Ikuti Blog Ini

Tuesday, April 21, 2015

Keluarga-keluarga Deoband

Kedudukan bandar Deoband di dalam daerah Saharanpur, dalam negeri Uttar Pradesh (UP) , India

Deoband terletak di tengah-tengah bandar yang berjarak 150 km dari Delhi. Ianya adalah satu bandar lama yang terhasil dari kombinasi dua perkataan iaitu “ Devi “ (Dewi Hindu) dan “ ban” (hutan) di mana ianya telah bertukar kepada “ Deviban” di suatu masa dahulu, kemudiannya apabila ianya kerap kali disebut, akhirnya ianya menjadi “ Deoband” ( kadang-kadang disebut Devband). Ianya terletak di daerah Saharanpur di mana ianya dipanggil “ Doaba” (disebut Do Aba) (kadang-kadang  ditulis sebagai Doab). Ianya berasal daripada perkataan Parsi yang bermaksud “ dua air atau dua sungai “ . Dalam perkara ini, ianya telah merujuk kepada kawasan antara Sungai Yamuna dan Sungai Ganges di dalam negeri Uttar Pradesh (UP), di utara Negara India. [1]


Kedudukan Gangoh, Deoband dan Saharanpur 


Kedudukan Sungai Yamuna dan Sungai Ganges

Ianya terletak di dalam negeri Uttar Pradesh (UP). Dalam negeri Uttar Pradesh (UP) mengandungi daerah-daerah seperti Saharanpur, Muzaffarnagar, Meerut dan Delhi. Daerah Saharanpur terletak di bahagian utara. Dalam daerah ini ( Saharanpur) terletak bandar-bandar seperti Deoband, Saharanpur, Nanauta , Gangoh dan Ambahta . Rupa bentuk kedudukan ini berbentuk segitiga dengan Saharanpur membentuk sudut utara, Deoband disudut tenggara dan Gangoh di sudut barat daya. Nanauta terletak di antara Deoband dan Gangoh, manakala Ambahta terletak antara kedudukan daerah Muzaffarngar.  Dalam daerah ini terletaknya Bandar Jhinjhana, Kairana, Thana Bhawan dan Kandhala. [2]

Dalam kawasan daerah Saharanpur ini, pada 15 Muharram 1283 H / 30 May 1866 M, satu institusi pengajian tinggi telah diasaskan di bandar Deoband di mana kemudiannya telah dinamakan sebagai Darul Uloom. Kemudian, enam bulan selepas itu, satu lagi institusi pengajian tinggi yang diberikan nama Mazahirul Uloom telah diasaskan di Saharanpur. Kedua-dua institusi pengajian ini kemudiannya membangun untuk menjadi pusat institusi pengajian terpenting di seluruh benua Hindustan. 


Menurut sejarah rasmi Darul Uloom Deoband yang telah disusun oleh Maulana Sayyib Mahbub Rizvi رحمه الله تعالى  atas arahan Maulana Qari Muhammad Tayyib رحمه الله تعالى  iaitu bekas Mohtamim (Naib Canselor / Rektor) Darul Uloom Deoband , selain Maulana Muhammad Qasim Nanotwi رحمه الله تعالى , pengasas lain kepada Darul Uloom Deoband ialah Maulana Zulfiqar Ali رحمه الله تعالى , Maulana Rafi Ud Din رحمه الله تعالى  , Maulana Fazl Ur Rahman Uthmani رحمه الله تعالى  , Haji Sayyid Muhammad Abid رحمه الله تعالى   dan Maulana Muhammad Ya’qub Nanotwi رحمه الله تعالى  . Semua mereka ini kecuali yang terakhir adalah berasal dan dilahirkan di Deoband.


