Deoband.


1. Maulana Zulfiqar Ali 

Maulana Zulfiqar Ali رحمه الله تعالى  adalah merupakan murid kepada Maulana Mamluk Ali Nanotwi رحمه الله تعالى . Beliau dikenali sebagai seorang yang sangat hebat di dalam kususasteraan Arab. Beliau juga adalah merupakan bapa kepada Maulana Mahmud Hasan ad-Deobandi رحمه الله تعالى  yang juga dikenali sebagai “ Syeikhul Hind”.


2. Maulana Fazl Ur Rahman 

Maulana Fazl Ur Rahman رحمه الله تعالى adalah merupakan murid kepada Maulana Mamluk Ali Nanotwi رحمه الله تعالى . Beliau dikenali sebagai seorang yang mempunyai kemahiran bersyair di dalam bahasa Urdu dan bahasa Farsi. Beliau kekal sebagai ahli Majlis Syura Darul Uloom Deoband sehingga akhir hayat beliau. [36]. Anak beliau adalah termasuk dalam kalangan tiga ulama terkenal yang pernah dilahirkan oleh institusi pengajian Darul Uloom Deoband. Ulama yang dimaksudkan ialah Mufti Aziz Ur Rahman Uthmani رحمه الله تعالى yang telah menjadi Ketua Mufti Darul Uloom Deoband, Maulana Habib Ur Rahman Uthmani رحمه الله تعالى yang telah menjadi Mohtamim (Naib Canselor / Rektor) Darul Uloom Deoband dan Maulana Shabbir Ahmad Uthmani رحمه الله تعالى yang telah dilantik menjadi Sadr Mohtamin (Presiden) Darul Uloom Deoband. 

3. Maulana Shah Rafi Ud Din

Maulana Shah Rafi Ud Din رحمه الله تعالى juga daripada keluarga berketuruna Uthmani  dan pernah dua kali menjadi Mohtamim (Naib Canselor / Rektor) Darul Uloom Deoband iaitu pada 1868 – 1869 M dan 1872 – 1889 M . Beliau juga merupakan khalifah kepada Shah Abd Ghani al-Mujadiddi رحمه الله تعالى di dalam tariqat Naqsyabandi . Beliau juga merupakan khalifah kepada Mufti Muzaffar Husain Kandhalawi رحمه الله تعالى .  Mufti Aziz Ur Rahman Utmani رحمه الله تعالى yang diceritakan di atas adalah merupakan khalifah beliau.

4. Haji Sayyid Muhammad Abid

Haji Sayyid Muhammad Abid رحمه الله تعالى adalah berketuruna dari keluarga Sayyid dari Deoband. Beliau bukanlah dikenali sebagai seorang ulama tetapi beliau telah dipilih untuk menjadi khalifah kepada Haji Imdad Ullah Muhajir Makki رحمه الله تعالى. Maklumat lanjut mengenai beliau sangat terhad. Kebanyakan kisah beliau hanya disebut di dalam pengasasan Darul Uloom Deoband. [3]



Nota Kaki 
_________________

[1]. Tareekh E Darul Uloom Deoband , Maulana Syed Mahboob Rizvi , jilid 1, m/s 24
[2]. Ibid,. m/s 124
[3]. Ibid,. m/s 127

Wednesday, April 1, 2015

Siapakah Ulama Deoband (Akabirin Deoband)

Darul Uloom Deoband ketika penulis menziarahinya pada tahun 2012.

Mutakhir ini, lapangan ilmu di negara kita sarat disajikan dengan pelbagai macam golongan dan karenah. Antara perkara yang paling jelek ialah golongan yang merasa diri mereka alim , lalu masuk dicelah-celah kekeliruan masyarakat awam dengan memakai topeng institusi pengajian  tertentu demi untuk mempertahankan fahaman dan doktrin mereka. Apa yang menyedihkan ialah  , mereka ini membawa pencemaran terhadap nama institusi pengajian tersebut. Antara perkara yang menjadi polemik sekarang ialah isu pencemaran terhadap nama institusi pengajian “ Deoband “ dan Ulama Deoband  (akabirin Deoband) oleh mereka yang dipanggil dengan gelaran “ Maulana “ ini atau yang lebih difahami sebagai mereka yang menamatkan pengajian di benua Hindustan. Golongan ini apabila pulang ke negara ini membawa satu fahaman dengan memutarbelitkan pandangan dan sejarah hanya untuk memenangkan pendapat mereka. Institusi pengajian Deoband dan Ulama Deoband (akabirin Deoband) terkenal dengan manhaj yang adil dan terbuka sejak ianya diasaskan pada tahun 1866 M dan mereka ini terkenal sebagai kelompok yang kuat menjaga syariat agama daripada dirosakkan oleh golongan pelampau agama.[1]


