Ikuti Blog Ini

Friday, February 6, 2015

Al-Muhadith Maulana Ahmad Ali Saharanpuri رحمه الله تعالى.

Sahih Al-Bukhari yang mengandungi hasyiah dari Al-Muhadith Maulana Ahmad Ali Saharanpuri رحمه الله تعالى , juga hasyiah dari Maulana Abil Hasan Al-Sindhi رحمه الله تعالى . Sentuhan dari Al-Musnid Hind Shah Waliyullah Dehlawi رحمه الله تعالى menerusi usul beliau dalam memahami Abwab wa Tarajim dalam Sahih Al-Bukhari.

Al-Muhadith Maulana Ahmad Ali Saharanpuri رحمه الله تعالى adalah merupakan antara pelajar khas kepada Al-Muhadith besar benua Hindustan iaitu Shah Muhammad Ishaq bin Muhammad Afdal Muhadith Dehlawi al-Muhajir al-Makki رحمه الله تعالى dan juga merupakan cucu kepada Al-Musnid Hind Shah Waliyullah Dehlawi رحمه الله تعالى. Maulana Ahmad Ali Saharanpuri رحمه الله تعالى juga boleh dikategorikan sebagai salah seorang tokoh besar dalam mazhab Hanafi dan tokoh hadith di zamannya.

Maulana Ahmad Ali Saharanpuri رحمه الله تعالى dilahir dan dibesarkan di Saharanpur, Uttar Pradesh, India. Selepas menerima pendidikan awal di Saharanpur, beliau telah pergi ke Delhi dan belajar di bawah bimbingan Maulana Mamluk 'Ali Nanotwi رحمه الله تعالى dan menerima ijazah dalam ilmu  hadith daripada Maulana Wajih al-Din Saharanpuri رحمه الله تعالى, yang belajar ilmu hadith dari Maulana Abd Hayy bin Hibat Ullah Burhanwi رحمه الله تعالى, yang mempelajari ilmu hadith dari Shah 'Abd Qadir bin Shah Waliyullah Dehlawi رحمه الله تعالى.


Beliau kemudiannya telah bersafar ke Tanah Suci Makkah untuk menunaikan ibadah haji. Setibanya di sana, beliau mengambil kesempatan dengan mempelajari Sahih Sittah di bawah bimbingan dan tunjuk ajar dari Shah Muhammad Ishaq Muhadith Dehlawi رحمه الله تعالى dan juga menerima ijazah ilmu hadith daripadanya. Beliau kemudiannya pergi ke kota Madinah untuk menziarahi Maqam Rasulullah صلى الله عليه وسلم.


Sekembalinya beliau dari Tanah Suci, Maulana Ahmad 'Ali Saharanpuri رحمه الله تعالى mewakafkan dirinya untuk berkhidmat dan mengajar ilmu hadith, pembelajaran yang beliau berikan dari setiap pengajarannya sangat hebat dan menampakkan kewibawaan beliau sebagai seorang Muhadith. Pada 1291 H / 1874 M , beliau telah dilantik sebagai Naib Mudir di institusi pengajian terkenal iaitu Mazahirul Uloom di Saharanpur. Selepas itu, pada tahun 1294 H/ 1877 M , beliau telah dilantik sebagai guru besar (Sadr Mudaris) di institusi yang sama.


Beliau menyara kehidupannya dengan mengusahakan perniagaan dan dalam masa yang sama, beliau sibuk dengan pengajaran di dalam kelas. Beliau memiliki syarikat pencetakan sendiri yang diberi nama sebagai Matba’ Ahmadi . 



Kitab Sahih Al-Bukhari yang telah digunakan oleh kebanyak pelajar madrasah yang berorientasikan sistem Dars Nizami.

Sumbangan Beliau Terhadap Sahih Al-Bukhari dan Kitab-Kitab Hadith Yang Lain

Antaranya sumbangan besar beliau terhadap ilmu hadith ialah beliau telah menghasilkan satu hasyiah kepada Sahih Al-Bukhari. Tugasan ini telah berjaya disiapkan oleh muridnya iaitu pengasas kepada Darul Uloom Deoband Maulana Muhammad Qasim Nanotwi رحمه الله تعالى. Beliau juga telah menghabiskan lebih 10 tahun lamanya untuk mentashih dan kemudiannya menerbitkannya dengan syarikat pencetakan beliau sendiri. Beliau juga telah menulis satu muqadimah yang indah pada kitab tersebut. Sekarang hasyiah beliau diterbitkan di sekitar teks utama kitab Sahih Al-Bukhari cetakan Indo-Pak (cetakan Pakistan seperti dalam gambar di atas). Hasyiah Sahih Al-Bukhari beliau telah digunakan secara meluasnya bagi para pelajar yang telah menamatkan pengajian berorientasikan sistem Dars Nizami. 