1. Maulana Zulfiqar Ali 

Maulana Zulfiqar Ali رحمه الله تعالى  adalah merupakan murid kepada Maulana Mamluk Ali Nanotwi رحمه الله تعالى . Beliau dikenali sebagai seorang yang sangat hebat di dalam kususasteraan Arab. Beliau juga adalah merupakan bapa kepada Maulana Mahmud Hasan ad-Deobandi رحمه الله تعالى  yang juga dikenali sebagai “ Syeikhul Hind”.


2. Maulana Fazl Ur Rahman 

Maulana Fazl Ur Rahman رحمه الله تعالى adalah merupakan murid kepada Maulana Mamluk Ali Nanotwi رحمه الله تعالى . Beliau dikenali sebagai seorang yang mempunyai kemahiran bersyair di dalam bahasa Urdu dan bahasa Farsi. Beliau kekal sebagai ahli Majlis Syura Darul Uloom Deoband sehingga akhir hayat beliau. [36]. Anak beliau adalah termasuk dalam kalangan tiga ulama terkenal yang pernah dilahirkan oleh institusi pengajian Darul Uloom Deoband. Ulama yang dimaksudkan ialah Mufti Aziz Ur Rahman Uthmani رحمه الله تعالى yang telah menjadi Ketua Mufti Darul Uloom Deoband, Maulana Habib Ur Rahman Uthmani رحمه الله تعالى yang telah menjadi Mohtamim (Naib Canselor / Rektor) Darul Uloom Deoband dan Maulana Shabbir Ahmad Uthmani رحمه الله تعالى yang telah dilantik menjadi Sadr Mohtamin (Presiden) Darul Uloom Deoband. 

3. Maulana Shah Rafi Ud Din

Maulana Shah Rafi Ud Din رحمه الله تعالى juga daripada keluarga berketuruna Uthmani  dan pernah dua kali menjadi Mohtamim (Naib Canselor / Rektor) Darul Uloom Deoband iaitu pada 1868 – 1869 M dan 1872 – 1889 M . Beliau juga merupakan khalifah kepada Shah Abd Ghani al-Mujadiddi رحمه الله تعالى di dalam tariqat Naqsyabandi . Beliau juga merupakan khalifah kepada Mufti Muzaffar Husain Kandhalawi رحمه الله تعالى .  Mufti Aziz Ur Rahman Utmani رحمه الله تعالى yang diceritakan di atas adalah merupakan khalifah beliau.

4. Haji Sayyid Muhammad Abid

Haji Sayyid Muhammad Abid رحمه الله تعالى adalah berketuruna dari keluarga Sayyid dari Deoband. Beliau bukanlah dikenali sebagai seorang ulama tetapi beliau telah dipilih untuk menjadi khalifah kepada Haji Imdad Ullah Muhajir Makki رحمه الله تعالى. Maklumat lanjut mengenai beliau sangat terhad. Kebanyakan kisah beliau hanya disebut di dalam pengasasan Darul Uloom Deoband. [3]



Nota Kaki 
_________________

[1]. Tareekh E Darul Uloom Deoband , Maulana Syed Mahboob Rizvi , jilid 1, m/s 24
[2]. Ibid,. m/s 124
[3]. Ibid,. m/s 127

Wednesday, April 1, 2015

Siapakah Ulama Deoband (Akabirin Deoband)

Darul Uloom Deoband ketika penulis menziarahinya pada tahun 2012.