Para ulama ini tidak memilih nama “ Deoband” bagi memperkenalkan diri mereka. Ulama Deoband bukanlah jemaah baru kaum Muslimin tetapi mereka adalah sebahagian daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Walau bagaimanapun, isitilah “ Deoband “ ini menjadi satu alamat atau tanda kepada satu kumpulan kaum Muslimin yang mendiami benua Hindustan. Ianya juga lebih kepada satu pendekatan dalam kerangka keseluruhan yang difahami dengan maknanya “ jalan “ yang dirujuk sebagai “ pendekatan firqah dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Meskipun banyak firqah yang wujud di benua Hindustan seperti Brelwi , Ahli Hadith dan sebagainya lagi . Setiap firqah-firqah ini dinilai kebenarannya berdasarkan timbangan aqidah sama ada ianya berteraskan metodologi aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) atau tidak. Selepas itu , barulah setiap firqah ini akan diklasifikasikan sama ada bertepatan dengan apa yang dibawa oleh  Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) . Saya tidak berminat untuk menyentuh mengenai firqah-firqah lain , cuma yang ingin disentuh di dalam penulisan ini ialah firqah “ Deoband “ .

Istilah Deoband ini sama keadaannya seperti  kewujudan istilah mazhab . Istilah mazhab ini selalunya akan dirujuk kepada mazhab fiqh sama ada Maliki, Hanafi , Shafie atau Hanbali. Perbezaan setiap mazhab ini adalah hanyalah berdasarkan kaedah pengeluaran hukum bagi setiap mazhab . Perkara ini telah pun dibahaskan secara terperincinya  di dalam kitab-kitab Usul Fiqh mazhab masing-masing.Dalam isu ini, mazhab fiqh bagi Deoband dan Brelwi ialah mazhab Hanafi, sementara Ahli Hadith lebih cenderung kepada pendekatan seperti Salafi / Wahabi . Walau bagaimanapun, ketiga-ketiga firqah ini mempunyai perbezaan dalam perkara aqidah. Hal ini telah membawa kepada beberapa konflik perbahasan yang tidak sunyi dari medan perdebatan kalangan ulama sehingga sekarang. 

Dalam pada itu, saya suka memetik pandangan bekas Mohtamim (Naib Canselor / Mudir ) Institusi pengajian terulung di benua Hindustan Darul Uloom Deoband iaitu Maulana Qari Muhammad Tayyib Qasmi yang juga cucu kepada pengasas Darul Uloom Deoband Maulana Muhammad Qasim Nanotwi . Beliau telah menakrifkan definisi firqah Deoband seperti berikut :

Terjemahanya “ Di dalam risalah ini , yang dimaksud dengan (istilah ) “ Ulama Deoband “ tidak hanya merujuk kepada mereka yang mendiami di Darul Uloom Deoband dan bukannya (amalan) pengajaran ataupun bahagian mengeluarkan fatwa , berdakwah , mengarang kitab sahaja yang berjalan di Darul Uloom Deoband. Sebaliknya , kesemua ulama yang dimaksudkan dengan Ulama Deoband ialah yang mana (mempunyai) pandangan dan pemikiran mereka berjalan di bawah pandangan dan pemikiran Mujaddid Alf Thani Syeikh Ahmad Sirhindi sehingga berhubungan dengan Musnid al-Hind Shah Waliyullah Muhaddith Dehlawi dan pengasas-pengasas Darul Uloom Deoband seperti Maulana Muhammad Qasim Nanotwi , Maulana Rashid Ahmad Gangohi dan Maulana Muhammad Ya’qub Nanotwi  dan kesemuannya. Ia tidak kira sama ada ulama itu adalah ulama di Darul Uloom di Deoband atau Mazahirul Uloom di Saharanpur atau Madrasah Shah di Moradabad atau Madrasah Kashiful Uloom di Nizamuddin atau Madrasah Miftahul Uloom di Jalalabad dan lain-lain madrasah.. Kesemua ulama daripada ratusan madrasah di (pelbagai ) wilayah di India (benua Hindustan) adalah “ Ulama Deoband” sama ada mereka terlibat di dalam pengajaran atau politik atau berdakwah atau mengarang kitab  . Kesemua mereka yang berada di Asia , Afrika , Eropah  atau Amerika , kesemua mereka ini dianggap sebagai Ulama Deoband dan mereka digelar seperti itu.”[2]