Maulana Ahmad Ali Saharanpuri رحمه الله تعالى juga adalah Muhadith yang pertama, bukan sahaja di India tetapi di dunia, telah berjaya menerbitkan Sahih Bukhari dalam bentuk cetakan. (Nota -  sebelum ini, semua makhtutat/manuskrip yang sedia ada dari sahih Bukhari adalah dalam bentuk tulisan tangan). Oleh itu, melalui usaha gigih beliaulah, versi cetakan Sahih Bukhari telah wujud di dunia ini bagi memudahkan penuntut ilmu hadith.Jilid pertama telah berjaya diterbitkan pada tahun 1851 M dan jilid yang kedua telah berjaya diterbitkan pada tahun 1853 M. Cetakan pertama dilakukan oleh Muhadith di Timur Tengah (Mesir) sekitar 10 tahun selepas itu.


Kitab hadith lain yang juga mendapat tempat dihati beliau ialah kitab Jami' Tirmizi dan beberapa kitab hadith lain .Beliau ada menyusun hasyiah beliau sendiri pada kitab Jami Tirmizi dan beberapa kitab hadith lain yang terkenal seperti Misykat al-Masabih, yang mana telah diterbitkan oleh beliau sendiri. Beliau juga dikenali sebagai Muhadith pertama yang telah menerbitkan Sahih Muslim bersama-sama dengan syarahanya oleh Al-Imam An-Nawawi رحمه الله تعالى .  Dikatakan bahawa beliau telah menerbitkan lebih dari 40 buah kitab hadith, antaranya seperti berikut :

1. Sunan Abi Daud

2. Misykat al-Maṣabih dengan hasyiah beliau sendiri 
3. Muwaṭṭa Imam Malik
4. Ḥiṣn al-Ḥaṣin
5. Taqrib al-Tahdhib
6. Risalat al-Jurjani
7. Muqaddimah Abd al-Ḥaq Dehlawi رحمه الله تعالى .
8. Irsyad al-Sari

Antara Murid-Murid Beliau Yang Mengambil Manfaat Dari Beliau


1. Haji Imdad Ullah Muhajir Makki 
رحمه الله تعالى .
2. Maulana Muhammad Qasim Nanotwi رحمه الله تعالى .
3. Maulana Rashid Ahmad Gangohi رحمه الله تعالى .
4. Maulana Amin Ḥasani Naṣirabadi رحمه الله تعالى .
5. maulana Muḥammad Yaʿqub Gangohi رحمه الله تعالى .
6. Maulana Shibli Nuʿmani رحمه الله تعالى .
7. Maulana Muḥammad ʿAli Mongeri رحمه الله تعالى .

Para penuntut ilmu hadith hari ini perlu menghargai kerja-kerja yang dilakukan oleh Maulana Ahmad Ali Saharanpuri رحمه الله تعالى yang telah berjaya menyempurnakan kerja-kerja mencetak Sahih Al-Bukhari pada masa itu. Ianya bukanlah satu kerja yang mudah, bahkan ianya melibatkan usaha pencarian salinan asal dari setiap makhtutat/manuskrip Sahih Al-Bukhari yang ada pada masa itu. Ianya memerlukan seorang yang betul-betul berkemahiran tinggi untuk melakukannya.


Semua ulama dan tokoh hadith di seluruh dunia Islam telah mengakui bahawa cetakan Sahih Al-Bukhari yang telah dihasilkan oleh Al-Muhadith Maulana Ahmad Ali Saharanpuri رحمه الله تعالى merupakan cetakan sahih dan lagi dihormati. Hal ini adalah kerana beliau sendiri mempunyai dua makhtutat/manuskrip asal Sahih Al-Bukhari. Satu manuskrip asal adalah dari Al-Imam Muhammad Saghani رحمه الله تعالى tokoh hadith pada abad 7 di mana ianya telah dianggap sebagai Al-Muhadith yang mempunyai salinan asal makhtutat/ manuskrip Sahih Al-Bukhari yang telah mendapat pengesahan secara langsung dari anak murid Imam Al-Bukhari رحمه الله تعالى iaitu Al-Imam Muhammad ibn Yusuf al-Firabri  رحمه الله تعالى .


Salinan makhtutat/manuskrip yang lain adalah dari gurunya iaitu Shah Muhammad Ishaq Muhadith Dehlawi رحمه الله تعالى yang merupakan koleksi simpan warisan daripada datuknya iaitu Shah Abd Aziz Muhadith Dehlawi رحمه الله تعالى . Makhtutat/manuskrip yang ada pada Shah Abd Aziz Muhadith Dehlawi رحمه الله تعالى adalah koleksi simpanan warisan daripada bapa beliau iaitu Shah Waliyullah Dehlawi رحمه الله تعالى. Makhtutat/manuskrip ini sebenarnya adalah salinan kepada makhtutat/manuskrip yang ada pada tokoh hadith pada abad 12 hijrah iaitu Al-Imam Al-Hafiz Abdullah Bin Salim Al-Basri رحمه الله تعالى . 


Beliau telah menghabiskan 20 tahun untuk mengkaji salinan makhtutat/manuskrip dari tokoh hadith terkenal pada abad 8 iaitu Al-Imam Sharaf Din Abu Hasan Ali Al-Yunini رحمه الله تعالى yang dianggap sebagai salinan makhtutat/manuskrip yang sahih yang ada pada masa itu. Selepas membuat perbandingan antara salinan makhtutat/manuskrip lain dengan membuat pemerhatikan pada setiap perkataan demi perkataan, beliau telah menghasilkan makhtutat/manuskrip Sahih Al-Bukhari beliau sendiri.