Mutakhir ini, lapangan ilmu di negara kita sarat disajikan dengan pelbagai macam golongan dan karenah. Antara perkara yang paling jelek ialah golongan yang merasa diri mereka alim , lalu masuk dicelah-celah kekeliruan masyarakat awam dengan memakai topeng institusi pengajian  tertentu demi untuk mempertahankan fahaman dan doktrin mereka. Apa yang menyedihkan ialah  , mereka ini membawa pencemaran terhadap nama institusi pengajian tersebut. Antara perkara yang menjadi polemik sekarang ialah isu pencemaran terhadap nama institusi pengajian “ Deoband “ dan Ulama Deoband  (akabirin Deoband) oleh mereka yang dipanggil dengan gelaran “ Maulana “ ini atau yang lebih difahami sebagai mereka yang menamatkan pengajian di benua Hindustan. Golongan ini apabila pulang ke negara ini membawa satu fahaman dengan memutarbelitkan pandangan dan sejarah hanya untuk memenangkan pendapat mereka. Institusi pengajian Deoband dan Ulama Deoband (akabirin Deoband) terkenal dengan manhaj yang adil dan terbuka sejak ianya diasaskan pada tahun 1866 M dan mereka ini terkenal sebagai kelompok yang kuat menjaga syariat agama daripada dirosakkan oleh golongan pelampau agama.[1]


Para ulama ini tidak memilih nama “ Deoband” bagi memperkenalkan diri mereka. Ulama Deoband bukanlah jemaah baru kaum Muslimin tetapi mereka adalah sebahagian daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Walau bagaimanapun, isitilah “ Deoband “ ini menjadi satu alamat atau tanda kepada satu kumpulan kaum Muslimin yang mendiami benua Hindustan. Ianya juga lebih kepada satu pendekatan dalam kerangka keseluruhan yang difahami dengan maknanya “ jalan “ yang dirujuk sebagai “ pendekatan firqah dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Meskipun banyak firqah yang wujud di benua Hindustan seperti Brelwi , Ahli Hadith dan sebagainya lagi . Setiap firqah-firqah ini dinilai kebenarannya berdasarkan timbangan aqidah sama ada ianya berteraskan metodologi aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) atau tidak. Selepas itu , barulah setiap firqah ini akan diklasifikasikan sama ada bertepatan dengan apa yang dibawa oleh  Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) . Saya tidak berminat untuk menyentuh mengenai firqah-firqah lain , cuma yang ingin disentuh di dalam penulisan ini ialah firqah “ Deoband “ .

Istilah Deoband ini sama keadaannya seperti  kewujudan istilah mazhab . Istilah mazhab ini selalunya akan dirujuk kepada mazhab fiqh sama ada Maliki, Hanafi , Shafie atau Hanbali. Perbezaan setiap mazhab ini adalah hanyalah berdasarkan kaedah pengeluaran hukum bagi setiap mazhab . Perkara ini telah pun dibahaskan secara terperincinya  di dalam kitab-kitab Usul Fiqh mazhab masing-masing.Dalam isu ini, mazhab fiqh bagi Deoband dan Brelwi ialah mazhab Hanafi, sementara Ahli Hadith lebih cenderung kepada pendekatan seperti Salafi / Wahabi . Walau bagaimanapun, ketiga-ketiga firqah ini mempunyai perbezaan dalam perkara aqidah. Hal ini telah membawa kepada beberapa konflik perbahasan yang tidak sunyi dari medan perdebatan kalangan ulama sehingga sekarang. 

Dalam pada itu, saya suka memetik pandangan bekas Mohtamim (Naib Canselor / Mudir ) Institusi pengajian terulung di benua Hindustan Darul Uloom Deoband iaitu Maulana Qari Muhammad Tayyib Qasmi yang juga cucu kepada pengasas Darul Uloom Deoband Maulana Muhammad Qasim Nanotwi . Beliau telah menakrifkan definisi firqah Deoband seperti berikut :