Terjemahan : “ Ulama-ulama Deoband secara keseluruhannya, dari segi haluan dalam pegangan agamanya dan juga naluri mazhabnya , mereka ini (Ulama-ulama Deoband) adalah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Yang mana Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) ini bukanlah satu mazhab (kelompok/firqah)  dan bukanlah juga ianya sebagai satu kepercayaan yang baru wujud sejak kebelakangan ini. (Kelompok/firqah) Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) inilah satunya-satunya jemaah yang mana , sama ada dalam negara (India / benua Hindustan) mahupun luar negara yang telah (banyak) memelihara (mempertahankan) kepercayaan (aqidah) , usul-usul dan kaedah-kaedahnya seperti mana hak yang sepatutnya dan mengajarkannya (perkara) ini kepada orang lain , yang mana dengan sebabnya telah kekal wujud fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) ini (di India) dan dengan sebab pengasas Darul Uloom Deoband Maulana Muhammad Qasim Nanotwi , Maulana Rashid Ahmad Gangohi , Maulana Muhammad Ya’qub Nanotwi telah mengajarkannya dengan telus kepada para pelajarnya secara langsung ataupun melalui  perantaraan , dan melalui usaha  mereka,  mereka,telah menyebarkan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) ini ke seluruh dunia.”[3]


Berdasarkan penerangan di atas, dapat fahami dari kata-kata Maulana Qari Muhammad Tayyib Qasmi bahawa institusi pengajian Darul Uloom Deoband mengimbangi proses keilmuan dan pentarbiyah yang diasaskan oleh Ulama Deoband itu sendiri. Beliau sendiri dengan jelas menyatakan bahawa hubungan antara Ulama Deoband dengan Syeikh Ahmad Sirhindi dan Shah Waliyullah Muhaddith Dehlawi . 

Oleh itu, Ulama Deoband menganggap bahawa diri mereka tergolong dalam limpahan tradisi keilmuan tokoh-tokoh terkenal ini yang mengabungkan amalan Sufi dalam pengajian mereka  . Rantaian keilmuan dan kesufian mereka bersambungan dari Syeikh Ahmad Sirhindi kepada Shah Waliyullah Muhaddith Dehlawi dan melalui keturunan Shah Waliyullah Muhaddith Dehlawi sampai kepada pengasas institusi pengajian terulung iaitu Darul Uloom di Deoband.[4] 


Ulama Deoband Adalah Ulama Sufi 

Ramai orang diluar sana menganggap bahawa Ulama-ulama Deoband adalah penentangan kepada amalan Sufi. Sebenarnya ini adalah satu kekeliruan.  Kekeliruan ini hanya pendapat akal dan khayalan semata-mata yang tidak berpijak kepada realiti yang sebenar. Kebanyakan tokoh-tokoh utama Ulama Deoband adalah dalam kalangan pengamal Sufi. Mereka menguasai salah satu daripada empat tariqat utama yang muktabar seperti Chistiyyah , Naqshabandiyyah , Qadiriyyah dan Suhrawardiyyah. Antara keempat-empat tariqat ini, tariqat Chistiyyah mendapat perhatian dan menjadi terkenal dan berpengaruh dalam kalangan Ulama Deoband.

Hal ini berlaku adalah disebabkan oleh peranan yang dimainkan oleh Haji Imdad Ullah Muhajir Makki yang mendapat gelaran Syeikhul Masyaikh di dalam sejarah Ulama Deoband. Beliau adalah Syeikh (Guru Pembimbing ) kepada empat tariqat utama yang muktabar seperti Chistiyyah,  Naqshabandiyyah , Qadiriyyah dan Suhrawardiyyah tetapi beliau memilih tariqat Chistiyyah di dalam pembawaan amalan beliau.[5]

Beliau merupakan Syeikh kepada pengasas Darul Uloom Deoband iaitu Maulana Muhammad Qasim Nanotwi dan Maulana Rashid Ahmad Gangohi. Apabila Haji Imdad Ullah Muhajir Makki berhijrah ke Mekkah, pada tahun 1866 M,   Maulana Muhammad Qasim Nanotwi telah mengasaskan Darul Uloom Deoband. Selepas kematian Maulana Muhammad Qasim Nanotwi pada tahun 1880 M   , Maulana Rashid Ahmad Gangohi telah dilantik menjadi penaung kepada institusi pengajian tersebut dan melakukan perubahan dengan mengabungkan unsur Syariah dan Tasawwuf di mana selepas itu menjadi perkara terpenting yang diberikan perhatian oleh Ulama Deoband.[6]   

