Ikuti Blog Ini

Tuesday, August 1, 2017

Kekhilafan Itu Fitrah, Menguruskannya Itu Sunnah

1. Sebenarnya saya malas hendak menulis di ruang ini kerana ingin menjaga nama baik dan reputasi Jemaah Tablīgh (JT), tapi disebabkan ada sebahagian pihak yang telah menceritakan perkara-perkara yang tidak benar mengenai polemik ini, maka saya gagahkan diri juga untuk menulis tentang perkara ini.
2. Jelas, khilaf ini khilaf berkaitan "imarat" sahaja bukan sahsiah peribadi. Mereka bukan menafikan kredibiliti Maulānā Sa'ād sebagai 'Amir kerana isu fatāwā yang dikenakan terhadap beliau tetapi mereka merasakan JT ini perlu kepada jemaah Syura untuk keberkesanan perlaksanaan gerak kerja JT diseluruh dunia.
3. Tapi sayangnya ada juga sebahagian karkun yang mempermainkan isu kredibiliti dengan mempersoalkan ruju' dan taubat Maulānā Sa'ād. Seolah-olah mereka tidak boleh menerima ruju' dan taubat Maulānā Sa'ād. Pelik bin ajaib, karkun kita sudah pandai mengambil alih tugas Allāh ta'ala untuk menerima atau menolak ruju' dan taubat seseorang.
4. Bahkan ada yang mengatakan, jika benar Maulānā Sa'ād telah ruju' dan bertaubat, maka keluarkanlah satu surat rasmi tentang ruju' dan taubat beliau itu? Persoalannya sejak bila syarat ruju' dan taubat kena ada surat rasmi ini?
5. Pihak Ifta Deoband menyuruh Maulānā Sa'ād mengisytiharkan ruju' dan taubat di hadapan majma' sebagai syarat utama ruju' dan taubat dan Maulānā Sa'ād telah berbuat sedemikian (ada bukti audio pada Maulānā Hazim al-Mazahīrī tentang perkara ini), lagi pula sebagai orang Islām dan yang telah berkecimpung dalam usaha JT, sepatutnya kita katakan, jika sudah ruju' dan bertaubat, maka telah selesai semuanya alhamdulillah, terima atau tidak ruju' dan taubat itu terserah kepada Allāh. Kenapa masih ada sebahagian orang menyebarkan lagi isu tentang fatāwā Deoband itu. Orang yang telah bertaubat, sepatutnya kita doakan kebaikannya bukan dijaja akan keburukannya.
6. Kita sepatutnya berlapang dada, fulan bin fulan hendak mengikuti jemaah A silakan, jika fulan bin fulan hendak mengikuti jemaah B, ala kulli hal, silakan. Kenapa perlu dilakukan pembunuhan karakter "musuh kita" untuk mengikat pendokong masing-masing? Pendokong Nizamuddin mengatakan pendokong gagasan syura alami sebagai "tidak taat" manakala pendokong gagasan syura alami mengatakan pendokong Nizamuddin sebagai "gila kuasa". Bahkan ada juga yang tidak bertegur sapa kerana berbeza dokongan. Wallāhi, perbuatan ini ialah dosa dan diancam azab oleh Allāh ta'ala. Banyak ayat-ayat al-Qur'ān dan ahadīth Nabi صلى الله عليه وسلم yang menceritakan tentang perkara ini. Takutilah Allāh dalam urusan berkaitan saudaramu.
7. Ingatlah bahawasanya mereka yang "selamat" ialah mereka yang menjaga lisan dan perbuatan mereka dari menyakiti hati saudaranya. Akhir sekali, marilah kita semua berdoa supaya Allāh ta'ala menyatukan kembali Para masyaikh kita dengan cara apa yang diinginkan oleh Allāh ta'ala sekalipun. Ya Allāh, terimalah doa kami ini, آمــــــين يا رب العالمينِ

P/s : Catatan ini ditulis ketika saya berkesempatan menghadiri majlis bersama Maulānā Fahem Raiwind di Bukit Changgang, Dengkil.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Telah Link Blog Ini