Terjemahanya “ Di dalam risalah ini , yang dimaksud dengan (istilah ) “ Ulama Deoband “ tidak hanya merujuk kepada mereka yang mendiami di Darul Uloom Deoband dan bukannya (amalan) pengajaran ataupun bahagian mengeluarkan fatwa , berdakwah , mengarang kitab sahaja yang berjalan di Darul Uloom Deoband. Sebaliknya , kesemua ulama yang dimaksudkan dengan Ulama Deoband ialah yang mana (mempunyai) pandangan dan pemikiran mereka berjalan di bawah pandangan dan pemikiran Mujaddid Alf Thani Syeikh Ahmad Sirhindi sehingga berhubungan dengan Musnid al-Hind Shah Waliyullah Muhaddith Dehlawi dan pengasas-pengasas Darul Uloom Deoband seperti Maulana Muhammad Qasim Nanotwi , Maulana Rashid Ahmad Gangohi dan Maulana Muhammad Ya’qub Nanotwi  dan kesemuannya. Ia tidak kira sama ada ulama itu adalah ulama di Darul Uloom di Deoband atau Mazahirul Uloom di Saharanpur atau Madrasah Shah di Moradabad atau Madrasah Kashiful Uloom di Nizamuddin atau Madrasah Miftahul Uloom di Jalalabad dan lain-lain madrasah.. Kesemua ulama daripada ratusan madrasah di (pelbagai ) wilayah di India (benua Hindustan) adalah “ Ulama Deoband” sama ada mereka terlibat di dalam pengajaran atau politik atau berdakwah atau mengarang kitab  . Kesemua mereka yang berada di Asia , Afrika , Eropah  atau Amerika , kesemua mereka ini dianggap sebagai Ulama Deoband dan mereka digelar seperti itu.”[2]

Terjemahan : “ Ulama-ulama Deoband secara keseluruhannya, dari segi haluan dalam pegangan agamanya dan juga naluri mazhabnya , mereka ini (Ulama-ulama Deoband) adalah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Yang mana Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) ini bukanlah satu mazhab (kelompok/firqah)  dan bukanlah juga ianya sebagai satu kepercayaan yang baru wujud sejak kebelakangan ini. (Kelompok/firqah) Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) inilah satunya-satunya jemaah yang mana , sama ada dalam negara (India / benua Hindustan) mahupun luar negara yang telah (banyak) memelihara (mempertahankan) kepercayaan (aqidah) , usul-usul dan kaedah-kaedahnya seperti mana hak yang sepatutnya dan mengajarkannya (perkara) ini kepada orang lain , yang mana dengan sebabnya telah kekal wujud fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) ini (di India) dan dengan sebab pengasas Darul Uloom Deoband Maulana Muhammad Qasim Nanotwi , Maulana Rashid Ahmad Gangohi , Maulana Muhammad Ya’qub Nanotwi telah mengajarkannya dengan telus kepada para pelajarnya secara langsung ataupun melalui  perantaraan , dan melalui usaha  mereka,  mereka,telah menyebarkan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) ini ke seluruh dunia.”[3]


Berdasarkan penerangan di atas, dapat fahami dari kata-kata Maulana Qari Muhammad Tayyib Qasmi bahawa institusi pengajian Darul Uloom Deoband mengimbangi proses keilmuan dan pentarbiyah yang diasaskan oleh Ulama Deoband itu sendiri. Beliau sendiri dengan jelas menyatakan bahawa hubungan antara Ulama Deoband dengan Syeikh Ahmad Sirhindi dan Shah Waliyullah Muhaddith Dehlawi . 

Oleh itu, Ulama Deoband menganggap bahawa diri mereka tergolong dalam limpahan tradisi keilmuan tokoh-tokoh terkenal ini yang mengabungkan amalan Sufi dalam pengajian mereka  . Rantaian keilmuan dan kesufian mereka bersambungan dari Syeikh Ahmad Sirhindi kepada Shah Waliyullah Muhaddith Dehlawi dan melalui keturunan Shah Waliyullah Muhaddith Dehlawi sampai kepada pengasas institusi pengajian terulung iaitu Darul Uloom di Deoband.[4] 


Ulama Deoband Adalah Ulama Sufi 

Ramai orang diluar sana menganggap bahawa Ulama-ulama Deoband adalah penentangan kepada amalan Sufi. Sebenarnya ini adalah satu kekeliruan.  Kekeliruan ini hanya pendapat akal dan khayalan semata-mata yang tidak berpijak kepada realiti yang sebenar. Kebanyakan tokoh-tokoh utama Ulama Deoband adalah dalam kalangan pengamal Sufi. Mereka menguasai salah satu daripada empat tariqat utama yang muktabar seperti Chistiyyah , Naqshabandiyyah , Qadiriyyah dan Suhrawardiyyah. Antara keempat-empat tariqat ini, tariqat Chistiyyah mendapat perhatian dan menjadi terkenal dan berpengaruh dalam kalangan Ulama Deoband.