Siapakah Ulama Deoband

Apabila dikatakan Ulama Deoband, ianya merujuk kepada kelompok majoriti dan tokoh-tokoh utama dari Deoband. Antaranya ialah Maulana Muhammad Ya’qub Nanotwi , Syeikhul Hind Maulana Mahmud Hasan ad-Deobandi , Maulana Abd Rahim Raipuri , Maulana Khalil Ahmad Saharanpuri , Maulana Muhammad Anwar Shah Kashmiri , Maulana Ashraf Ali Thanwi, Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi , Maulana Abd Qadir Raipuri , Maulana Sayyid Husain Ahmad Madani , Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi , Maulana Sayyid Abul Hasan Ali an-Nadwi .

Dalam buku “ The Scourge of Salafism terbitan Majlisul Ulama of South Africa “ memberikan takrifan bahawa apabila disebut Ulama Deoband ianya merujuk kepada Shah Waliyullah Muhaddith Dehlawi , Shah Abd Aziz Muhaddith Dehlawi , Shah Abd Ishaq Muhaddith Dehlawi , Shah Abd Ghani al-Mujadiddi , Maulana Muhammad Qasim Nanotwi , Maulana Rashid Ahmad Gangohi , Syeikhul Hind Maulana Mahmud Hasan ad-Deobandi, Maulana Khalil Ahmad Saharanpuri , Maulana Ashraf Ali Thanwi , Maulana Qari Muhammad Tayyib , Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi , Maulana Maseh Ullah Khan Jalalabadi  dan lain-lainnya yang mempunyai hubungan dengan ulama deoband. Permulaan legasi ini dimulakan oleh Shah Waliyullah Muhaddith Dehlawi.[7]


Kesimpulannya

Berdasarkan kenyataan dari Maulana Qari Muhammad Tayyib Qasmi ini dapat disimpulkan bahawa jika ada pandangan yang dikeluar oleh mana-mana “ Maulana ”  yang belajar di institusi pengajian Darul Uloom Deoband atau mana-mana institusi pengajian yang mempunyai perkaitan dengan Darul Uloom Deoband sama ada di Afrika , Asia, Eropah , Amerika yang menyelisihi pandangan Ulama Deoband hakikatnya tidak mewakili pandangan sebenar Ulama Deoband. 

Oleh sebab itu, mana-mana “Maulana“ yang mengeluarkan pandangan yang menyelisihi pandangan Ulama Deoband, ketahuilah bahawa itu hanyalah pandangan peribadi mereka dan pandangan itu tidak sesekali mewakili pandangan Ulama Deoband walaupun “ Maulana“  ini pernah belajar di Darul Uloom Deoband atau mana-mana institusi pengajian yang mempunyai perkaitan dengan Darul Uloom Deoband dan tolong jangan kaitan mereka ini dengan Ulama Deoband. 

Untuk lanjutan perbahasan, bolehlah melihat sendiri kitab karangan Maulana Khalil Ahmad Saharanpuri yang bertajuk “ Al- Muhannad ala al-Mufannad “ sebuah kitab yang menyata dan menjelaskan beberapa permasalahan aqidah yang dipegang oleh ulama-ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah di benua Hindustan yang dikenali sebagai “ Ulama Deoband “ .


Mabahis Fi Aqaid Ahli as-Sunnah Al-Muhannad 'Alal Mufannad karya Maulana Khalil  Ahmad Saharanpuri terbitan Dar al-Fath.

Pada tahun 1905 M , telah berlaku keraguan yang telah dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu yang mula meragui kredibiliti Ulama Deoband. Keraguan ini mulai merebak dalam kalangan ulama-ulama yang berada di dua Bandar Suci Mekkah dan Madinah. Atas keraguan itu , mereka telah menghantar 26 soalan-soalan yang berkaitan dengan aqidah Ulama Deoband. 