Perlu diingatkan bahawa Shah Waliyullah Dehlawi رحمه الله تعالى telah diberikan penghormatan dan kemulian antara diri beliau dengan Al-Imam Salim Bin Abdullah Bin Salim Al-Basri رحمه الله تعالى (anak kepada Al-Imam Al-Hafiz Abdullah Bin Salim Al-Basri رحمه الله تعالى) di dalam sanad pengajian ilmu hadithnya. Hal ini adalah kerana guru-guru kepada Shah Waliyullah Dehlawi رحمه الله تعالى seperti Al-Imam Muhammad Afzal Sialkoti رحمه الله تعالى dan Al-Imam Abu Tahir Al-Kurdi  رحمه الله تعالى di mana kedua-dua mereka adalah merupakan murid khusus kepada Al-Imam Salim Bin Abdullah Al-Basri رحمه الله تعالى . Tambahan pula, Shah Waliyullah Dehlawi رحمه الله تعالى juga pernah belajar dengan anak Al-Imam Salim Al-Basri رحمه الله تعالى sendiri. 



Sahih Al-Bukhari dengan hasyiah oleh Maulana Ahmad Ali Saharanpuri رحمه الله تعالى dengan gaya format tulisan khat Farsi. Gambar ini diambil ketika Ust Muhd Zaidi Abdullah حفظه الله (Pengasas-Penyelidik Pusat `Ulum Pondok dan Pencerahan Tamadun (UPT)  menghadiahkan kitab ini kepada Pak Njang Izzudin Pendang حفظه الله baru-baru ini.

Oleh kerana itu, kedua-dua salinan makhtutat/manuskrip Sahih Al-Bukhari yang ada pada Maulana Ahmad Ali Saharanpuri رحمه الله تعالى telah dijadikan contoh untuk menghasilkan makhtutat/manuskrip beliau sendiri untuk dijadikan rujukan ketika proses mencetak Sahih Al-Bukhari. Sehingga sekarang, edisi lama Sahih Al-Bukhari Maulana Ahmad Ali Saharanpuri رحمه الله تعالى diterbitkan dan diguna di pengajian benua Hindustan. Ianya telah dihasilkan dalam gaya format tulisan yang lama dengan hasyiah beliau telah ditulis dalam tulisan khat Farsi. Namun, alhamdulillah atas usaha Maulana Dr Taqi Din Al-Nadwi Al-Mazahiri حفظه الله ,beliau telah menyunting kembali salinan ini kemudian diterbitkan ke dalam bentuk gaya tulisan moden yang mudah untuk difahami oleh para penuntut ilmu hadith di seluruh dunia.

Perletakan Batu Asas Darul Uloom Deoband

Sebagai seorang yang dikenali sebagai Faqih dan tokoh hadith, beliau juga dikenali sebagai seorang yang selalu berkata benar, amanah, taqwa dan seorang yang takut kepada Allah سبحانه وتعالى. Walaupun beliau merupakan seseorang yang banyak harta, tetapi beliau juga terkenal dengan sifat merendah diri dan selalu membantu orang lain. Disebabkan oleh sifat dan akhlak yang begitu mulia yang ada pada beliau, maka beliau telah dijemput oleh pengasas Darul Uloom Deoband Maulana Muhammad Qasim Nanotwi رحمه الله تعالى dijemput untuk meletakkan batu asas bangunan pertama Darul Uloom Deoband yang dikenali sebagai Nawdarah.
Nawdarah, bangunan bilik kelas pertama yang siap pembinaanya pada tahun 1877 M. 

Di dalam ilmu tasawwuf, beliau menerima ijazah dalam Tariqat Naqsyabandi Mujaddidi dari-ulama hadith terkenal iaitu Shah 'Abd Ghani al-Mujaddidi Muhadith Dehlawi رحمه الله تعالى.  

Mawlana Ahmad 'Ali Saharanpuri رحمه الله تعالى telah diuji oleh Allah سبحانه وتعالى dengan lumpuh pada akhir hidupnya dan pada 6 Jamadi Awwal 1297 H / 21 April 1880 M beliau telah pergi menemui ilahi. Semoga Allah سبحانه وتعالى mencucuri ruhnya, para pelajarnya dan guru-gurunya dengan rahmat Allah dan memberikan mereka kedudukan yang tertinggi di dalam syurga. Amin

Rujukan :

Ulama-i Hind Ki Ḥadithi Khidmat Men Ayk Waqiʿ Aur Khubṣurat Iḍafah disiarkan dalam majalah bulanan Al-Furqan, Lucknow. m/s 47-53, jilid 80.

0 Komen kat sini:

Post a Comment

Tinggalkan komen anda...Setiap komen anda amat dihargai...
Sila berikan komen dengan penuh adab,Segala Komen yang tidak memenuhi adab,inshallah,akan di delete oleh admin.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Telah Link Blog Ini