Hal ini berlaku adalah disebabkan oleh peranan yang dimainkan oleh Haji Imdad Ullah Muhajir Makki yang mendapat gelaran Syeikhul Masyaikh di dalam sejarah Ulama Deoband. Beliau adalah Syeikh (Guru Pembimbing ) kepada empat tariqat utama yang muktabar seperti Chistiyyah,  Naqshabandiyyah , Qadiriyyah dan Suhrawardiyyah tetapi beliau memilih tariqat Chistiyyah di dalam pembawaan amalan beliau.[5]

Beliau merupakan Syeikh kepada pengasas Darul Uloom Deoband iaitu Maulana Muhammad Qasim Nanotwi dan Maulana Rashid Ahmad Gangohi. Apabila Haji Imdad Ullah Muhajir Makki berhijrah ke Mekkah, pada tahun 1866 M,   Maulana Muhammad Qasim Nanotwi telah mengasaskan Darul Uloom Deoband. Selepas kematian Maulana Muhammad Qasim Nanotwi pada tahun 1880 M   , Maulana Rashid Ahmad Gangohi telah dilantik menjadi penaung kepada institusi pengajian tersebut dan melakukan perubahan dengan mengabungkan unsur Syariah dan Tasawwuf di mana selepas itu menjadi perkara terpenting yang diberikan perhatian oleh Ulama Deoband.[6]   

Siapakah Ulama Deoband

Apabila dikatakan Ulama Deoband, ianya merujuk kepada kelompok majoriti dan tokoh-tokoh utama dari Deoband. Antaranya ialah Maulana Muhammad Ya’qub Nanotwi , Syeikhul Hind Maulana Mahmud Hasan ad-Deobandi , Maulana Abd Rahim Raipuri , Maulana Khalil Ahmad Saharanpuri , Maulana Muhammad Anwar Shah Kashmiri , Maulana Ashraf Ali Thanwi, Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi , Maulana Abd Qadir Raipuri , Maulana Sayyid Husain Ahmad Madani , Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi , Maulana Sayyid Abul Hasan Ali an-Nadwi .

Dalam buku “ The Scourge of Salafism terbitan Majlisul Ulama of South Africa “ memberikan takrifan bahawa apabila disebut Ulama Deoband ianya merujuk kepada Shah Waliyullah Muhaddith Dehlawi , Shah Abd Aziz Muhaddith Dehlawi , Shah Abd Ishaq Muhaddith Dehlawi , Shah Abd Ghani al-Mujadiddi , Maulana Muhammad Qasim Nanotwi , Maulana Rashid Ahmad Gangohi , Syeikhul Hind Maulana Mahmud Hasan ad-Deobandi, Maulana Khalil Ahmad Saharanpuri , Maulana Ashraf Ali Thanwi , Maulana Qari Muhammad Tayyib , Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi , Maulana Maseh Ullah Khan Jalalabadi  dan lain-lainnya yang mempunyai hubungan dengan ulama deoband. Permulaan legasi ini dimulakan oleh Shah Waliyullah Muhaddith Dehlawi.[7]


Kesimpulannya

Berdasarkan kenyataan dari Maulana Qari Muhammad Tayyib Qasmi ini dapat disimpulkan bahawa jika ada pandangan yang dikeluar oleh mana-mana “ Maulana ”  yang belajar di institusi pengajian Darul Uloom Deoband atau mana-mana institusi pengajian yang mempunyai perkaitan dengan Darul Uloom Deoband sama ada di Afrika , Asia, Eropah , Amerika yang menyelisihi pandangan Ulama Deoband hakikatnya tidak mewakili pandangan sebenar Ulama Deoband. 