Maulana Khalil Ahmad Saharanpuri telah mengambil tanggungjawab untuk menjawab segala persoalan-persoalan yang dikemukakan oleh Ulama-ulama Mekkah dan Madinah tersebut  . Selepas selesai menyusun jawapan tersebut , kitab ini telah diberikan pengesahan serta disah dan disokong oleh tokoh-tokoh besar yang mewakili Ulama Deoband seperti Maulana Ashraf Ali Thanwi , Syeikhul Hind Maulana Mahmud Hasan ad-Deobandi dan lain-lain lagi dan seterusnya dihantar kepada Ulama-ulama Mekkah dan Madinah . Setelah diperiksa dan dinilai oleh Ulama-ulama Mekkah dan Madinah, para Ulama-ulama Mekkah dan Madinah ini menulis satu surat ringkas mengisytiharkan bahawa segala jawapan dan pandangan yang ditulis oleh Maulana Khalil Ahmad Saharanpuri ini adalah benar berdasarkan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) . Ianya juga dihantar ke Mesir dan Syiria untuk mendapat pengesahan dari ulama-ulama di sana. [8]
  
Antara ulama-ulama yang mengesahkan kebenaran kitab ini ialah : 

1. Syeikh Muhammad Sa’id Ba Busail al-Shafi’ (Mufti Mazhab Shafi’ di Mekkah)
2. Syeikh Muhammad Abid ibn Husain al-Maliki (Mufti Mazhab Maliki di Mekah)
3. Syeikh Sayyid Ahmad al-Barzanji al-Shafi’ (Mufti Mazhab Shafi’ di Madinah)
4. Syeikh Ahmad ibn Muhammad Khair al- Shinquiti al-Maliki ( Ulama besar di Madinah)
5. Syeikh Salim al-Bishri al-Misri ( Syeikhul Azhar di Mesir)
6. Syeikh Sayyid Muhammad Abu’l Khair ibn Abidin (Ulama Mazhab Hanafi di Syiria)
7. Syeikh Mustafa ibn Ahmad al-Shatti (Ulama Mazhab Hanbali di Syiria)
8. Syeikh Mahmud Rashid al-Attar (Ulama Mazhab Hanafi di Syiria)
9. Syeikh Mustafa al-Haddad (Ulama Besar di Syiria) 
10. Syeikh Muhammad Sa’id al-Hamawi (Ulama Besar di Syiria)

Jadi, apabila “ Maulana “ ini membawa pandangan yang bertentangan dengan apa ditulis oleh Maulana Khalil Ahmad Saharanpuri , ketahuilah bahawa itu adalah pandangan dari “ Maulana “ itu sendiri dan ini tidak ada kaitan sama sekali dengan institusi pengajian Deoband dan Ulama Deoband. Setahu saya, tidak ada lagi mana-mana Ulama Deoband sehingga kini yang membantah kandungan kitab ini . Sebelum saya mengakhiri penulisan ini, saya ingin menegaskan bahawa Ulama Deoband adalah ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Semoga Allah s.w.t. memberi hidayah kepada mereka dan seluruh umat Islam. Amiin


Nota Kaki 


[1]. Perkara ini didengari setiap kali penulis menghadiri majlis talaqqi hadith di bawah bimbingan guru  al-Fadhil Maulana Hussein Abdul Kadir al-Yusufi. Beliau ialah seorang ulama hadith yang banyak mengajar di masjid-masjid diseluruh Malaysia. Guru beliau Maulana Mufti Muhammad Yusuf al-Rangoni ialah rakan sekelas kepada Maulana Muhammad Yunus Joupuri yang juga  murid kepada Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi. Perkara yang sama juga didengari oleh penulis apabila setiap kali penulis bermuzakarah dengan al-Fadhil Maulana Muhammad Hazim Mazahiri . Beliau ialah Guru Hadith yang bertugas di Madrasah Miftahul Ulum, Sri Petaling. Memperolehi pengajian di Mazahirul Uloom , Saharanpur di bawah bimbingan Maulana Muhammad Yunus Joupuri.

[2]. Maulana Muhammad Tayyib , Ulama Deoband Ka Deeni Rukh Aur Maslaki Mizaj, (Lahore : Idara –e- Islamiat, 1988 ) , m/s 22 . (Urdu). Boleh donwload kitab ini di sini.

[3]. Ibid., 23

[4]. Barbara Daly Metcalf, Islamic Revival in British India: Deoband, 1860-1900, (Princeton, New Jersey: Princeton University Press, 1982) m/s 108

[5]. Maulana Ashiq Ilahi., Tazkirat al-Rashid, (Dehli: JK Offset Printers, 1977), Jilid 1,  m/s. 11

[6]. Maulana Sayyid Mahbood Rizvi, Ulama-e-Hind Ka Shandar Mazi, (Delhi: Kitabistan,1958) Jilid.1, m/s 96

[7]. The Scourge of Salafism, terbitan Majlisul Ulama of South Africa , jilid 1 , m/s 8-9

[8]. Artikel ini ditulis oleh Mufti Muhammad ibn Adam Al-Kawthari di dalam laman sesawang beliau. Boleh baca di sini http://www.daruliftaa.com/node/5923?txt_QuestionID

[9]. Nama Deoband diambil sempena nama satu bandar yang terletaknya institusi pengajian terulung di benua Hindustan iaitu Darul Uloom di Deoband . Ianya terletak di daerah Saharanpur , dalam negeri Uttar Pradesh . Ianya juga terletak di tengah-tengah bandar yang berjarak 150 km dari Delhi. 

[10]. Keseluruhan penulisan ini telah disemak oleh al-Fadhil Maulana Wan Aswadi yang merupakan Guru Hadith di Madrah Tahfiz Miftahul Ulum, Hulu Langat dan al-Fadhil Maulana Arif yang merupakan Guru Hadith di Madrasah Tahfiz Lorong Alif, Jitra, Kedah.

Saturday, March 21, 2015

Keluarga-keluarga Kandhala

Kawasan Kandhala, sebuah perkampungan yang melahirkan keturunan alim ulama . Gambar diakses dari google maps. Boleh diakses di sini

Kawasan Jhinjhana yang diakses menggunakan google maps. Boleh diakses di sini.

Di Kandhala, satu keluarga ternama lagi dihormati yang berketurunan Siddiqi (Keturunan Sayyidina Abu Bakar رضي الله عنه). Keturunan ini berasal dari keturunan ulama sufi yang hebat yang telah mendiami kawasan tersebut ratusan tahun dahulu. Ianya mempunyai dua keluarga iaitu satu di Kandhala dan satu lagi keluarga di Jhinjhana. Selepas beberapa abad, ianya telah dikenali sebagai keluarga yang banyak melahirkan tokoh-tokoh alim ulama dan Sufi . Keluarga ini dikenali dengan kesolehan dan akrabnya hubungan mereka dengan para Wali-wali Allah. Antara tokoh ulama terkenal yang berasal dari keluarga ini ialah seperti Mufti Ilahi Bakhsh Kandhalawi رحمه الله تعالى  yang meninggal dunia pada tahun 1830 M dan anak saudaranya iaitu Mufti Muzaffar Husain Kandhalawi رحمه الله تعالى yang meninggal dunia pada tahun 1866 M . [1] 

Dari keturunan Mufti Ilahi Bakhsh Kandhalawi رحمه الله تعالى lahirlah legasi keturunan Kandhalawi sampai sekarang .

1. Maulana Abul Hasan Kandhalawi رحمه الله تعالى  (anak kepada Mufti Ilahi Bakhsh Kandhalawi )
2. Maulana Nur Ul Hasan Kandhalawi رحمه الله تعالى (anak kepada Maulana Abul Hasan Kandhalawi )
3. Maulana Hakim Zuhur Ul Hasan Kandhalawi رحمه الله تعالى (anak kepada Maulana Nur Ul Hasan Kandhalawi )
4. Maulana Hakim Radhi Ul Hasan Kandhalawi رحمه الله تعالى (anak kepada Maulana Hakim Zuhur Ul Hasan Kandhalawi )
5. Maulana Muhammad Ikram Ul Hasan Kandhalawi رحمه الله تعالى (anak kepada Maulana Hakim Radhi Ul Hasan Kandhalawi )
6. Maulana Muhammad Inam Ul Hasan Kandhalawi رحمه الله تعالى (anak kepada Maulana Muhammad Ikram Ul Hasan Kandhalawi )
7. Maulana Muhammad Zubair Ul Hasan Kandhalawi رحمه الله تعالى (anak kepada Maulana Muhammad Inam Ul Hasan Kandhalawi )
8. Maulana Muhammad Zuhair Ul Hasan Kandhalawi حفظه الله (anak kepada Maulana Muhammad Zubair Ul Hasan Kandhalawi )

Mufti Ilahi Bakhsh Kandhalawi [2]

Mufti Ilahi Bakhsh Kandhalawi رحمه الله تعالى adalah merupakan murid yang disayangi oleh Shah Abd Aziz Muhaddith Dehlawi رحمه الله تعالى  dan kemudiannya berbi’ah kepada Shah Abd Aziz Muhaddith Dehlawi رحمه الله تعالى . Apabila Sayyid Ahmad As-Syahid رحمه الله تعالى  mengumumkan panggilan Jihad menentang orang Sikh , beliau telah menyahut panggilan jihad tersebut  dengan mengambil bi’ah dengan Sayyid Ahmad As-Syahid رحمه الله تعالى  . Dalam peperangan jihad tersebut, Sayyid Ahmad As-Shahid رحمه الله تعالى  telah meninggal dunia. Mufti Ilahi Bakhash Kandhalawi رحمه الله تعالى meninggal dunia pada tahun 1829 M pada usia 83 tahun. Keterlibatan beliau di dalam peperangan jihad tersebut menunjukan kedudukan dan hubungan istimewa beliau terhadap Sayyid Ahmad As-Syahid رحمه الله تعالى . Beliau telah mengarang lebih dari 40 buah kitab dalam pelbagai disiplin ilmu antaranya Shiyam al-Habib iaitu satu kitab mengandungi peribadi Nabi  صلى الله عليه وسلم seperti kitab Syamail Muhammadiyah yang ditulis di dalam Bahasa Arab.