Oleh sebab itu, mana-mana “Maulana“ yang mengeluarkan pandangan yang menyelisihi pandangan Ulama Deoband, ketahuilah bahawa itu hanyalah pandangan peribadi mereka dan pandangan itu tidak sesekali mewakili pandangan Ulama Deoband walaupun “ Maulana“  ini pernah belajar di Darul Uloom Deoband atau mana-mana institusi pengajian yang mempunyai perkaitan dengan Darul Uloom Deoband dan tolong jangan kaitan mereka ini dengan Ulama Deoband. 

Untuk lanjutan perbahasan, bolehlah melihat sendiri kitab karangan Maulana Khalil Ahmad Saharanpuri yang bertajuk “ Al- Muhannad ala al-Mufannad “ sebuah kitab yang menyata dan menjelaskan beberapa permasalahan aqidah yang dipegang oleh ulama-ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah di benua Hindustan yang dikenali sebagai “ Ulama Deoband “ .


Mabahis Fi Aqaid Ahli as-Sunnah Al-Muhannad 'Alal Mufannad karya Maulana Khalil  Ahmad Saharanpuri terbitan Dar al-Fath.

Pada tahun 1905 M , telah berlaku keraguan yang telah dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu yang mula meragui kredibiliti Ulama Deoband. Keraguan ini mulai merebak dalam kalangan ulama-ulama yang berada di dua Bandar Suci Mekkah dan Madinah. Atas keraguan itu , mereka telah menghantar 26 soalan-soalan yang berkaitan dengan aqidah Ulama Deoband. 

Maulana Khalil Ahmad Saharanpuri telah mengambil tanggungjawab untuk menjawab segala persoalan-persoalan yang dikemukakan oleh Ulama-ulama Mekkah dan Madinah tersebut  . Selepas selesai menyusun jawapan tersebut , kitab ini telah diberikan pengesahan serta disah dan disokong oleh tokoh-tokoh besar yang mewakili Ulama Deoband seperti Maulana Ashraf Ali Thanwi , Syeikhul Hind Maulana Mahmud Hasan ad-Deobandi dan lain-lain lagi dan seterusnya dihantar kepada Ulama-ulama Mekkah dan Madinah . Setelah diperiksa dan dinilai oleh Ulama-ulama Mekkah dan Madinah, para Ulama-ulama Mekkah dan Madinah ini menulis satu surat ringkas mengisytiharkan bahawa segala jawapan dan pandangan yang ditulis oleh Maulana Khalil Ahmad Saharanpuri ini adalah benar berdasarkan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) . Ianya juga dihantar ke Mesir dan Syiria untuk mendapat pengesahan dari ulama-ulama di sana. [8]
  
Antara ulama-ulama yang mengesahkan kebenaran kitab ini ialah : 

1. Syeikh Muhammad Sa’id Ba Busail al-Shafi’ (Mufti Mazhab Shafi’ di Mekkah)
2. Syeikh Muhammad Abid ibn Husain al-Maliki (Mufti Mazhab Maliki di Mekah)
3. Syeikh Sayyid Ahmad al-Barzanji al-Shafi’ (Mufti Mazhab Shafi’ di Madinah)
4. Syeikh Ahmad ibn Muhammad Khair al- Shinquiti al-Maliki ( Ulama besar di Madinah)
5. Syeikh Salim al-Bishri al-Misri ( Syeikhul Azhar di Mesir)
6. Syeikh Sayyid Muhammad Abu’l Khair ibn Abidin (Ulama Mazhab Hanafi di Syiria)
7. Syeikh Mustafa ibn Ahmad al-Shatti (Ulama Mazhab Hanbali di Syiria)
8. Syeikh Mahmud Rashid al-Attar (Ulama Mazhab Hanafi di Syiria)
9. Syeikh Mustafa al-Haddad (Ulama Besar di Syiria) 
10. Syeikh Muhammad Sa’id al-Hamawi (Ulama Besar di Syiria)