Lokasi rumah Mufti Ilahi Bakhsh Kandhalawi رحمه الله تعالى yang berada di kanan lelaki yang sedang berjalan itu, di depan rumah tersebut ada susunan kayu . Gambar ini diambil ketika saya menziarahi tempat ini sekitar tahun 2012 di Kandhala. Menurut cerita orang tempatan, guru kepada Mufti Ilahi Bakhsh رحمه الله تعالى iaitu Shah Abd Aziz Muhaddith Dehlawi رحمه الله تعالى juga kerap mengunjungi rumah ini.

Mufti Muzaffar Husain Kandhalawi [2][3]

Mufti Muzaffar Husain Kandhalawi رحمه الله تعالى  mempunyai abang yang bernama Maulana Mahmud Bakhash Kandhalawi رحمه الله تعالى  . Mufti Muzaffar Husain Kandhalawi رحمه الله تعالى  memperolehi ilmu daripada Mufti Ilahi Bakhash Kandhalawi رحمه الله تعالى  dan Shah Muhammad Ishaq Muhaddith Dehlawi رحمه الله تعالى . Selepas kematian Mufti Ilahi Bakhash Kandhalawi رحمه الله تعالى , beliau meneruskan pengajian daripada Shah Muhammad Ishaq Muhaddith Dehlawi رحمه الله تعالى . 

Mufti Muzaffar Husain Kandhalawi رحمه الله تعالى  yang merupakan anak saudaranya adalah merupakan murid kesayangan kepada Shah Abd Ishaq Muhaddith Dehlawi رحمه الله تعالى .yang juga telah dianggap wali Allah di dalam keluarga mereka. Mufti Muzaffar Husain Kandhalawi رحمه الله تعالى  juga telah menjadi khalifah kepada Mufti Ilahi Bakhsh Kandhalawi رحمه الله تعالى . Beliau juga mempunyai baik dengan Maulana Muhammad Mamluk Ali Nanotwi رحمه الله تعالى .

Satu keluarga lagi dari keluarga ini mendiami kawasan Jhinjhana , keluarga mereka ini juga mempunyai hubungan yang rapat dengan para wali-wali Allah seperti Sayyid Ahmad As-Syahid رحمه الله تعالى . Dari keluarga ini , lahirlah tokoh-tokoh seperti Maulana Muhammad Ismail Jhinjhanawi رحمه الله تعالى yang menetap di kampung Nizamuddin di Delhi. Beliau telah berkahwin dengan cucu perempuan kepada Mufti Muzaffar Husain Kandhalawi رحمه الله تعالى  dan telah mengasaskan semula hubungan keluargaan di Kandhala. 

Beliau menunaikan Haji dengan berjalan kaki dalam beberapa kali. Pada akhir kehidupan beliau, atas arahan guru beliau, beliau telah berpindah ke Madinah dan meninggal dunia di sana pada 25 Mei 1866 M. Beliau telah dikebumikan di perkuburan Baqi' berdekatan dengan Maqam Sayyidina Uthman bin Affan رضي الله عنه .

Hubungan kekeluargaan ini menjadi kuat dan utuh di mana beliau dan anak lelakinya telah dikenali sebagai Kandhalawi .Anak lelakinya adalah sebahagian daripada generasi para masyaikh Deoband. Anak lelaki beliau adalah seperti maulana Muhammad Jhinjhanawi رحمه الله تعالى  (anak dengan isteri pertama) yang meninggal pada tahun 1918 M yang menetap di kampung Nizamuddin, Delhi, Maulana Muhammad Yahya Kandhalawi رحمه الله تعالى  (anak dari isteri kedua dari keturunan Mufti Muzaffar Husain Kandhalawi رحمه الله تعالى ) yang meninggal dunia pada tahun 1916 M yang menetap di Gangoh dan Saharanpur. 

Melalui keturunan Maulana Muhammad Yahya Kandhalawi رحمه الله تعالى  inilah, lahirnya generasi seperti Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمه الله تعالى , cucu beliau Maulana Muhammad Talha Kandhalawi حفظه الله .Manakala dari Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi رحمه الله تعالى  (juga dari keturunan Mufti Muzaffar Husain Kandhalawi رحمه الله تعالى ) yang juga pengasas kepada Usaha Dakwah / Tabligh telah lahirnya generasi seperti  Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi رحمه الله تعالى , cucu beliau Maulana Muhammad Harun Kandhalawi رحمه الله تعالى dan cicit beliau Maulana Muhammad Saad Kandhalawi  
حفظه الله [4]. Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi رحمه الله تعالى juga telah berkahwin dengan anak perempuan di Maulana Muhammad Rauf Ul Hasan Kandhalawi رحمه الله تعالى . 

Madrasah Mazahirul Uloom Saharanpur, institusi pengajian terkenal di benua Hindustan. Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi رحمه الله تعالى pernah mengajar di sini . Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi رحمه الله تعالى pernah menuntut di sini. Maulana Muhammad Harun Kandhalawi رحمه الله تعالى pernah menuntut di sini. Legasi keluarga ini diteruskan lagi dengan kehadiran anak lelaki kepada Maulana Muhammad Saad Kandhalawi حفظه الله. iaitu Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi حفظه الله. yang menjadi penuntut ilmu di sini.[4]

Maulana Muhammad Yahya Kandhalawi رحمه الله تعالى pernah mengajar di institusi pengajian ini manakala Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمه الله تعالى  menjadi Syeikhul Hadith di Mazahirul Uloom di Saharanpur manakala Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi رحمه الله تعالى  menjadi amir kedua Usaha Dakwah / Tabligh menggantikan ayah beliau iaitu Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi رحمه الله تعالى  yang meninggal dunia pada tahun 1943 M . Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi رحمه الله تعالى  kekal menjadi amir Usaha Dakwah / Tabligh sehinggalah kematian beliau tahun 1965 M . [1]

Ummi Bi [2]

Beliau adalah anak perempuan kepada Mufti Muzaffar Husain Kandhalawi رحمه الله تعالى . Anak perempuannya yang bernama Safiyyah رحمها الله تعالى telah berkahwin dengan Maulana Muhammad Ismail رحمه الله تعالى . Maulana Muhamamd Ismail رحمه الله تعالى  adalah bapa kepada Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi رحمه الله تعالى . dan datuk kepada Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi. Maulana Muhammad Saad Kandhalawi حفظه الله adalah daripada keturunan mereka ini.

Ummi Bi mengikut jejak langkah bapanya iaitu Mufti Muzaffar Husain Kandhalawi رحمه الله تعالى  dalam perwatakan dan ketakwaan. Beliau selalu menghabiskan masa dengan amalan-amalan agama.  

Bi Safiyyah [2]

Beliau ialah ibu kepada Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi رحمه الله تعالى. Beliau seorang hafizah. Beliau menghafal al-quran ketika menunggu kelahiran Maulana Muhammad Yahya Kandhalawi رحمه الله تعالى (ayah kepada Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi رحمه الله تعالى) dan merupakan bapa saudara kepada Maulana Muhamamd Yusuf Kandhalawi رحمه الله تعالى. Beliau mengikuti jejak langkah ibunya menjadi seorang ibu yang penuh ketakwaan , kezuhudan dan sangat mencintai kehidupan akhirat.

Walaupun beliau sibuk dengan tugasan sebagai seorang isteri dan ibu, beliau selalu menghabiskan masa dengan membaca al-quran . Di dalam bulan ramadhan, beliau mengkhatamkan al-quran setiap hari . Dilaporkan juga bahawa beliau pernah mengkhatamkan al-quran 40 kali di dalam bulan ramadhan.

Juga bacaan tambahan 
http://wirapendang.blogspot.com/2014/02/wanita-wanita-di-kandhala.html

Rujukan :

[1]. Sawanih Hazrat Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi ,oleh Sayyid Abu Hasan Ali An-Nadwi , m/s 28.
[2]. Halat Mashaikh Kandhala oleh Maulana Ihtisham Ul Hasan Kandhalawi , m/s 84-86
[3]. Sawanih ‘Ulama’-e-Deoband (Deoband: Nawaz publications) Jilid. 1, m/s. 238
[4]. Hasil kajian dan penyelidikan sahaja. Saya berbual sendiri dengan anak lelaki kepada Maulana Muhammad Saad Kandhalawi iaitu Maulana Muhammad Yusuf Kandhalawi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Telah Link Blog Ini