Jadi, apabila “ Maulana “ ini membawa pandangan yang bertentangan dengan apa ditulis oleh Maulana Khalil Ahmad Saharanpuri , ketahuilah bahawa itu adalah pandangan dari “ Maulana “ itu sendiri dan ini tidak ada kaitan sama sekali dengan institusi pengajian Deoband dan Ulama Deoband. Setahu saya, tidak ada lagi mana-mana Ulama Deoband sehingga kini yang membantah kandungan kitab ini . Sebelum saya mengakhiri penulisan ini, saya ingin menegaskan bahawa Ulama Deoband adalah ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Semoga Allah s.w.t. memberi hidayah kepada mereka dan seluruh umat Islam. Amiin


Nota Kaki 


[1]. Perkara ini didengari setiap kali penulis menghadiri majlis talaqqi hadith di bawah bimbingan guru  al-Fadhil Maulana Hussein Abdul Kadir al-Yusufi. Beliau ialah seorang ulama hadith yang banyak mengajar di masjid-masjid diseluruh Malaysia. Guru beliau Maulana Mufti Muhammad Yusuf al-Rangoni ialah rakan sekelas kepada Maulana Muhammad Yunus Joupuri yang juga  murid kepada Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi. Perkara yang sama juga didengari oleh penulis apabila setiap kali penulis bermuzakarah dengan al-Fadhil Maulana Muhammad Hazim Mazahiri . Beliau ialah Guru Hadith yang bertugas di Madrasah Miftahul Ulum, Sri Petaling. Memperolehi pengajian di Mazahirul Uloom , Saharanpur di bawah bimbingan Maulana Muhammad Yunus Joupuri.

[2]. Maulana Muhammad Tayyib , Ulama Deoband Ka Deeni Rukh Aur Maslaki Mizaj, (Lahore : Idara –e- Islamiat, 1988 ) , m/s 22 . (Urdu). Boleh donwload kitab ini di sini.

[3]. Ibid., 23

[4]. Barbara Daly Metcalf, Islamic Revival in British India: Deoband, 1860-1900, (Princeton, New Jersey: Princeton University Press, 1982) m/s 108

[5]. Maulana Ashiq Ilahi., Tazkirat al-Rashid, (Dehli: JK Offset Printers, 1977), Jilid 1,  m/s. 11

[6]. Maulana Sayyid Mahbood Rizvi, Ulama-e-Hind Ka Shandar Mazi, (Delhi: Kitabistan,1958) Jilid.1, m/s 96

[7]. The Scourge of Salafism, terbitan Majlisul Ulama of South Africa , jilid 1 , m/s 8-9

[8]. Artikel ini ditulis oleh Mufti Muhammad ibn Adam Al-Kawthari di dalam laman sesawang beliau. Boleh baca di sini http://www.daruliftaa.com/node/5923?txt_QuestionID

[9]. Nama Deoband diambil sempena nama satu bandar yang terletaknya institusi pengajian terulung di benua Hindustan iaitu Darul Uloom di Deoband . Ianya terletak di daerah Saharanpur , dalam negeri Uttar Pradesh . Ianya juga terletak di tengah-tengah bandar yang berjarak 150 km dari Delhi. 

[10]. Keseluruhan penulisan ini telah disemak oleh al-Fadhil Maulana Wan Aswadi yang merupakan Guru Hadith di Madrah Tahfiz Miftahul Ulum, Hulu Langat dan al-Fadhil Maulana Arif yang merupakan Guru Hadith di Madrasah Tahfiz Lorong Alif, Jitra, Kedah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Telah Link Blog Ini